Home » » » Tip Kikis Tabiat Buruk

Tip Kikis Tabiat Buruk

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

Anda ada banyak tabiat buruk? Mungkin sudah tiba masa untuk anda mengubahnya demi penampilan diri yang lebih positif.


Sama ada mahu mengakuinya atau tidak, kita semua mempunyai tabiat buruk tersendiri. Memang tabiat itu sukar sekali untuk dibuang, tetapi adakah kita sedar bahawa sikap buruk itu biasanya sangat menjengkelkan orang lain?
Tabiat buruk boleh terdiri daripada apa sahaja. Sama ada meludah di merata-rata, menghantar SMS ketika memandu, merokok, menggigit kuku, gemar mengeluarkan kata-kata kesat dan banyak lagi, yang secara tidak langsung boleh menjadi cermin kepada perwatakan diri kita.

Pastinya kita tidak mahu dinilai sebagai seorang individu yang negatif hanya kerana tabiat yang sebenarnya boleh dibuang atau dikurangkan jika kena caranya.

Walau apa pun tabiat itu, anda perlu mula berfikir untuk mengubahnya apabila:

- Tabiat tersebut membuatkan anda sukar dinaikkan pangkat atau berjaya dalam kerjaya. Sebagai contoh, anda gemar merendah-rendah keupayaan rakan sekerja yang lain.

- Tabiat anda menyebabkan lahirnya isu-isu yang kronik atau tidak perlu dalam perhubungan.

- Tabiat yang membuatkan anda menjadi gembira. Misalnya berbelanja mewah, terutamanya membeli barang yang tidak perlu.

Ada juga antara kita yang kurang pasti apakah tabiat buruk diri sendiri. Jadi, tanyalah sahabat yang boleh memberikan jawapan jujur. Andai benar, ambil usaha untuk membuangnya menerusi langkah yang disenaraikan di bawah.

Namun begitu, langkah-langkah ini hanya untuk tabiat-tabiat biasa dan bukannya tingkah laku yang dianggap sebagai kompulsif atau impulsif oleh komuniti perubatan seperti ketagihan tegar.

Sedari bahawa tabiat ini adalah tabiat yang buruk.

Adalah penting untuk menyedari apa yang anda lakukan hampir setiap hari itu sesuatu yang tidak berfaedah dan sudah tiba masanya ia dibuang. Sebagaimana sedia maklum, tabiat ialah tingkah laku yang diulang-ulang dan adakalanya menjadi sukar dikawal.

Justeru, individu perlu fokus untuk membuang tabiat buruknya.

Cari segala keburukan daripada tabiat itu secara terperinci dan jadikannya sebagai satu motivasi untuk membuangnya.

Pantau tabiat anda

Biasanya tabiat yang dilakukan seakan berlaku begitu sahaja tanpa anda sedari. Kalau memang suka menipu, anda akan menipu biarpun perkara yang ditipu itu tidak memberi sebarang faedah kepada diri anda.

Sama juga dengan tabiat mengumpat, pantang berjumpa dengan rakan 'sepasukan' anda, pasti akan ada sahaja cerita buruk orang lain yang hendak disebarkan.

Sebagai permulaan, anda perlu kuatkan mental untuk menghentikan tabiat buruk itu secara serta merta. Contohnya, apabila sedang sibuk mengumpat, cuba fikirkan kesan buruk yang terpaksa dilalui oleh individu yang anda umpat.

Elak atau uruskan pencetus tabiat itu dengan bijak.

Tabiat buruk timbul apabila ia dicetuskan oleh sesuatu situasi. Justeru, jalan terbaik ialah berdepan dengan pencetus itu dengan bijak. Kalau anda suka merokok, jangan letak rokok dan bekas habuk rokok di depan mata.

Namun begitu, bukan semua benda boleh dialihkan sebegitu mudah. Sama juga apabila anda suka menggigit kuku semasa membaca, adalah tidak wajar anda berhenti membaca kerana itu sahaja sebabnya.

Sebab itulah langkah yang disebutkan tadi ialah elak dan uruskan.

Gantikan dengan tabiat yang baik

Langkah terakhir adalah dengan membina asas tabiat baru dengan konsisten. Apa kata anda mula menukar tabiat suka menjawab telefon ketika memandu dengan memberi fokus kepada jalan raya, atau menukar menu kopi dalam sarapan dengan buah-buahan.

Memang bukan mudah untuk mengubah sesuatu yang telah anda lakukan sejak bertahun-tahun lamanya. Tetapi, apa yang ingin ditekankan di sini ialah anda mesti mencuba untuk menjadi seorang yang lebih baik tanpa tabiat tersebut.



1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

Loved your blog! Where do you reside Anizyn?

Catat Ulasan

 
Chatroom