Home » » Qiyam Ramadan

Qiyam Ramadan

RASULULLAH s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa melakukan qiyam Ramadan, sedangkan dia beriman serta mengharapkan rahmat Allah Taala, maka dia akan diampunkan dosanya yang telah lalu." (Hadis Sahih Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah)

Qiyam Ramadan yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah menghayati setiap malam pada bulan Ramadan dengan ibadat sunat, terutama solat sunat Tarawih.

Solat sunat Tarawih adalah solat sunat yang dikhususkan hanya pada Ramadan sebagai buah tangan yang sangat bermakna kepada umat Islam untuk merebut pahala berganda kerana ia tidak boleh dilakukan pada bulan lain, selain Ramadan.

Perkataan 'tarawih' ialah kata jamak daripada perkataan 'tarwihah' yang bermakna berhenti rehat kerana orang yang mengerjakan solat Tarawih akan berhenti sebentar pada setiap kali mereka selesai mengerjakan empat rakaat dengan dua salam.

Solat Tarawih sunat hukumnya untuk ditunaikan lelaki dan perempuan dan ia boleh dilakukan di rumah dengan seorang diri atau berjemaah, tetapi lebih afdal dikerjakan berjemaah di masjid atau di surau.

Mengenai solat Tarawih ada hadis daripada Aisyah r.a., katanya: "Bahawa Rasulullah s.a.w, pada suatu malam (dalam bulan Ramadan) ketika jauh malam keluar lalu solat di masjid, diikuti beberapa orang lelaki sebagai makmum.

Pada keesokan harinya terhebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu mereka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua) serta mereka bersolat bersama Baginda.

Keesokannya terhebah peristiwa itu diperkatakan orang lalu bertambah ramai orang hadir di masjid pada malam ketiga. Rasulullah s.a.w keluar ke masjid lalu solat, diikuti oleh jemaah.

Sampai malam keempat, penuh sesak masjid dengan jemaah (tetapi Baginda tidak datang) sehinggalah Baginda keluar ke masjid untuk mengerjakan solat Subuh.

Selesai solat, Baginda menghadap orang ramai lalu (memulakan ucapannya dengan memuji Allah Taala dan) mengucap syahadah, kemudian Baginda (menerangkan sebabnya Baginda tidak datang ke masjid untuk mengerjakan solat Tarawih bersama), sabdanya:

"Amma ba'du, sebenarnya tidak terlindung kepada aku mengenai kedudukan kamu (sebagai orang-orang yang taat dan suka berbuat kebajikan), tetapi aku bimbang (solat Tarawih) itu akan difardukan atas kamu, maka dengan itu kamu tidak terdaya mengerjakannya."

Imam al-Zuhri, seorang perawi hadis ini berkata: "Maka wafatlah Rasulullah s.a.w sedang perkara (solat Tarawih) itu berkeadaan demikian" (tidak dikerjakan dengan berjemaah). (Hadis Sahih, Riwayat Bukhari)

Sejak itu solat Tarawih tidak dikerjakan berjemaah di masjid tetapi masing-masing mengerjakannya bersendirian, di rumah atau di masjid.

Keadaan ini berterusan sehingga zaman Saidina Umar r.a, baru solat Tarawih dikerjakan berjemaah di masjid menurut seorang imam yang dilantik Umar sendiri seperti yang diterangkan dalam hadis berikut (maksudnya):

Daripada Abdul Rahman bin Abd al-Qari, katanya: "Pada suatu malam dalam bulan Ramadan, saya mengiringi Umar bin al-Khattab ke masjid, tiba-tiba (kami) dapati orang ramai (di situ) berpecah-pecah kepada beberapa kumpulan yang berasingan, ada orang yang solat seorang diri, ada pula yang solat lalu diikuti beberapa orang.

(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata: "Aku fikir, kalau aku kumpulkan mereka ini semuanya berimamkan seorang imam, tentulah amalan itu amat baik."

Kemudian beliau mengambil keputusan lalu mengumpulkan mereka semuanya berimamkan Ubai bin Kaab.

Selepas itu, saya mengiringi Saidina Umar pada suatu malam yang lain (pergi ke masjid), (pada ketika itu) orang ramai sedang solat berimamkan imam mereka (yang tersebut).

(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata: "Amalan ini satu perbuatan bidaah yang baik ..." (Hadis Sahih, Riwayat Bukhari)

Menurut huraian ulama, kalimah 'bidaah yang baik' disebutkan Saidina Umar ialah arahannya mengenai solat Tarawih dengan berjemaah selepas beliau menjadi khalifah.

Ini kerana ia dapat menyatupadukan umat Islam dan kerana itulah ia diterima dengan ijmak oleh sahabat Nabi s.a.w yang ada pada zamannya serta diwarisi umat Islam turun-temurun.

Mengenai bilangan rakaat solat Tarawih banyak keterangan berlainan, tetapi menurut yang dipilih dan diamalkan jumhur ulama daripada kalangan mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali ialah 20 rakaat berdasarkan amalan sahabat Nabi dalam zaman Saidina Umar r.a, seperti yang diterangkan dalam hadis berikut, maksudnya:

"Daripada Al-Sa'ib bin Yazid r.a, katanya: Mereka (sahabat Nabi) biasanya mengerjakan solat Tarawih dalam bulan Ramadan - pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab, sebanyak 20 rakaat..." (Hadis riwayat Baihaqi)

Imam Baihaqi r.a, menyebutkan sebuah hadis lagi diriwayatkan Imam Malik dan Yazid bin Ruman katanya: "Biasanya orang ramai mengerjakan solat Tarawih dalam bulan Ramadan - pada zaman Saidina Umar r.a., sebanyak 23 rakaat ..." (Hadis Mursal).

Dalam ulasannya, Imam Baihaqi berkata: Kedua-dua hadis yang tersebut (tidak bercanggah), malah boleh disatukan kerana mereka mengerjakan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat (seperti disebut dalam hadis pertama), kemudian mereka mengerjakan solat Witir tiga rakaat (seperti disebut dalam hadis kedua).

Solat Tarawih sebanyak 20 rakaat ialah pilihan mazhab Syafi'i, Hanafi dan Hanbali berdasarkan hadis terbabit.

Dalam mazhab Maliki, pada mulanya solat Tarawih dikerjakan sebanyak 20 rakaat juga, kemudian ditambah 16 rakaat disertakan dengan tiga rakaat solat witir - yang menjadikan jumlahnya: 39 rakaat.

Tetapi menurut sesetengah ulama, solat Tarawih boleh dikerjakan sebanyak lapan dan 20 rakaat, kerana ada hadis mengenai perkara itu.

Rasulullah s.a.w mengerjakan solat Tarawih sebanyak lapan rakaat disertakan dengan tiga rakaat solat witir, manakala sahabat nabi mengerjakannya sebanyak 20 rakaat pada zaman Saidina Umar r.a.

Ada pula segolongan kecil yang terdorong membidaahkan amalan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat yang termaklum, kerana dakwa mereka, hadis yang menjadi dalilnya bukan hadis sahih.

Bagaimanapun, solat Tarawih yang sempurna dan mendapat pahala ialah solat yang dilakukan dengan tenang dan khusyuk, sempurna bacaannya dan sempurna segala-galanya sesuai dengan dasar 'ihsan' iaitu segala amal bakti hendaklah dikerjakan sebaik-baiknya.

Oleh Idris Musa



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom