Home » » Tazkirah: Kejahatan lidah berpunca penyakit hati

Tazkirah: Kejahatan lidah berpunca penyakit hati

Kejahatan lidah adalah di antara wabak penyakit yang amat berbahaya. Ia terhasil daripada penyakit hati yang diharamkan di dalam Islam sebagai salah satu daripada kejahatan batin.

Allah SWT berfirman dalam surah al-A'raaf ayat 33 bermaksud: Katakanlah Wahai Nabi: Sesungguhnya Tuhan saya hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi, perbuatan dosa dan perbuatan menceroboh tanpa alasan yang benar.

Bentuk-bentuk kejahatan lidah adalah seperti memfitnah, mencaci maki, mengumpat, menghina, mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak secocok dengan adab Islam dan seumpama dengannya.

Kesemua sifat-sifat buruk ini merupakan antara penyebab utama kepada perpecahan umat yang akhirnya menghancurkan kesatuan umat Islam serta memberi ruang dan peluang kepada musuh-musuhnya melakukan serangan demi serangan.

Terlalu banyak larangan dan ancaman Allah SWT dan Rasul SAW terhadap kaum-kaum yang menjadikan kejahatan lidah seperti memfitnah, mengadu domba dan mencaci maki sebagai tabiat harian.

Namun masih ramai yang tidak mengendahkannya dan mengambil pengajaran daripadanya, walaupun telah diberi peringatan. Maka jelaslah bahawa peringatan itu hanya memberi kesan kepada orang-orang yang sempurna imannya berdasarkan firman Allah SWT dalam curah Al-Zariyaat ayat 55 yang bermaksud: Berilah peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman.

Di dalam surah yang lain pula Allah SWT menyatakan lagi sifat seorang mukmin yang sejati itu dengan firman-Nya dalam surah al-A'la yang bermaksud: Yang akan mendengar peringatan itu adalah orang yang takutkan Tuhannya, manakala yang menjauhi-Nya pula adalah sifat orang yang mendapat kecelakaan.

Dalam sejarah Islam, semenjak kehidupan Rasulullah SAW lagi telah berlaku banyak gejala fitnah memfitnah dan mengadu domba yang kesemuanya didalangi dan direncanakan oleh kaum Yahudi dan munafik.

Jelasnya, tabiat memfitnah dan mengadu domba bagi menyemai kebencian di dalam hati umat Islam adalah warisan daripada tabiat kaum Yahudi dan munafik yang tercela semenjak dahulu lagi.

Justeru, menerima, mencontohi, mengagungkan dan menyerupai sifat-sifat mereka itu hanyalah akan menghimpunkan kita bersama-sama mereka di akhirat kelak berdasarkan sabda Rasulullah SAW: Barang siapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.

Hari ini kita menyaksikan betapa umat Islam benar-benar telah menjauhkan diri daripada siraman rahmat Allah SWT.

Semuanya itu terhasil lantaran masing-masing setiap hari mengutamakan agenda peribadi tanpa mengutamakan keutuhan menara Islam itu sendiri.

Malah mereka sanggup melakukan apa sahaja seperti memfitnah, mengadu domba dan menghasut demi melampiaskan rasa dendam dan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu tanpa mengira apakah korban dan akibatnya.

Mereka sanggup meruntuhkan menara-menara Islam, institusi-institusi dan ikon-ikonnya hanya kerana rasa dendam dan hasad dengki meskipun natijahnya ialah sebuah kehancuran, perpecahan, persengketaan dan barangkali menjurus kepada pertumpahan darah.

Alangkah eloknya kita menutup bicara kali ini dengan sebuah pesanan daripada Hujjah Al-Islam Al-Imam Ghazali RA di dalam kitabnya Bidayah Al-Hidayah mengenai peranan lidah dan fungsinya: "Manakala lidah; hanyalah ia diciptakan bagi kami agar kamu memperbanyakkan zikrullah dengannya, membaca kitab-Nya, menunjukkan makhluk Allah SWT ke arah jalan-Nya dan menzahirkan apa yang terlintas di hati nurani engkau daripada keperluan agama dan dunia engkau. Apabila engkau menggunakan ia selain daripada peranannya itu, sesungguhnya engkau telah mengkufuri Allah pada nikmatnya kerana ia adalah orang yang paling utama bagi engkau dan segala makhluk. Tidaklah manusia itu tersungkur menjunam ke dalam neraka melainkan hasil daripada kejahatan lidahnya."



 
Chatroom