Home » » Sajian berzat di hospital

Sajian berzat di hospital

Pernahkah anda bertanya doktor mengenai menu atau pelan pemakanan apabila dimasukkan di hospital? Mungkin anda hanya menjangkakan bentuk makanan yang diberi mengandungi khasiat secukupnya sepanjang di dalam wad.

Tahukah anda, pemakanan yang kekurangan zat akan memberi kesan kepada pesakit. Ada pula yang beranggapan seorang pesakit itu menjadi kurus kerana keadaan penyakitnya semakin serius.

Tanggapan ini mungkin ada benarnya tetapi dengan hidangan yang berzat, keadaan pesakit akan bertambah baik.

Keadaan ini bukan disebabkan makanan yang dihidangkan tidak berkualiti tetapi terdapat beberapa faktor lain. Misalnya, pesakit tidak berselera makan apabila melihat makanan

hospital yang hambar dan tidak menarik, kurang pengetahuan di kalangan kakitangan perubatan dan terapi pemakanan tidak dimulakan serentak dengan rawatan perubatan.

Justeru itu, Hospital Columbia Asia mengambil inisiatif menyediakan makanan yang menyelerakan, berzat dan mengikut tahap kesihatan pesakit.

Menurut Naib Presiden Perkhidmatan Kumpulan Sokongan, Kumpulan syarikat Columbia Asia, Ravi Raj, pemberian makanan berkualiti dan berzat menjadi keutamaan kafe Columbia di setiap hospital Columbia Asia. Ramai pesakit tidak sedar makanan antara terapi yang menjimatkan kos jika diamalkan dengan baik.

Dalam pada itu, pesakit boleh mengalami masalah kekurangan zat ketika di hospital yang akan menyebabkan komplikasi kesihatan jika mereka tidak diberi perhatian.

Biasanya kekurangan zat membuatkan pesakit hilang berat badan dan menjadi kurus.

"Pemakanan yang baik sangat penting untuk pesakit yang ingin pulih. Ia diperlukan untuk memperbaiki hasil rawatan. Sekiranya makanan berzat serta berkualiti diberi, tempoh pesakit tinggal di hospital lebih singkat. Ini bukan saja merangsang keberkesanan keseluruhan rawatan, tetapi juga boleh menjimatkan kos," katanya ketika majlis pengenalan menu kafe Columbia di Hospital Columbia Asia, Puchong, Selangor.

Tambahnya, ramai yang tidak menyedari pemakanan di hospital menjadi sokongan untuk pesakit yang kekurangan zat. Bagi pesakit diabetes, mereka juga memerlukan makanan yang berbeza daripada pesakit lain.

" Misalnya pesakit diabetes perlu memakan makanan yang mengandungi kurang guru. Minum susu yang khusus untuk diabetes. Secara keseluruhannya, pesakit perlukan makanan yang cukup zat dan seimbang," ujarnya.

Tidak seperti hospital lain, pesakit boleh memilih menu yang ditetapkan mengikut keadaan penyakit pesakit.

Ravi menambah, pihak kafe hanya memberi pilihan menu selepas doktor melaporkan keadaan pesakit serta keperluan zat makanan mereka.

Misalnya, pesakit yang mempunyai tahap glukosa yang tinggi dalam darah akan dihidangkan rendang ayam tetapi menggunakan bahan santan yang berbeza dengan pesakit lain.

Uniknya, kafe Columbia mengambil pekerja yang berpengalaman terutama dalam aspek penyediaan makanan untuk pesakit di hospital.

"Kami juga akan memastikan makanan dan kafe dalam keadaan bersih. Proses penyediaan dilakukan oleh tukang masak terlatih. Pekerja yang menghantar makanan ke bilik pesakit juga sentiasa kemas dan bersih. Tidak seperti hospital lain, mereka akan memakai pakaian seragam," jelasnya.

Ravi memberitahu, setiap pesakit yang tinggal di wad akan diberi makan enam kali setiap hari. Ini termasuk sarapan pagi, hidangan pukul 10 pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam dan minum malam.

Uniknya, minum petang bukanlah hidangan kuih-muih bersama minuman tetapi pra-makan malam seperti sup sayur-sayuran.

Selain menyediakan hidangan, pihak hospital turut mendidik pesakit tentang pemakanan sihat.

Misalnya, pesakit dididik tentang kebaikan yogurt.

"Selain menu yang enak, kami memastikan pesakit mendapat hidangan yang mengandungi zat yang cukup. Selain itu, mereka juga selesa dengan makanan yang diberi. Kami mahu mereka makan seperti makanan yang ada di rumah," ujarnya.

Sementara itu, kafe Columbia juga dibuka kepada orang ramai muali 7 pagi hingga 9 malam. Orang ramai boleh makan di kafe atau membawa balik. Mereka yang inginkan maklumat terkini boleh melayari www.columbiasia.com.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom