Oleh Ibrahim Abdullah
RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kamu aku beritahu mengenai seburuk-buruknya pencuri? Sahabat bertanya: Siapakah dia, wahai Rasulullah? Nabi SAW menjawab: Orang yang mencuri dari solatnya. Sahabat bertanya: Bagaimana seseorang mencuri dari solatnya? Baginda SAW bersabda: Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya."
Dalam kisah lain, Rasulullah SAW pernah menyuruh orang yang sudah melakukan solat untuk mengulangi solatnya hingga tiga kali. Sebabnya, ketika solat orang itu belum menyempurnakan wuduknya, takbirnya, berdirinya, bacaannya, rukuknya, sujudnya dan toma'ninahnya.
Baginda SAW menjelaskan cara yang benar dalam melakukannya sebanyak empat kali hingga selesai. Lalu Baginda bersabda yang bermaksud: "Solat seseorang di antara kamu tidak akan sempurna sebelum mengerjakan yang demikian itu."
Menunaikan solat saja tidak mencukupi hingga mencapai taraf kesempurnaan. Kesempurnaan bukanlah paksaan, tetapi sebagai cara untuk menerapkan jiwa solat supaya membentuk keperibadian terpuji, menghasilkan keberkatan serta memperbaiki diri.
Kesempurnaan solat dimulakan dengan menyempurnakan wuduk mengikut contoh dan petunjuk Rasulullah SAW kerana pergerakan tanpa peraturan tidak akan memberi makna.
Setiap gerakan solat memiliki jiwa dan roh, peranan serta makna tersendiri yang akan memantulkan kekuatan positif. Ia adalah sebuah irama kesatuan yang saling membantu dan menyempurnakan gerakan seterusnya.
Wuduk bermakna membersihkan keperibadian buruk dan dosa. Menghadap kiblat bererti menghadapkan jiwa dan roh sepenuh hati dengan khusyuk dan merendah diri. Manakala takbiratulihram membesarkan Zat Allah.
Membaca surah dengan menghayati dan berkeinginan untuk mengamalkannya. Rukuk dan sujud adalah bentuk perwujudan ketundukan, kepatuhan dan kepasrahan diri secara menyeluruh kepada Zat Yang Maha Agung.
Kualiti ketakwaan seseorang sesungguhnya berkait rapat dengan kualiti solat kerana selain berkomunikasi dengan Allah, solat juga membentuk hubungan mendidik jiwa daripada melakukan perkara dilarang yang akan merosak jiwa.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan keji) dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat lain), dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-'Ankabut, ayat 45)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apa pendapat kamu jika sebatang sungai berada di depan rumah seorang daripada kamu, kemudian ia mandi sebanyak lima kali setiap harinya, apakah tersisa kotoran darinya? Sahabat menjawab: Tentu tidak tersisa sedikit pun kotoran. Baginda SAW bersabda: Demikianlah perumpamaan solat, ia berfungsi sebagai penggugur dosa dan kesalahan." (Hadis riwayat Muttafaqa 'Alaih).
Sayyid Qutb dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran menyebutkan, solat adalah jalan (mikraj) pertemuan seorang hamba yang daif dengan Allah Yang Maha Besar. Dengan solat seorang hamba berasa dekat dengan Pencipta.
Hati menjadi tenang dan jiwa sejuk. Solat ibarat sumber mata air sejuk yang tidak pernah kering oleh terik perjalanan dunia. Justeru itu, orang yang berakal sihat pasti amat bergembira mencelupkan dirinya ke dalam mata air solat lima kali sehari semalam secara berjemaah.
Malaikat pencatat amalan kebajikan pun menulis setiap langkah menuju masjid dapat mengangkat satu darjat kemuliaan. Mencatatkan langkah berikutnya sebagai penghapus satu kesalahan.
Jika seorang jemaah berjalan dari rumah menuju masjid atau musalla yang jaraknya 10 meter dengan 20 langkah. Maka 10 meter pula kenaikan satu darjat kemuliaan dan 10 meter berikutnya menghapus kesalahan.
Jika dilakukan lima waktu dalam sehari semalam, bererti 50 darjat kemuliaan dan 50 penghapusan dosa. Allah pun dapat memberikan kelebihan pahala lagi bagi hamba-Nya yang ikhlas memenuhi seruan solat.
Syeikh Hasan al-Banna menulis sepucuk wasiat kepada penggerak muda Muslim yang berbunyi, "Jika kamu mendengar seruan azan, segeralah tunaikan solat berjemaah walaupun kesibukan kamu."
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang yang beriman kepada-Nya dan hari kemudian, serta (tetap) mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang yang mendapat petunjuk." (Surah at-Taubah, ayat 18)
Perkara pertama dilakukan Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah dalam rangkaian hijrahnya adalah membangun masjid. Dari sini kita dapat mengambil pelajaran betapa pentingnya posisi masjid dalam perjuangan kaum Muslimin.
Semangat persamaan dan penyatuan ummah tidak mungkin lahir jika Muslimin tidak bertemu setiap hari dalam satu saf di hadapan Allah. Masjid selain tempat beribadat adalah landasan penyatuan atas dasar ketakwaan.
Justeru, setiap masjid tidak boleh sunyi daripada aktiviti yang menyatukan ummah sebaliknya dimakmurkan supaya institusi masjid menjadi institusi penting kepada umat Islam mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka.
Masjid juga mesti menjadi perantara pembinaan ummah. Hanya dengan dimakmurkan, masjid akan memainkan fungsi strateginya sebagai institusi kebangkitan ummah Islam.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya beruntunglah orang Mukmin, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang meninggalkan perbuatan sia-sia." (Surah al-Mukminun, ayat 1-3)
Diceritakan, bahawa Muhammad al-Fatih dan tenteranya ketika ingin menakluk kota Istanbul seperti dijanjikan Rasulullah SAW dalam hadisnya, tidak pernah meninggalkan solat wajib, rawatib dan tahajud sejak baligh.
Jiwa dan roh solat mereka telah berhubungan langsung dengan Allah iaitu sumber segala kekuatan. Itulah barangkali kunci kejayaan utama kejayaan beliau dan tenteranya menakluk kota Istanbul yang menjadi kota khalifah Islam terkenal hingga berkurun lamanya.
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan