Home » » Penyu belimbing khazanah negara

Penyu belimbing khazanah negara

Fakta Penyu Belimbing

Berdasarkan penemuan fosil, penyu belimbing atau nama saintifiknya Dermochelys Coriacea adalah salah satu haiwan yang berasal dari era-mesozoic kira-kira 180 juta tahun lalu.

Dinosaur dan kira-kira 200 spesis penyu dahulunya sudah lama pupus,namun penyu belimbing serta enam lagi spesies masih lagi bertahan pada hari ini walaupun bilangannya makin berkurang.

Bentuk kerapasnya yang agak lembut seperti kulit dan mempunyai lima jaluran biring (ridges) adalah seperti buah belimbing besi. Haiwan yang berwarna hitam berbintik putih ini boleh mencapai saiz keseluruhan panjang sehingga dua meter dan seberat 600 kilogram.

Rekod saiz yang terpanjang penyu ini yang pernah direkod di Rantau Abang Terengganu adalah sepanjang 1.75 meter (karapas) pada 1992.

Proses bertelur penyu ini pada waktu malam di pantai boleh mencapai sehingga empat jam dan purata ia akan bertelur 90 biji bersama kira-kira 29 peratus telur kecil tanpa kuning.

Berdasarkan rekod penandaan Jabatan Perikanan di Rantau Abang, penyu ini tidak bertelur setiap tahun dan ia boleh bertelur sehingga sembilan kali setahun dan purata empat hingga lima kali setahun.

Haiwan ini diketahui memakan obor-obor dan organisme laut yang lembut menggunakan rahangnya yang berbentuk seperti gunting dan ditelan secara mengembangkan kerongkongnya yang besar.

Ia menggunakan kaki renang hadapannya yang unik itu untuk mengembara sehingga 5,000 kilometer di laut dan menyelam sehingga 1,000 meter dalam untuk memburu makanan.

Oleh itu tidak hairanlah penyu ini yang ditanda di Rantau Abang telah ditemui di negara lain seperti Jepun, China dan Filipina.

Penyu belimbing dipercayai mempunyai kepentingan tersendiri kepada ekosistem lautan dan ia didapati memilih pantai berpasir tertentu saja di dunia untuk bertelur.

Di antara ciri utama pantai berpasir yang menjadi pilihannya untuk bertelur adalah berair dalam, bercerun tinggi dan pantai terdapat lagun atau muara sungai yang berhampiran.

Beberapa tempat pendaratan penyu ini yang diketahui di dunia adalah seperti berikut:
Asia: Irian Jaya, Terengganu dan Phuket.
Amerika Selatan: Cos-ta Rica, Surinam, French Guyana dan kepulauan Carribean.
Afrika Selatan: Natal dan Tonga.

Di beberapa negara, kehadiran penyu ini dieksploitasi bagi tujuan komersil termasuk untuk minyak, kulit dan dagingnya. Di Terengganu ia membawa rezeki melalui aktiviti pelancongan dan penjualan telur yang mana mulai tahun 1990, kerajaan negeri mengharamkan pemakanan telurnya.

Kehadiran penyu belimbing khasnya di pantai Rantau Abang, untuk bertelur pada Mei hingga Ogos setiap tahun sejak sedekad lalu membawa banyak misteri dan nostalgia.

Antaranya adalah menggamit rezeki kepada penduduk tempatan melalui aktiviti pelancongan dan penjualan telur penyu.

Seorang pengusaha di sini yang mendapat banyak hasil daripada aktiviti pajakan dan kutipan telur penyu pernah mendapat gelaran `Che Abas Kaya' suatu ketika dahulu.

Khazanah unik ini juga telah mengundang ilham kepada beberapa penggiat seni tempatan hingga terciptanya tarian balada penyu, puisi-puisi berkaitan penyu ilham J M Aziz dan lagu-lagu berkaitan termasuk Allahyarham Sudirman.

Sementara itu penyu belimbing juga popular sebagai objek dan imej pengenalan pelbagai pihak terutama kerajaan negeri Terengganu.

Mengikut rekod Jabatan Perikanan pada tahun 1956, ada kira-kira 9,500 sarang penyu belimbing setahun dengan menghasilkan kira-kira 855,000 telur. Bilangan berkenaan kini merosot kepada hanya 596 sarang pada 1986 dan paling malang pada tahun 1996 hanya tinggal 68 sarang direkodkan.

Amat malang bagi semua pencinta alam jika khazanah berharga itu terus lenyap pada dalam masa terdekat ini. Hakikat daripada tragedi itu amat pahit untuk ditelan dan kepupusannya adalah akibat kesilapan manusia yang mengutamakan nafsu dan tidak prihatin kepada kewujudan makhluk berkenaan.

Banyak faktor yang dikenal pasti sebagai punca kepupusan penyu Belimbing di negara kita. Antara punca utama adalah:

i. Tabiat memakan telur penyu oleh sesetengah orang dari dahulu hingga sekarang menyebabkan sehingga tiada peluang untuk ia membiak. Ada teori mengatakan jika semua telur penyu sesuatu populasi itu dimakan setiap tahun, dipercayai selepas kira-kira 80 tahun populasi penyu akan lenyap.

ii. Pembunuhan penyu secara sengaja di beberapa negara untuk tujuan makanan, pengambilan minyak dan perubatan.

iii. Terbunuh dengan tidak sengaja di dalam alat menangkap ikan di laut seperti pukat hanyut, pukat tunda, rawai dan bubu. Mengikut rekod Jabatan Perikanan pada tempoh 1990-1996 dilaporkan sebanyak 13 penyu belimbing dijumpai mati di Terengganu dipercayai kerana masalah ini.

iv. Kematian ibu dan anak penyu laut akibat pencemaran terutama minyak, sisa toksik dan bahan plastik. Bahan minyak misalnya menyebabkan anak penyu yang bersifat pelagik mati kerana termakan atau tersedut semasa pernafasannya. Bahan plastik juga dikesan sebagai penyebab kematian penyu belimbing yang menyangka makanannya itu obor-obor.

v. Akibat pembangunan yang tidak terancang pantai tradisi pendaratan penyu tidak lagi sesuai kerana gangguan, hakisan dan peningkatan suhu. Ada teori menyatakan dinasor pupus kerana dipengaruhi suhu panas bumi yang menjuruskan kepada ketidakseimbangan jantina populasi. Faktor ini didapati juga telah mempengaruhi populasi penyu belimbing di Rantau Abang di mana kini kadar penetasan telur semakin rendah dipercayai kerana suhu panas menyebabkan lebih banyak anak penyu betina dihasil berbanding jantan.

vi. Usaha perlindungan dan pemuliharaan sumber khazanah ini secara menyeluruh dan berkesan agak lewat diadakan di mana santuari penyu hanya ditubuhkan pada tahun 1989.

Di Terengganu haiwan berkenaan adalah dilindungi oleh Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan) 1987. Di antara perkara yang diliputi oleh enakmen itu termasuk kutipan telur, pembunuhan, gangguan, pemakanan berkaitan. Ia mungkin lebih berkesan jika dikemaskini untuk meliputi peraturan santuari dan penguatkuasaan yang tegas.

Sejak 1961 lagi Jabatan Perikanan bersama kerajaan negeri telah menjalankan projek penetasan penyu belimbing di Rantau Abang. Telur penyu yang diramkan dibeli daripada pemajak di mana sebelum pengharaman makan telurnya antara 20-30 peratus diramkan, tetapi selepas pewartaan pada tahun 1990 semua telur yang dihasilkan dibeli untuk diramkan.

Adalah didapati tahap keprihatinan masyarakat umum terhadap penyu kini semakin meningkat hasil program penerangan dan didikan khas melalui Pusat Penerangan Santuari Penyu Jabatan Perikanan di Rantau Abang.



Namun tidak dinafikan juga masih ada, terutama golongan yang berkepentingan tidak prihatin langsung kepada masalah berkenaan. Di samping itu berbagai-bagai kajian yang meliputi aspek biologi dan kehidupan penyu telah, sedang dan akan dijalankan oleh Jabatan Perikanan bagi membantu meningkatkan usaha perlindungan.

Amnya kita semua perlu mengambil iktibar daripada malang dan tragedi yang telah menimpa kepada populasi penyu belimbing yang tidak ternilai itu.

~ Abdul Rahman Kassim



Affiliates

 
Chatroom