Home » Biasiswa Sheikh Muszaphar-ACMS

Biasiswa Sheikh Muszaphar-ACMS

Biasiswa Sheikh Muszaphar-ACMS

Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie, dengan kerjasama Kolej Sains Perubatan (ACMS) hari ini melancarkan Biasiswa Sheikh Muszaphar-ACMS yang bertujuan membantu pelajar yang tidak memperoleh keputusan peperiksaan cemerlang tetapi berminat menjadi doktor untuk meneruskan impian mereka.

Dr Sheikh Muszaphar berkata, buat permulaan program itu akan membiayai 200 orang pelajar mulai tahun depan dan setiap seorang akan menerima kira-kira RM2,000 untuk memulakan pengajian di kolej berkenaan.

"Dengan cara ini kita akan membantu mereka yang betul-betul berminat (untuk menjadi doktor). Mungkin perlu melakukan diploma dahulu seperti fisioterapi, nursing dan sebagainya.

"Ini (biasiswa) lebih untuk mereka mencapai impian mereka untuk menjadi doktor," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat motivasi kepada pelajar dalam suatu program anjuran ACMS di sini hari ini.

Beliau berkata, beliau akan menjadi bapa angkat kepada pelajar yang terpilih dan akan membimbing mereka secara langsung.

Pengerusi ACMS, Datuk Dr Zainuddin Wazir, berkata biasiswa itu akan membantu pelajar untuk memulakan pengajian di ACMS dalam tempoh tiga bulan pertama, iaitu untuk makan-minum, keperluan harian, membeli tiket kapal terbang, membeli buku teks dan sebagainya, sebelum pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara pelajar diluluskan.

"Kriteria yang ditetapkan adalah sama dengan syarat kemasukan ke ACMS. Pelajar yang berminat hanya perlu mendaftar dengan kami, tetapi pastinya pelajar yang kurang berkemampuan akan kami utamakan," katanya.

Maklumat mengenai program biasiswa itu boleh didapati daripada laman web ACMS www.acms.edu.my atau melalui laman facebook Sheikh Muszaphar-ACMS Scholarship Fund. - Bernama



0 Komen:

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom