Home » Biodata Datuk Habib Mohamed Abdul Latif

Biodata Datuk Habib Mohamed Abdul Latif


5 dekad merendah onak duri membina nama, Habib terus unggul dalam dunia manikam. Kurang setahun menyamai usia kemerdekaan negara, hari ini jauhari, Datuk Habib Mohamed Abdul Latif boleh bernafas dalam selesa dengan 19 cawangan di merata negara. Tetapi, katanya, ‘mengekalkan usia kemerdekaan’ itu dalam persaingan pelbagai jenama hari ini, lebih rumit daripada membina jenama itu 51 tahun lampau.

Pada usia 83 tahun, serangan strok dialami lebih 10 tahun yang lalu, tidak sedikitpun melemahkan semangatnya untuk sering meninjau premis perniagaannya yang kini ada cawangan di seluruh negara.

Habib membina langkah sebagai MA Habib Mohamed di Pit Street, Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai ‘Jewellery Corner’. Bermula sebagai perniagaan keluarga yang diusahakan secara kecil-kecilan, ia berkembang kepada Habib Corporation Berhad yang menyediakan pelbagai pilihan barangan kemas untuk semua golongan usia.

Menyifatkan kejayaan hari ini hasil tuai masa lampau, beliau tidak lokek berkongsi kisah suka dalam dunia yang amat dicintai itu. Sebagai pedoman kepada generasi akan datang, beliau abadikan kenangan naik turun dalam bidang perniagaan dalam sebuah buku yang mungkin akan diterbitkan tidak lama lagi.

Boleh Datuk ceritakan sejarah Habib?

Pembabitan dalam bidang perniagaan barang kemas bermula secara kecil-kecilan saja. Pada 1949 saya fikir sudah masanya untuk saya menyara keluarga dan berkerja dengan orang di kedai emas. Lama-kelamaan saya fikir ingin memiliki perniagaan sendiri saja. Saya memilih perniagaan emas kerana tidak perlu bersusah payah di tengah panas membanting tulang, dan lagi pun, emas itu sendiri memang tidak pernah turun harga. Pada 1958 bermulalah episod hidup sebagai peniaga barangan kemas dengan modal RM3,800, bermula di Pulau Pinang dengan nama MA Habib Mohamed. Ketika itu saya mengambil barang kemas daripada kedai pajak dan saya bersihkan ia menjadi cantik lalu dijual kepada kedai emas lain, seperti pemborong. Daripada perniagaan yang kecil ia bertambah besar. Ketika itu memang saya tidak mempunyai sebarang idola dan hanya memikirkan untuk membuka perniagaan barang kemas pada harga berpatutan saja mengikut cara perniagaan yang saya aturkan sendiri rentaknya. Lagipun pada masa itu perniagaan bersifat untuk menyara hidup saja. Tidak sangka ia bertambah laris.



Bila memulakan perniagaan di Kuala Lumpur?

Apabila perniagaan semakin menguntungkan, pada 1970-an saya menambah dua lagi cawangan iaitu Siti Emas dan Puteri Emas, tetapi kedua-duanya kurang memberangsangkan, mungkin kerana nama tidak begitu komersial maka tidak lama selepas itu ia ditutup dan saya membuka cawangan di Semua House, Kuala Lumpur pada 1987. Saya memberanikan diri menghasilkan sendiri produk daripada bahan mentah kepada barangan siap. Saya menghasilkan produk yang diingini wanita seperti bercorak flora dengan hasil berkualiti.

Keluarga memberikan sepenuh galakan kepada perniagaan?

Saya mempunyai lima anak dan yang tunggal lelaki ialah Meer Sadik (Datuk) yang mengambil jurusan perniagaan. Selepas tamat belajar, beliau terus saya bawa bekerja di bilik pameran Habib di Semua House secara sambilan. Meer pada masa itu juga meminati bidang pengiklanan dan beliau mendapat banyak tawaran menjadi model iklan. Beliau sangat percaya terhadap pelaburan di dalam kegiatan pemasaran dan pengiklanan melalui media massa dan sangat agresif memasarkan Habib menerusi radio dan televisyen. Saya perhatikan, pelanggan semakin ramai mengunjungi bilik pameran Habib dan saya fikir itu sebenarnya strategi pemasaran dan pengiklanan yang diperoleh menerusi pembelajarannya dalam bidang perniagaan di luar negara. Sejak menerajui perniagaan, beliaulah menggalakkan pengiklanan yang mana sebelum itu memang tidak pernah saya lakukan. Saya fikir kombinasi antara didikan moden dan cara tradisional membina perniagaan menjadi kombinasi unik dan bermanfaat. Begitupun untuk saya mengekalkan perniagaan ini bukan kerja mudah, sebaliknya berusaha menampung kos dengan melakukan pelbagai kerja seperti membuka kedai bunga, kedai menjual kekabu bantal serta serbuk kopi. Saya memang berusaha keras dan percaya sesiapa saja atau dalam bidang apa sekalipun anda ceburi, sekiranya anda berusaha, tentu akan mendapat ganjarannya.

Sejak itu Habib semakin terkenal?

Saya mengharapkan Meer kerana anak lain semua perempuan dan ada mengikut suami ke luar negara. Meer, ahli gemologi terlatih daripada Gemological Institute of America, dan pemegang ijazah pengurusan perniagaan. Beliau kini menjadi Pengarah Urusan dibantu isterinya Zarida (Datin Zarida Noordin), banyak perubahan dilakukan termasuklah mempergiatkan promosi dengan kos pengiklanan media cetak dan televisyen pun mencecah ratusan ribu ringgit. Mula-mula saya fikir ia agak membazir, tetapi dalam jangka panjang ia cukup berbaloi. Begitu juga dengan penambahan cawangan. Kerja keras itu melayakkan Habib menerima beberapa anugerah berprestij seperti memenangi Reader’s Digest Trusted Brand Award untuk beberapa tahun.

Anugerah yang pernah Habib menangi antaranya ialah pada 2001 The Malaysian Book of Records untuk rekaan Bangunan Berkembar Petronas yang direka dengan berlian, batu permata dan emas dengan nilai lebih RM1 juta. Pada tahun yang sama, Habib menerima Anugerah The ‘Best Retailer in Jewellery and Timepieces’ daripada Suria KLCC apabila memperkenalkan koleksi berlian coklat yang dikenali Habib’s Hazel Collection.

Pada 2002, Habib menerajui pasaran antarabangsa menerusi kerjasama dengan jenama barangan kemas terkemuka dari Itali Chimento dan juga jenama berlian Hearts On Fire, berlian yang mempunyai potongan terbaik dunia. Pada tahun itu juga, sekali lagi Habib menerima ‘Best Retailer in Jewellery and Timepieces’ Award daripada pengurusan Suria KLCC. Rekaan kreatif Habib iaitu rekaan baju dalam wanita yang direka dengan 100 peratus emas, dicalonkan dalam 100 pencalonan pertama The Gold Virtuosi Award, yang diiktirafkan oleh badan antarabangsa The World Gold Council.

Sekali lagi Habib tersenarai di Malaysian Book of Records untuk rekaan gaun berlian termahal dunia bernilai RM19 juta. Gaun eksklusif ini diikat menggunakan 2,500 butir berlian Hearts On Fire.

Habib juga menjadi jenama barangan kemas pertama tersenarai di papan utama Bursa Saham Malaysia. Pada 2003 dan 2004, Habib menerima sekali lagi ‘Best Retailer in Jewellery and Timepieces’ Award daripada pihak pengurusan kompleks Suria KLCC, sementara pada 2005 sehingga 2007 Habib mengekalkan prestasinya untuk menerima anugerah ‘Gold Trusted Brand’ untuk kategori jenama barangan kemas yang boleh dipercayai daripada Reader’s Digest Trusted Brands Awards. Pada 2007, jenama itu memenangi anugerah the Brand Laureatte 2008/2009 di dalam kategori, Jenama Barangan Kemas Terbaik dan Penjenamaan Korporat.

Bagaimana Habib boleh bersaing dengan peniaga lain?

Saya fikir untuk berjaya dalam bidang ini kita perlu bekerja keras dan jujur dalam apa yang kita lakukan. Menarik mengenai Habib yang boleh membezakan dengan jenama lain ialah kami tidak sekadar menjual, sebaliknya memberikan rundingan kepada pelanggan. Malah kami mempunyai pelanggan yang sangat setia kerana yakin dengan produk dan kualiti kami tawarkan sungguhpun kedai barang kemas tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Saya fikir kejujuran elemen utama kenapa kita bertahan. Syarikat menjadi peniaga barangan kemas pertama di Malaysia tersenarai pada papan kedua Bursa Malaysia (selepas 1998 dikenali sebagai Kuala Lumpur Stock Exchange). Pada 2002, syarikat induk, Habib Corp Bhd, berpindah ke papan utama. Syarikat kemudian berubah kepada penswastaan pada 2005.

Bagaimana rekaan Habib? Ada perubahan?

Pada peringkat awal orang membeli emas kerana ia adalah emas dan perhiasan wanita, aset pelaburan yang bernilai tinggi. Tetapi lama kelamaan, kita mampu menghasilkan sendiri produk yang kita ingini. Evolusi aksesori sama seperti emas juga. Pada 60-an dulu saya memperkenalkan gelang cerai, tetapi hari ini ia tidak begitu popular. Kini pelbagai motif seperti haiwan dan serangga pula orang suka, justeru kita perlu ikut peredaran zaman dan yang bagaimana wanita suka. Saya kalau berjumpa wanita suka melihat perhiasan yang mereka pakai dan menerusi itu kita tahu jenis mana pelanggan sasaran. Malah kami juga menawarkan kerjasama dengan syarikat berprestij seperti Queen’s Heart Collection dan Hearts on Fire (Amerika Syarikat). Untuk bertahan sejauh ini, kami juga membabitkan diri dalam pelbagai pameran perdagangan termasuk di Timur Tengah dan Eropah.


INFO
Cawangan Habib:

1. Ampang Point

2. Suria KLCC

3. Semua House, Jalan Masjid India

4. Alpha Angle

5. Bangsar Village II

6. The Curve, Petaling Jaya

7. Plaza Shah Alam, Selangor

8. Bangunan satelit, KLIA

9. Alamanda Shopping Centre, Putrajaya

10. Plaza Angsana, Johor Bahru

11. Central Square, Sungai Petani

12. The Spring, Kuching

13. Mydin Mall, Kuala Terengganu

14. Mydin Mall, Pitt Street, Pulau Pinang

15. Gurney Plaza, Pulau Pinang

16. Queensbay Mall, Pulau Pinang

17. 1 Borneo, Kota Kinabalu, Sabah

18. Mydin Mall, Subang Jaya

19. Mydin Mall, Ayer Keroh

20. Suria, Sabah (terbaru yang akan dibuka pada 4 Disember 2009)


PROFIL

Datuk Habib Mohamed Abdul Latif

Jawatan: Pengasas Habib

Usia: 83 tahun

Asal: Pulau Pinang

Nama isteri: Ummu Latifah (Allahyarhamah)

Bilangan anak: 5

Nama anak: Siraj, Siti Jawaahari, Sabariah, Meer Sadik dan Siti Shariffah



5 Komen:

Anonymous said...

boleh x bgi personal details datuk dgn lbh bnyk?

Anonymous said...

btul-btul...

Anonymous said...

Snow96,
bleh x klau berkongsi apa faktor2 Habib Jewel boleh berjaye

alfy said...

pendidikan beliau ape

Anonymous said...

pendidikan xdiulas dgn details

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom