Home » » Program Raya Sama Sama, TV1

Program Raya Sama Sama, TV1

Antara lagu raya yang sering dimainkan di radio setiap kali tiba Syawal ialah irama malar segar berjudul Berbaju Merah Jambu, dendangan M Shariff dan Zalifah Ibrahim. Lagu berkenaan bukan saja mudah menangkap perhatian, malah pasti mengimbau kenangan zaman kanak-kanak mahupun waktu muda sebahagian daripada peminat.

Bagi mereka yang ingin mendengar kembali lagu itu dinyanyikan penyanyi asalnya, Zalifah, usah ketinggalan menyaksikan program Raya Sama Sama terbitan RTM apabila rancangan istimewa Hari Raya terbabit menemui penonton pada 10 dan 12 Ogos, di TV1.

Penyanyi yang lama menyepikan diri itu, yang kini sudah pun mencecah usia 57 tahun, tampil mendendangkan lagu penuh nostalgia berkenaan bersama artis popular 80-an, Nassier Wahab. Kemunculan mereka berdua dalam rancangan terbabit sudah semestinya akan menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri anda semua.

Bukan sekadar dua penyanyi terkenal ini, program selama 90 minit itu turut menampilkan kirakira 150 artis baru dan lama di atas sebuah pentas, yang pastinya menambahkan lagi kemeriahan raya peminat.

Himpunan lagu malar segar

Program yang menghidangkan 100 peratus lagu raya daripada pelbagai genre itu turut mengetengahkan penyanyi asal melodi tak lapuk dek hujan berkenaan, antaranya Rosmaria Abdul Hamid dengan lagu Di Pagi Aidilfitri, Junainah M. Amin (Suasana Riang Hari Raya), Halil Chik (Lenggang Mak Limah), Gaya Zakry (Ucap Selamat Hari Raya), Effa Rizan (Lebaran) dan Maria Bachok berduet bersama Raziz Ismail dengan lagu Malam 7 Likor.

Tidak ketinggalan, kemunculan adik dan kakak kepada Puan Sri Saloma, Mariani dan Mimi Loma bersama Rozita Rohaizat mendendangkan seleksi lagu raya nyanyian biduanita negara itu, yang tentunya akan menceriakan lagi suasana.

Rancangan berkonsepkan rumah terbuka selebriti itu turut mengundang penyanyi asal lagu Kepulangan Yang Dinanti, Aman Shah, serta pasangan duet serasi, Uji Rashid dan Hail Amir.

Penggiat seni pelbagai bidang bergandingan

Selain penyanyi lama, Raya Sama Sama juga menghimpunkan golongan selebriti dari pelbagai cabang seni termasuk pelakon, pelawak, penari dan penyampai. Tidak ketinggalan dijemput menjayakan acara ialah wartawan hiburan tempatan.

Menampilkan Azrul, Arja Lee, Ifa Raziah dan Mas Idayu sebagai pengacara, program itu juga berkongsi cerita bersama penyampai atau juruhebah radio yang sekian lama menyepi, antaranya DJ Prema dan DJ Odey.

Bukan sekadar artis era terdahulu seperti Helen Velu, Datuk Andre Goh, Datuk Kenny, Datuk Aziz Sattar, Wan Maimunah, Fatimah Fasha, Noraini Ibnu dan Datuk Rosnani Jamil, artis era 90-an tidak dilupa diundang sama memeriahkan program terbabit, antaranya kumpulan Eva, kumpulan A to Z, Khairi Kool, Mus May, KRU dan Elite.

Artis lain yang menjayakan program berkenaan ialah Forteen, Tomok, Alyah, Ainan Tasneem, Najwa Latif, Tasha Mansahar, Syed Shamim, Chacha, Yaya dan Emma Maembong.

Raya Sama Sama

- Penerbit: Nur Hafizoh Idris

- Siaran: TV1

- Genre: Muzikal

- Durasi: 90 minit

- Tarikh siaran: 10 dan 12 Ogos (9.00 malam)



 
Chatroom