Home » » Sinopsis Bangsawan Genta Alam

Sinopsis Bangsawan Genta Alam

Sinopsis Bangsawan Genta Alam

Bangsawan Genta Alam mengisahkan Puteri Indera Sari dan kekanda sulungnya dari negeri Kayangan meminta izin ayahanda dan bonda mereka untuk turun bermain-main di bumi. Selepas puas memujuk dan berjanji untuk mematuhi segala syarat, barulah mereka diizinkan. Antara syaratnya mereka perlu terbang balik ke Kayangan sebelum ayam berkokok. Pemergian mereka ke bumi ditemani pengasuh yang bernama Kembang.

Ketika saat mahu terbang balik ke Kayangan, kain layangnya hilang yang sebenarnya disembunyikan oleh kekanda sulung. Terbanglah kekanda sulung ke Kayangan meninggalkan Puteri Indera Sari dan Kembang. Dalam hutan mereka bertemu nenek kebayan dan Putera Genta Alam lalu mereka berkahwin.

Selepas hidup bahagia beberapa ketika, Puteri Indera Sari terlanggar pantang lalu ditumbuhi ekor seperti duyung. Putera terpaksa mencari penawar di hutan dan berjumpa dengan Tok Rimba dan pada masa sama anak Tok Rimba iaitu Damar yang cacat muka jatuh hati dengan Putera Genta Alam. Menggunakan ilmu hitam, Damar dapat menundukkan Putera Genta Alam dan mereka pun berkahwin.

Membawa Damar pulang ke istana sebagai madu kepada Puteri Indera Sari amat mendukacitakan puteri itu. Bagaimanapun, akhirnya segala rahsia dan kejahatan Damar terbongkar, Putera Genta Alam dan Puteri Indera Sari kembali bahagia.

Info Pementasan Bangsawan Genta Alam
Pementasan Bangsawan Genta Alam yang dipersembahkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kumpulan Bangsawan Seri Mahkota Alam dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pementasan yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini diadakan di Panggung Bandaraya DBKL, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Pementasan itu adalah sempena Siri Semarak Bangsawan 2012.

Bangsawan adalah satu teater tradisional yang bakal pupus jika usaha 'menyelamat' tidak dilakukan bersungguh-sungguh. Daripada persembahan yang sering dipersembahkan kepada golongan istana satu ketika dulu, kini bangsawan tidak lagi dihiraukan terutama oleh generasi muda.

Golongan itu kini lebih leka dengan hiburan moden selain asyik dengan pelbagai bentuk program realiti terutama yang ditayangkan di televisyen. Sebelum persembahan bangsawan terus berkubur, JKKN mengambil inisiatif melancarkan Siri Semarak Bangsawan ini dan Bazaar Industri Seni Budaya.

Bangsawan Genta Alam bukan saja menarik dari segi jalan cerita tetapi kumpulan Seri Mahkota Alam juga teliti dari segi reka atur pentas dengan props yang amat bersesuaian dengan jalan cerita dan lokasi kejadian yang berlaku. Kostum yang dikenakan oleh setiap watak berwarna-warni membangkitkan rasa ceria suasana.

Penata set, props, kostum dan tatarias pementasan itu, berjaya memberikan gambaran yang berbeza. Kostum yang dipakai oleh Putera Genta Alam dan Puteri Indera Sari menggambarkan kebesaran putera dan puteri zaman kegemilangan kesultanan Melayu lama, serba lengkap dan indah sehingga terleka seketika menatapnya.

Meskipun semua pelakon dalam pementasan bukanlah artis terkenal tetapi masing-masing berjaya menghayati peranan dan karakter mereka dengan baik. Kesenian dan kebudayaan Melayu adalah hak kita semua yang patut dihayati seisi keluarga. Inilah adat dan budaya kita yang sebenar yang sewajarnya menjadi kebanggaan kita semua.



 
Chatroom