Home » » » Senaman jalanan bentuk badan seimbang

Senaman jalanan bentuk badan seimbang

Senaman jalanan bentuk badan seimbang

Sekumpulan anak muda bersenam di taman tanpa menggunakan sebarang peralatan. Mereka melakukan aktiviti yang begitu asing, berbeza dengan pergerakan yang sering dilihat di gimnasium.

Mengimbangkan badan dengan kedua-dua tangan di bawah, meluruskan badan ke kiri dan kanan serta membuat pergerakan ke atas dan ke bawah adalah antara senaman yang dilakukan sekumpulan remaja yang menggelarkan diri mereka Bar-Risan.

Mereka mempopularkan senaman calisthenics atau senaman jalanan iaitu satu bentuk senaman membabitkan pelbagai pergerakan sama ada secara individu mahupun berkumpulan. Tanpa menggunakan peralatan tertentu, senaman ini bertujuan meningkatkan kekuatan badan dan fleksibiliti dengan pergerakan seperti membongkok, melompat, membuai, berpusing atau menendang, menggunakan berat badan sebagai rintangan.

Ketika ditemui di Taman Jaya, Petaling Jaya, mereka menunjukkan aksi terbang, melompat, menahan badan dengan hanya memegang besi serta pergerakan yang jarang dilihat. Apa yang membuatkan senaman ini menarik dan istimewa adalah apabila melihat kesannya kepada peserta malah ia lebih baik daripada senaman di gimnasium.

Bar-Risan Malaysia ditubuhkan oleh tiga sahabat karib, Syed Fernarsh Syed Badlishah, Adam Azmi dan Faisal Asyraf pada Disember 2011 selepas terpengaruh dengan kumpulan anak muda bertaraf antarabangsa yang menetap di Amerika Syarikat, Russia dan Ukraine yang mempopularkannya sebagai satu aktiviti sihat di jalanan.

Ia begitu popular di YouTube apabila mereka menunjukkan teknik senaman menerusi pergerakan yang dapat dilakukan di mana saja.

Menurut Fernarsh, teknik senaman ala Bar-Risan sangat berbeza berbanding gimnasium. Ini kerana mereka tidak menggunakan sebarang peralatan seperti besi atau dumb bell sebagai beban sebaliknya bergantung kepada berat badan sendiri ketika bersenam.

Menariknya, ia bukan hanya dilakukan di gimnasium atau lokasi seperti taman permainan tetapi boleh dibuat di mana saja sama ada di tepi jalan, rumah, pantai atau hutan. Lantai, tiang atau tembok digunakan sebagai perantara untuk bersenam dan ia boleh dilakukan secara berpasangan atau berkumpulan, katanya yang bertindak sebagai jurulatih.

Seperti pergerakan di gimnasium, calisthenics menggunakan asas senaman seperti tekan tubi (push up), bench dip dan reverse pull up yang memberi kelebihan kepada pembentukan otot serta perut. Ia memberi tumpuan kepada bahagian atas badan seperti pinggang, tangan dan bahu serta memberi kekuatan pada perut.

Mereka yang melakukannya secara konsisten akan melihat perubahan pada otot yang terbina lebih cantik bergantung pada ukuran badan seseorang. Ini berbeza sekiranya melakukannya di gimnasium kerana pembesaran otot adakalanya tidak seimbang dengan saiz badan seseorang.

Sebab itu mereka yang melakukan senaman calisthenics ini kebanyakan mempunyai bentuk badan yang bukan saja menarik tetapi seimbang. Paling penting ia menjadikan perut lebih kuat kerana mengangkat berat badan sendiri ini bukan semudah yang kita fikirkan, jelasnya.

Setiap peserta yang mengikuti senaman ini bukan saja hanya inginkan bentuk tubuh badan yang sasa, tetapi juga mementingkan kekuatan dalaman.

Kami sering melakukan senaman kardio seperti joging atau berlari untuk menambah stamina dan memastikan jantung sentiasa dalam keadaan baik. Apabila dilakukan bersungguh-sungguh, kekuatan dalaman mula terbentuk apabila sedikit demi sedikit peserta dapat melakukan pergerakan yang dirasakan tidak mampu, tetapi dengan kesungguhan mereka dapat mempamerkan aksi luar biasa, jelas Fernarsh.

Dia yang dulu malas bersenam mengakui, sejak mengenali calisthenics kehidupannya mulai berubah. Ini kerana tanpa ke gimnasium senaman ini dapat dilakukan di mana-mana tanpa menggunakan sebarang peralatan. Malah otot badan menjadi lebih terbentuk dan cantik.

Ujarnya, walaupun berbeza agama, bangsa dan kerjaya sukan ini berjaya menyatukan anak muda untuk sama-sama menjaga kesihatan.

Kami melakukan senaman ini setiap hari. Ini kerana bagi Bar-Risan apa yang dilakukan bukan sekadar senaman sebaliknya cara hidup sihat yang bukan saja memberi kelebihan kepada kesihatan tubuh tetapi mengelak daripada gejala sosial seperti merempit, melepak atau terpengaruh dengan anasir luar, katanya.

Apa yang diamalkan amat mudah serta berpegang kepada prinsip Bar-Risan iaitu tidak mengambil sebarang ubat, makanan tambahan atau produk kesihatan yang lain.

Kami mengamalkan makanan biasa yang asli dan banyak minum air kosong. Malah tidak mengamalkan diet tertentu untuk mendapatkan bentuk badan ideal, ujar Fernarsh yang makan apa saja tetapi memastikan melakukan senaman untuk pembakaran lemak selepas makan.

Secara ringkas, cara pemakanan yang diamalkan sebelum bersenam adalah bersarapan dengan biskut bersama susu rendah lemak, tengah hari mengambil sedikit nasi bersama pelbagai lauk berkhasiat dan kurang minyak, sekitar jam 4 petang makan roti penuh gandum bersama mentega kacang dan sebiji pisang, minum jus buah-buahan dan minum minuman bertenaga Drive M7 sebelum bersenam. Pada waktu malam, mereka hanya mengambil capati dan ayam tandori sebagai alas perut.

Apa yang penting senaman ini tidak memerlukan wang, dapat menghirup udara nyaman apabila dilakukan di taman serta mampu memiliki bentuk badan yang ideal iaitu tidak terlalu besar atau kecil.

Mula menitik berat penjagaan kesihatan menerusi senaman di gimnasium, bagi jurulatih Bar-Risan Adam Azmi dia mula jatuh cinta dengan calisthenics selepas melayari Youtube bagi mencari teknik berkesan untuk mendapatkan bentuk badan menawan.

Selepas melihat rakaman dilakukan peserta dari Amerika Syarikat, dia tertarik untuk mencuba.

Kali pertama mengikut langkah demi langkah yang ditunjukkan saya mula jatuh cinta, lalu bersama dua rakan kami menubuhkan Bar-Risan yang bermaksud pergerakan dalam barisan. Pada mulanya memang agak sukar kerana ia dilakukan tanpa sebarang peralatan dan hanya menggunakan tubuh sendiri sebagai perantara namun selepas dua bulan, saya mulai rasa keseronokan yang sebelum ini tidak pernah saya rasai ketika di gimnasium, ujarnya.

Bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta, ujar Adam, keistimewaan senaman calisthenics bukan saja pada keunikan kerana boleh dilakukan di mana saja. Lebih penting, ia tidak membosankan kerana terdapat pelbagai kemahiran yang boleh dipelajari untuk mendapatkan bentuk badan idaman.

Di gimnasium setiap hari saya melakukan pergerakan yang sama dan ini amat membosankan. Tetapi berbeza bagi calisthenics kerana terdapat banyak kemahiran yang dapat dipelajari. Selepas menyertai Bar-Risan, saya dapati masih banyak yang perlu dipraktikkan dan ia sangat menyeronokkan kerana dilakukan bersama kawan-kawan, ujarnya yang mula menjalani senaman ala Bar-Risan sejak 2011.

Dia yang memiliki berat badan 65 kilogram kini kekal pada 60 kilogram walaupun tidak mementingkan diet dalam pengambilan makanan seharian.

Apa yang penting selain bersenam, kami dapat berkumpul sekali gus bertukar-tukar fikiran bukan saja mengenai kesihatan malah kehidupan harian. Pengikut yang kini seramai 6,000 di Facebook kini mempunyai ahli aktif sekitar 100 orang. Kami bercadang menambah peserta terutama kepada remaja yang ingin menjaga kesihatan dan mendapatkan tubuh yang sihat dan bertenaga, katanya.

Bagi pembaca yang ingin menyertai Bar-Risan boleh melayari www.facebook.com/ barrisan atau Youtube - www.youtube.com/ theBARRISAN. Tiada sebarang bayaran dikenakan.

Untuk peserta di Kuala Lumpur, latihan diadakan setiap hari di Tasik Taman Jaya, Petaling Jaya dan kawasan utara di Jitra, Kedah bermula jam 6 petang hingga 7 malam.



 
Chatroom