Home » » Anggur tinggi khasiat

Anggur tinggi khasiat

Oleh Nur Farhatul Aishati Azharie

KAJIAN menunjukkan anggur bukan saja membekalkan kandungan vitamin C yang tinggi, bahkan boleh membaiki tahap antioksida dalam tubuh manusia. Kehadiran tinggi radikal bebas yang berpunca daripada pelbagai elemen seperti pencemaran didapati antara punca utama yang menyebabkan kulit mengalami proses penuaan dengan cepat.

Justeru, apa saja yang mengandungi bahan antioksida berupaya untuk meneutralkan radikal bebas. Anggur antaranya. Tidak hairanlah pengambilan anggur digalakkan berikutan kandungan antioksidanya yang tinggi.

Kajian yang dijalankan oleh Dr Ronald L Prior dari USDA’s Arkansas Children’s Nutrition Centre mendapati bahawa cara pemakanan boleh menyebabkan tekanan oksida pada badan. Oleh itu, anda digalakkan untuk memakan buah-buahan selepas setiap hidangan.

Dr Prior menunjukkan bahawa proses metabolik untuk menghadam makanan tanpa antioksida, kecuali lemak, karbohidrat dan protein, mengakibatkan kemerosotan pada tahap kemampuan antioksida di dalam darah. Kemerosotan itu boleh dielakkan dengan mengambil buah-buahan mengandungi antioksida yang tinggi seperti buah anggur.

Kebaikan buah anggur sering kali didengar tetapi ramai tidak tahu bagaimana untuk menerapkannya dalam masakan menyebabkan ia hanya diambil secara mentah.

Juru masak terkenal, Chef Nicholas Pillai, berkata anggur boleh dipelbagaikan dalam apa saja masakan jika anda mempunyai kreativiti dan keberanian bagi mencuba resipi unik dan menarik.

“Saya tidak hanya tertumpu kepada satu cara masakan saja. Walaupun apa yang saya sajikan hari ini masakan gaya Barat, saya menggunakan beberapa bahan tempatan supaya dapat disesuaikan dengan masakan Asia. Antaranya serai dan cili padi untuk membangkitkan rasa masakan Asia,” katanya.

Bertempat di kediamannya di Petaling Jaya, Nicholas mencipta pelbagai resipi unik menggunakan anggur. Anggur boleh disajikan bersama ayam, daging, sebagai kebab, dalam salad dan juga dibuat menjadi manisan dan minuman.

Beliau menghidangkan pelbagai jenis masakan itu dengan menggunakan California Grapes yang kini boleh didapati di semua pasar raya di Malaysia. California Grapes berbeza dengan anggur lain kerana ia lebih rangup dan keras bermakna ia lebih segar dan manis. Kelebihannya juga terdapat pada warnanya. Misalnya, anggur berwarna merah lebih kecil dan lebih manis serta lebih rangup menjadikan ia sesuai buat pelbagai jenis masakan.

“Bagi minuman Lassi, pada mulanya saya menggunakan anggur berwarna hijau, tetapi saya mendapati jusnya tidak mengeluarkan sebarang warna dan tidak cantik jika ingin dihidangkan kepada tetamu. Sebagai ganti, saya campurkan buah anggur ungu bagi menacantikan warna jus berkenaan dan saya berpuas hati dengan hasilnya, harap anda juga mencuba,” katanya.

Walaupun pertama kali menikmati masakan menggunakan buah anggur, masakan Pillai tidak berasa pelik mahupun terlalu manis. Malah semua hidangannya lebih lazat dicampurkan dengan jus yang diperoleh daripada anggur berkenaan.

Nasihat beliau jika ingin memasak menggunakan anggur, jangan dibuang kulitnya kerana anggur yang dimasak tanpa kulit akan menyebabkan terlalu banyak air lebihan dalam hidangan berkenaan. Jika ayam atau daging dikukus bersama anggur, perisa buah berkenaan akan menyerap ke dalam ayam atau daging yang digunakan kerana buah anggur diperbuat daripada 80 peratus air.

Paling penting, katanya, jangan menggunakan buah anggur yang sudah lama. Anggur yang segar lebih baik kerana walaupun buah berkenaan hanya beberapa hari saja, ia akan membawa impak yang besar terhadap hidangan itu. Ingatlah, anggur mudah menjadi lembik dan apabila ia berlaku, jusnya akan keluar dan hasilnya masakan akan menjadi sedikit masam.

INFO: Khasiat anggur

Kandungan vitamin C yang tinggi.
Khasiat lain termasuk vitamin A, B1, B2
Mempunyai kalori yang rendah.
Mengandungi 80 peratus air dan sumber yang bagus bagi kalium.
Mengandungi phytonutrien, bahan aktif dipercayai melindungi badan manusia daripada bahan dan penyakit jantung.



1 Komen:

akbar berkata...

makasih infonya..

Catat Ulasan

 
Chatroom