Home » » Berhati-hati di Jalan Raya ketika musim perayaan

Berhati-hati di Jalan Raya ketika musim perayaan

Berhati-hati di Jalan Raya

Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang. Pastinya, ramai yang berpusu-pusu pulang ke kampung halaman untuk beraya bersama-sama datuk, nenek dan saudara mara.

Dalam keseronokan untuk berhari raya itu, janganlah dilupa dengan keselamatan ketika berada di jalan raya.

Walaupun anda bukanlah individu yang memandu kenderaan untuk pulang ke kampung halaman, tidak salah jika anda mengambil tahu mengenai panduan keselamatan jalan raya supaya boleh dikongsikan dengan bapa, ibu, abang atau kakak yang memandu kereta pulang ke kampung halaman Mari kita ikuti beberapa panduan keselamatan jalan raya supaya semua selamat sampai di kampung halaman dan beraya dengan gembira.

- Rancang perjalanan anda terlebih dulu. Jika anda letih, mengantuk, mabuk atau tidak fokus, tangguhkan perjalanan anda.

- Pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan baik supaya tidak berlaku kerosakan ketika dalam perjalanan. Jangan lupa pakai tali pinggang keledar untuk keselamatan pemandu dan penumpang. Sentiasa ikut had laju yang ditentukan.

- Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan ketika menukar lorong.

Periksa cermin sisi dan cermin pandangan belakang sebelum melakukan pertukaran lorong.

- Sentiasa patuhi peraturan jalan raya di simpang dengan berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning dan beri keutamaan kepada pejalan kaki.

- Elakkan daripada mengekori kenderaan lain pada sepanjang masa kerana ini sering menjadi punca kemalangan yang serius.

- Patuhi garis panduan keselamatan semasa memotong. Jangan memotong jika teragak-agak.

- Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan. Ia bukan saja biadap tetapi membahayakan semua pengguna.

- Elakkan mencelah di antara kenderaan kerana ini membahayakan keselamatan anda dan orang lain.

APA YANG HARUS ANDA BUAT BILA BERLAKU KEMALANGAN?

- Hendaklah memberhentikan kenderaan anda dengan serta merta di tempat kejadian.

- Memberi bantuan kepada si mangsa untuk menghantarnya ke hospital.

- Kenderaan anda boleh diubah jika ia mengganggu perjalanan lalu lintas.

- Hendaklah dengan segera membuat laporan di balai polis yang berhampiran. Laporan hendaklah dibuat dalam tempoh 24 jam selepas kemalangan kecuali anda dirawat di hospital atau lainlain sebab yang munasabah.

- Hendaklah menunjukkan untuk diperiksa dokumen-dokumen seperti lesen pemandu, perakuan insuran, cukai jalan dan lain-lain kepada pegawai polis.

- Jika anda melihat sesuatu kemalangan berlaku, anda hendaklah mencatatkan nombor kenderaan yang terbabit dan memberi maklumat kepada pihak polis.

- Bila anda diminta oleh pihak polis untuk memberi apa-apa bantuan yang munasabah kepada mangsa kemalangan, anda hendaklah memberi bantuan tersebut.



 
Chatroom