Home » » Derma organ dalam Islam

Derma organ dalam Islam

Menderma atau memberi sedekah sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat negara kita. Bagaimanapun, bila ditanya tentang menderma organ, ramai yang skeptikal lebih-lebih lagi di kalangan umat Islam.

Pelbagai persoalan bermain di fikiran terutama sama ada Islam benarkan atau tidak menderma organ?

Antara sebabnya, pemindahan organ adalah satu kaedah rawatan yang tidak disebut secara spesifik di dalam al-Quran mahupun sunnah Rasulullah SAW.

Bagaimanapun, pada tahun 1970, Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan pendermaan organ daripada penderma kadaverik (selepas mati) kepada penderma hidup.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ZAKARIA IDRIS menemu bual Pakar Rujuk Pusat Sumber Transplan Nasional yang juga Pengarah Eksekutif Yayasan Ilmuwan, Shaikh Mohd. Saifuddeen Shaikh Mohd. Salleh bagi mengupas isu ini.

MEGA: Apakah asas kepada pengharusan menderma organ oleh Islam?

SHAIKH MOHD. SAIFUDDEEN: Pada asasnya, memang tidak ada nas yang jelas tentang menderma organ di dalam al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Bagaimanapun, hal ini diperhalusi oleh para ulama khususnya ahli fikah berdasarkan ijtihad dan juga qias.

Dalam Islam, kita dituntut untuk menjaga maqasid syariah (matlamat syariah) iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Apabila berlaku darurat atau sesuatu itu boleh mengancam nyawa, maka ketika itu kita diharuskan membuat pemindahan organ.

Prinsip-prinsip syariah yang digunakan untuk mengeluarkan fatwa mengenai kaedah pemindahan organ ini termasuklah keperluan mengatasi larangan, memilih jalan yang paling kurang mudarat dan mudarat perlu dirawat dengan berikhtiar.

Pada 23 Jun 1970, Majlis Fatwa Kebangsaan menggariskan empat syarat yang mesti diambil kira dalam menfatwakan hukum menderma organ sebagai harus:

* Pemindahan organ dibenarkan jika ia merupakan jalan terakhir untuk menyelamatkan nyawa seseorang yg mengalami kegagalan organ.

* Penderma organ mesti disahkan telah mati.

* Mendapat kebenaran dari keluarga penderma.

* Tidak melibatkan urusan jual beli. Dalam kata lain, organ tubuh bukan barang dagangan tetapi mesti dianggap sebagai derma.

Ulama kontemporari termasuk Dr. Yusuf Qaradawi sepakat menderma organ atau sel stem adalah harus dengan syarat-syarat berikut:

* Tidak ada unsur perdagangan.

* Terbukti ia boleh memanfaatkan atau meningkatkan kualiti hidup.

* Tidak mendatangkan mudarat kepada penderma.

* Dilakukan untuk kepentingan umum.

* Dilakukan dengan kebenaran penderma.

* Dilakukan dengan ikhlas tidak ada unsur paksaan.

Ada juga yang bimbang bolehkah kita derma organ kepada yang bukan Islam?

SHAIKH MOHD. SAIFUDDEEN: Ini tidak sepatutnya menjadi isu di Malaysia. Sebabnya, orang bukan Islam di sini dikategori sebagai kafir zimmi yang memberi taat setia kepada negara. Oleh sebab itu, kita wajib membantu mereka semasa mereka susah.

Bagaimanapun, menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, tidak dibenarkan menderma organ kepada tentera bukan Muslim yang memerangi Muslim dan juga orang yang menganjurkan perang ke atas Islam.

Begitu juga tidak dibenarkan menderma kepada seorang yang Murtad kerana dia tiada apa melainkan seorang pengkhianat kepada agama dan orang-orangnya.

Namun, jika terdapat Muslim dan bukan Islam yang kedua-duanya memerlukan derma organ atau darah, Muslim tersebut mestilah diberi keutamaan.

Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain... (at-Taubah: 71)

Ada juga yang bimbang pemindahan organ itu akan menyeksa mayat. Benarkah?

SHAIKH MOHD. SAIFUDDEEN: Dakwaan itu barangkali bersandarkan kepada kisah seorang penggali kubur yang tanpa sebab munasabah mematahkan tulang-tulang mayat. Lalu perbuatan itu ditegur oleh baginda SAW.

Telah bercerita kepada kami Syuja’ bin Al-Walid, daripada Sa’d bin Said saudara Yahya bin Said, daripada ‘Amrah, daripada Aisyah, dia berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah berkata: Sesungguhnya mematahkan seorang mukmin dalam keadaan mati seumpama mematahkan tulangnya dalam keadaan hidup”. (riwayat Ahmad)

Tetapi itu jika dilakukan tanpa sebab yang munasabah. Sebaliknya, dalam derma organ kita mengambilnya daripada orang mati dengan niat menyelamatkan nyawa orang lain. Jika tidak buat demikian, pesakit tadi akan mati.

Apabila darurat maka ia diharuskan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: ...maka sesiapa yang terpaksa (makan babi dan binatang yang tidak disembelih) kerana darurat sedangkan dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka tidaklah dia berdosa...(al-Baqarah: 173)

Malah Dr. Yusuf Qaradawi juga berkata, daripada membazir dibiarkan mayat itu dimakan ulat dalam tanah adalah lebih baik ia dimanfaatkan untuk menyelamat nyawa.

Ada juga yang bimbang, jika anggota badan yang didermakan itu membuat dosa mereka juga akan memikulnya sama. Betulkah?

SHAIKH MOHD. SAIFUDDEEN: Dalam Islam, apabila seseorang itu mencapai umur baligh dan sempurna akal maka hukum taklif dikenakan ke atas mereka. Bermakna segala dosa dan pahala ditanggung sendiri.

Ia tidak akan berpindah kepada orang lain. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: ...Dan tiadalah kejahatan yang diusahakan oleh setiap orang melainkan orang itu sahajalah yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain...(al-An’am: 164)

Sebaliknya, Dr. Yusuf Qaradawi berkata, mereka yang menderma organ akan mendapat pahala yang berkekalan. Ini beliau qiaskan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seseorang itu mati terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah atau ilmu yang boleh dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh berdoa untuknya”. (riwayat Tarmizi)

Kata beliau, sedekah jariah di sini adalah pendermaan organ itu tadi.

Bagaimanapun, pengalaman saya sepanjang terlibat dalam bidang ini sejak 1998 mendapati, bukan hukum yang menjadi masalah.

Sebaliknya, sebahagian besar kita masih takut, salah faham dan kurang maklumat untuk mendaftar sebagai menderma organ.

Ada juga yang berkata anggota badan kita adalah amanah Allah dan perlu dijaga sehingga kita mati. Justeru itu, tidak boleh menderma organ?

SHAIKH MOHD. SAIFUDDEEN: Jika kita percaya kepada kebangkitan di hari akhirat, hal ini tidak perlu dibimbangkan. Apabila kiamat, semua makhluk akan hancur.

Apabila dibangkitkan, keadaan tubuh kita adalah bergantung kepada amalan. Jika baik, maka sempurnalah ia.

Diceritakan akan dibangkitkan dengan gigi panjang seperti tanduk lembu dan bibir mulutnya labuh hingga ke dada. Ini kerana dosa orang yang suka minum arak. Mati tidak bertaubat.

Dibangkitkan dengan muka berseri seperti bulan purnama kemudian melintasi titian Siratalmustaqim pantas seperti kilat.

Ini adalah balasan kepada orang yang beramal soleh, tidak melakukan maksiat dan tidak melalaikan sembahyang. Mati dengan bertaubat.

Apa yang perlu ialah galakan dan kesedaran untuk menderma. Ini memerlukan role-model terutama di kalangan para ulama.

Di Johor suatu masa dulu, bilangan yang mendaftar sebagai penderma organ adalah paling tinggi di kalangan umat Islam. Antara sebabnya adalah mufti ketika itu iaitu Datuk Nooh Gadut turun padang membincangkan tajuk tersebut.

Pendek kata, mufti sendiri menjadi pengikrar. INi termasuk bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md. Hashim Yahya.

Bagaimanapun, sudah nampak kesedaran di kalangan generasi muda apabila di institusi pengajian tinggi sudah ada perbincangan tentang pendermaan organ.

Masalahnya pada orang kita, mereka tidak akan berfikir tentang bab ini jika ahli keluarga mereka tidak terlibat. Sedangkan menderma organ adalah perbuatan yang amat terpuji.

Kita juga sebenarnya masih terkebelakang berbanding umat Islam di Arab Saudi, Bangladesh, Iran dan Turki yang sudah menerima konsep menderma organ ini sejak tahun 1980-an lagi.

Marilah kita berusaha menjadi golongan yang memberi dengan mengambil semangat daripada sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta)...(riwayat Bukhari)



4 Komen:

ZOORA berkata...

saya pun tertanya tentang isu ni.. dan saya baru membaca hasil tulisan www.mykhilafah.com. hasil penulisan ni memberikan nas nas yang mengatakan menderma organ segelah meninggal adalah haram. katanya kita tidak boleh ikut fikiran, perlu ikut nas. bagaimana?

Tanpa Nama berkata...

salam...

persoalan sy bukankah dlm islam sebagaimana kita dilahirkan di muka bumi ini mcm tuh lah juga apabila kita dipulang kan kepadanya..lengkap angota badannya..sya ade membaca menderma organ adalah haram disisi islam...boleh perjelaskan lg...tq..salam

MOHD MUAZ OSMAN berkata...

Salam...
derma organ didalam islam cenderung kepada haram.... UAI.. ^_^

Tanpa Nama berkata...

saya dah daftarkan diri sebagai penderma organ sekiranya meninggal dunia, skrang ada yg kata harus, ada yg beri hukum haram... saya harap ada orang boleh beri penjelasan yang sewajarnya kepada saya...
leo_taufik90@yahoo.com

Catat Ulasan

 
Chatroom