Home » » Hebatkah dengan merokok?

Hebatkah dengan merokok?

Tidak ramai orang ternama sedia menggunakan pengaruh mereka untuk membantu menghindari tabiat merokok.


PENGARUH filem ke atas kehidupan masyarakat, khususnya golongan muda dan remaja, memang tidak dapat dinafikan. Anak muda mana yang tidak mahu kelihatan hebat dan bergaya seperti idola mereka di dalam filem?

Tidak keterlaluan jika semua orang dikatakan mempunyai idola, sama ada selebriti atau negarawan yang kita kagumi. Sama ada bintang legenda Tan Sri P Ramlee atau watak filem klasik Inggeris Gone with the Wind atau filem blokbuster moden seperti Ocean's 13, kita semua ingin menjadi seperti mereka.

Namun, realiti kehidupan adalah jauh berbeza daripada filem yang kita tontoni.

Aktivis dan pakar asuhan telah lama mengingatkan kita bahawa filem popular mendorong tingkah laku yang tidak diingini dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Antaranya termasuk penggunaan bahasa kesat, pemakaian pakaian yang tidak sopan dan kelakuan buruk atau ganas.

Merokok juga sering menjadi tajuk yang diperdebatkan. Pakar penyelidikan sudah berpuluh-puluh tahun cuba mengumpul perangkaan yang menunjukkan pengaruh filem ke atas kecenderungan merokok dalam kalangan remaja. Memandangkan bilangan perokok muda meningkat setiap tahun, ibu bapa dan pakar penjagaan kesihatan ingin menyekat pelbagai saluran yang mempromosikan rokok.

Mereka mempunyai sebab yang kukuh. Satu kajian yang dijalankan di Universiti San Francisco mendapati kebarangkalian remaja dan orang dewasa muda merokok selepas menonton filem yang menampilkan perokok adalah 77 peratus. Selain itu, kecenderungan mereka menjadi perokok tetap adalah 86 peratus berbanding mereka yang jarang menonton filem dengan watak perokok.

Hasil kaji selidik yang melibatkan lebih 1,500 peserta berusia 15 hingga 25 tahun ini, telah disiarkan dalam American Journal of Preventive Medicine.

Selain pendedahan filem, para penyelidik berpendapat terdapat dua faktor tambahan yang memainkan peranan penting dalam menentukan tabiat merokok iaitu mereka menjangkakan sesuatu yang positif daripada tabiat merokok atau mempunyai rakan atau saudara mara yang merokok.

Meskipun ramai yang secara terbuka menyokong kempen mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam tetapi tidak ramai superstar atau orang ternama yang sedia menggunakan pengaruh mereka untuk membantu menghindari tabiat merokok.

Antara golongan selebriti ini termasuk supermodel dan usahawan Christy Turlington dan bintang Bollywood Shah Rukh Khan, yang bertekad untuk menghentikan tabiat merokok pada 2005.

Biarpun terdapat begitu ramai bintang filem yang menunjukkan aksi merokok dalam berpuluh ribu filem, hanya beberapa nama sahaja dikaitkan secara terbuka dengan kempen antimerokok.

Keadaan ini seolah-olah menunjukkan bahawa mereka tidak mahu terlibat dalam usaha murni menggalakkan generasi muda membanteras tabiat merokok memandangkan perjuangan seperti ini nampak kurang menarik. Ia mungkin kerana rokok sering dikaitkan dengan ketagihan lain.

Kajian yang dijalankan oleh Pusat Kajian Ketagihan dan Salah Guna Bahan Larangan di Universiti Columbia menunjukkan trend yang lebih merisaukan.

Kebarangkalian remaja yang merokok terlibat dalam penyalahgunaan arak adalah sembilan kali lebih tinggi manakala penyalahgunaan dadah terlarang pula adalah 13 kali lebih tinggi.

Selain itu, risiko remaja yang merokok untuk menunjukkan gejala tekanan adalah lebih besar dan risiko ini adalah lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang mula merokok pada usia lebih muda.

Terdapat teori yang mengatakan bahawa nikotin mampu memberi kesan yang lebih besar ke atas otak anak muda seperti remaja berbanding kesannya ke atas orang dewasa. Ini menyebabkan mereka lebih cepat ketagih nikotin.

Pejuang antirokok meletakkan sebahagian kesalahan ke atas orang dewasa sama ada ibu bapa, selebriti atau pemimpin masyarakat, yang sepatutnya menunjukkan teladan baik tetapi sebaliknya memberi mesej bahawa merokok boleh diterima. Faktor ini, bila digabungkan dengan tekanan rakan sebaya dan media, memberi impak yang sekali gus mendorong remaja untuk mencuba dan akhirnya terjerat dengan ketagihan rokok.

Jadi, jika ibu bapa, selebriti dan pemimpin masyarakat tidak menunjukkan teladan yang baik, siapa lagi yang boleh menjadi contoh?

Sebuah badan, Reality Check mendedahkan bahawa syarikat tembakau tidak menepati janji mereka untuk tidak mengiklankan tembakau dalam penerbitan seperti majalah Time, Newsweek dan People yang terdapat di perpustakaan sekolah.

Anda mencari lebih banyak sebab yang baik untuk tidak merokok? Sila lawati laman web www.iwanttoquitsmoking.com.my

~ Kosmo!



0 Komen:

Catat Komen

 
Chatroom