Home » » Khasiat vitamin pelarut lemak

Khasiat vitamin pelarut lemak

Apa itu vitamin K? Kita lazim mendengar kebaikan vitamin A, B, C, D dan E dalam aspek kecantikan dan penjagaan kulit. Apa pula kehebatan vitamin K? Lewat ini, pakar kecantikan dan penjagaan kulit berjaya membongkar rahsia di sebalik keunikan vitamin itu.

Ia semakin popular dalam industri kecantikan dan boleh didapati dalam bentuk krim, cecair, losen, topeng muka serta banyak lagi.

Vitamin K ialah sejenis vitamin pelarut lemak. Ia sangat baik untuk membeku pengaliran darah pada tahap normal dan membekalkan esen protein yang menahan khasiat kalsium yang baik untuk kesihatan tulang. Tidak dinafikan juga kesannya untuk kesejahteraan kulit badan, terutama bagi mereka yang ingin meremajakan kembali kulit wajah.

Vitamin K juga menjamin keanjalan kulit yang biasanya menurun seiring dengan peningkatan usia. Bagi mereka yang menghidap penyakit kedutan kulit secara genetik, vitamin itu sesuai digunakan tanpa was-was.

Golongan wanita boleh mengambil vitamin K semasa mengandung. Tetapi seboleh-bolehnya dapatkan dahulu nasihat daripada pakar perubatan. Golongan lelaki juga perlu mengetahui jumlah pengambilan yang disyorkan agar tidak mengalami kesan sampingan.

Sumber vitamin K

Vitamin K biasanya boleh didapati daripada kumpulan sayur-sayuran hijau seperti bayam, daun salad, kubis daun, kubis bunga, brokoli, sejenis kubis hijau kecil, sekam gandum, biji-bijian dan sesetengah jenis buah seperti avokado, buah kiwi serta pisang. Daging, susu lembu, produk tenusu lain, telur dan produk yang diperbuat daripada soya juga menjadi sumber vitamin K. Dua sudu besar pasli dikatakan mengandungi 153 peratus jumlah saranan vitamin K untuk sehari.

Kebaikan vitamin K

Vitamin K baik untuk menghilangkan garis-garis halus yang terbentuk di bahagian mata dan lingkaran hitamnya. Ia juga menambah baik warna dan struktur kulit. Bagi mereka yang mengalami masalah kulit bertompok, produk yang diperbuat daripada vitamin itu dijamin mampu memberi hasil signifikan.


Keberkesanannya begitu menonjol kerana vitamin K mampu menyerap jauh ke dalam liang pori-pori kulit dan memasuki kapilari darah yang rosak. Sebaik sampai ke saluran darah, ia berfungsi menyediakan sokongan kepada proses pengumpalan dan pencairan darah normal agar tisu kulit yang cedera mudah sembuh.

Biarpun kebaikan vitamin lain dan diet pemakanan yang sihat penting bagi kesihatan tubuh secara keluruhan, vitamin K juga dalam rejim penjagaan badan. Ia terkenal sebagai agen rawatan pembuluh vena menjala.

Kebaikan-kebaikan lain pula ialah melindungi punggung wanita posmenopaus, menghilang kesan parut lama dan seumpamanya.

Keburukan dos berlebihan

Jika dimakan dalam jumlah yang besar, vitamin K boleh memudaratkan kesihatan seperti memecahkan sel darah merah. Ia juga dikenali sebagai penyakit kuning. Jika sejenis vitamin K iaitu vitamin K-1 (Phytonadione) disuntik ke dalam badan tanpa kawalan, ia menyebabkan kesan buruk seperti masalah kardium, degupan jantung lemah, tekanan darah rendah dan kegagalan jantung.

Dalam kes-kes kritikal, pengambilan secara berlebihan boleh membawa kepada perubahan pembentukan tulang, kerangka, hati membengkak, anemia, keguguran rambut dan simptom susulan lain.

Sebab itu, adalah mustahak mengenali dan mempelajari kesan reaksi daripada vitamin yang diambil. Biarpun penting untuk kesihatan, sewajarnya dapatkan nasihat doktor sebelum membeli atau menggunakan mana-mana jenama vitamin.

Oleh SUBASHINI RAJANDRA



1 Komen:

Rahasia Sehat berkata...

mantap artikelnya bu tentang vitamin K. bisa dijadikan referensi saya membuat artikel tentang vitamin nanti. terima kasih ya :)

Catat Ulasan

 
Chatroom