Home » » Jenis-Jenis Penyu : Spesies Penyu

Jenis-Jenis Penyu : Spesies Penyu

Jenis-Jenis Penyu

Penyu Belimbing

Penyu Belimbing ialah spesies penyu yang terbesar di antara jenis-jenis penyu yang terdapat di dunia. Kini spesies penyu ini semakin pupus. Inilah satu-satunya jenis penyu yang tidak bertempurung keras, di mana karapasnya (cengkerang) adalah lembut dengan mempunyai tujuh jaluran panjang yang memanjang dari bahagian kepala hingga ke ekor. Ia boleh membesar sepanjang 2 meter dan mencapai berat sehingga 600 kg. Penyu ini menghabiskan hampir keseluruhan hayatnya di dalam laut lepas dan berkebolehan untuk menyelam sedalam 400 m hingga 1,200 m.

Penyu Belimbing

Penyu ini mudah dikenali kerana cengkerangnya yang menyerupai seperti buah belimbing. Warna badannya adalah kehitaman dan bertompok-tompok putih. Bahagian atas mulutnya yang melengkung adalah untuk memudahkannya menangkap obor-obor yang merupakan makanan utamanya. Ianya menghasilkan telur antara 60–120 biji pada suatu masa. Musim bertelurnya adalah Mac hingga Ogos. Di Malaysia, tempat utama penyu ini naik ke pantai untuk bertelur adalah di Rantau Abang, Terengganu dan terdapat juga di Paka dan di Pahang. Telurnya berwarna putih dan berkulit lembut dengan ukuran garis pusat 5–6.5 sm.

Penyu Agar

Penyu Agar juga dikenali sebagai “penyu hijau" mengikut warna lemak dalam badannya yang berwarna hijau. Warna penyu ini adalah coklat buah zaitun atau coklat tua atau kehitaman. Penyu ini boleh membesar sehingga lebih 1 meter dengan berat badannya di antara 135–270 kg. Makanan utamanya adalah rumpai laut dan rumpair. Musim bertelurnya adalah di antara April–September dan menghasilkan 100–140 biji setiap kali bertelur. Penyu ini terdapat di Negeri Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Telurnya adalah berwarna putih dan berkulit lembut dengan ukuran garis pusat lebih kurang 5.0 sm.

Penyu Karah / Sisik

Penyu ini juga dikenali sebagai Penyu Sisik. Ianya mempunyai karapas yang keras dan nampak seperti sisik-sisik yang bertindih. Warna badannya adalah coklat, bersaiz sederhana dan boleh membesar sehingga 70–90 sm dengan berat badannya di antara 35–75 kg. Bentuk paruh mulutnya yang menyerupai paruh helang. Makanan utamanya adalah span dan karangan lembut yang terdapat di kawasan Terumbu Karang.

Spesies penyu ini kebanyakannnya terdapat di kawasan Terumbu Karang. Musim bertelurnya adalah Mac–Jun dengan purata bertelur sehingga 130 biji. Penyu ini terdapat di negeri Terengganu, Pahang, Melaka , Johor, Sabah dan Sarawak. Telurnya adalah berwarna putih dengan kulit yang lembut dan berukuran garis pusat lebih kurang 5.0 sm.

Penyu Lipas

Penyu Lipas adalah penyu yang terkecil di antara empat jenis penyu yang terdapat di Malaysia. Ianya boleh membesar sehingga 6.0–6.5 sm dengan berat yang biasanya di antara 35–50 kg. Warna badannya adalah gelap atau coklat buah zaitun dan bahagian bawahnya berwarna putih. Makanan utamanya adalah udang, obor-obor, ketam dan siput. Musim bertelurnya adalah dari Mac–Jun dan menghasilkan purata telur 100 biji setiap kali bertelur. Telurnya adalah berwarna putih, berkulit lembut dan bergaris pusat lebih kurang 4.0 sm. Penyu ini terdapat di Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu. Kini bilangan spesies penyu ini yang mendarat untuk bertelur di pantai-pantai Malaysia adalah semakin berkurangan dan diancam kepupusan.



 
Chatroom