Buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi beribu-ribu fitokimia yang cenderung untuk saling bertindak dalam pelbagai cara untuk mencegah penyakit di samping meningkatkan kesihatan. Memakan pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran adalah satu-satunya cara terbaik untuk memanfaatkan saling tindakan kompleks ini.
Meskipun dengan semua kontroversi mengenai komponen optimum pemakanan yang sihat, hasil pelbagai kajian epidemiologi dan percubaan klinikal baru-baru ini, memberikan bukti bahawa pemakanan yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran mampu mengurangkan risiko penyakit kronik.
Secara am, buah-buahan dan sayur-sayuran padat dengan pelbagai khasiat tanpa kalori. Di samping itu, ia juga sumber bahan antioksida yang kaya. Antioksida adalah bahan ataupun nutrien dalam makanan kita yang boleh mencegah atau melambatkan kerosakan pengoksidaan kepada tubuh kita.
Oksigen adalah asas kehidupan yang juga nutrien paling penting diperlukan oleh setiap sel untuk melepaskan tenaga di dalam makanan yang menjalankan semua proses badan. Dalam tindak balas biokimia yang biasa, oksigen boleh menjadi tidak stabil dan mampu ‘mengoksidakan molekul bersebelahan’, yang menyebabkan kerosakan sel.
Dikenali sebagai radikal pengoksidaan bebas, sisa tubuh ini perlu dilumpuhkan untuk mengurangkan kerosakan itu. Ahli sains percaya bahawa bahan antioksida membantu mencegah dan meredakan tekanan akibat aktiviti radikal bebas.
Bahan antioksida yang utama adalah vitamin A, C dan E dan beta karotena (pelopor vitamin A), flavanoids di samping mineral bahan antioksida seperti zink dan selenium. Ini terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran serta pelbagai jenis kacang dan bijian.
Kajian meluas menunjukkan bahawa pemakanan yang tinggi dalam makanan yang kaya dengan bahan antioksida, seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, memberikan perlindungan ketara terhadap penyakit berkaitan dengan usia.
Malah, penyelidikan juga menunjukkan kepentingan pemakanan yang seimbang, dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan kacang serta bijian yang mencukupi, adalah cara terbaik memperoleh keperluan bahan antioksida bagi tubuh. Disyorkan pengambilan antara lima hingga tujuh hidangan buah-buahan, sayur-sayuran setiap hari.
Vitamin C adalah nutrien penting - yang tidak boleh dihasilkan oleh tubuh, jadi kita perlu memakan makanan yang mengandunginya. Memandangkan tubuh menguraikan vitamin C dengan cepat dan jumlah yang disimpan agak sedikit, kita perlu makan makanan dengan kandungan vitamin C secara tetap, seelok-eloknya setiap hari. Dalam manusia, vitamin C adalah bahan antioksida yang amat berkesan dan penting bagi perkembangan dan penyelenggaraan tisu parut, salur darah, dan rawan.
Buah-buahan yang padat dengan vitamin C adalah buah anggur hitam (blackcurrant), jambu batu, betik, lemon, tembikai, oren dan beri. Kanak-kanak dan orang dewasa digalakkan memakan buah-buahan yang kaya dalam Vitamin C untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat dan ceria.
Karotenoid dan vitamin A memainkan peranan yang penting, antaranya dalam penglihatan, daya ketahanan, kesihatan kulit dan aktiviti bahan antioksida. Flavonoid adalah keluarga sebatian besar yang disintesiskan oleh tumbuh-tumbuhan dengan struktur kimia yang sama.
Selain sifat antioksidanya, pengambilan makanan yang kaya dengan flavonoid dalam jumlah yang besar dikaitkan dengan penurunan risiko penyakit kardiovaskular. Flavonoid seperti antosianidin lazimnya didapati dalam beri ungu, merah dan biru, anggur merah dan ungu dan buah epal.
Zink dan selenium adalah bahan antioksida dan terkandung dalam kacang seperti badam, walnut, kacang hazel, kacang tanah, pistasio, kacang pain; bijian seperti biji labu dan biji bunga matahari, serta makanan laut.
Memang benar buah-buahan kaya dalam nutrien dan penting untuk kesihatan kita, tetapi sejak kebelakangan ini, perkataan ‘superfruit’ sudah digunakan oleh industri makanan untuk merujuk kepada buah yang lebih kaya dalam nutrien terutama kandungan vitamin C dan antioksida. Antaranya buah anggur hitam, beri biru, manggis, noni, buah delima dan kranberi dikumpulkan bawah definisi ‘superfruits’ ini.
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan