Home » » Rahsia Senaman

Rahsia Senaman

Kalau sehari tidak bersenam, seluruh badan terasa tidak sihat dan otak pula dirasakan lambat berfikir, kata seorang pensyarah sukan yang mengaku ‘ketagih’ bersenam.

Senaman ringan setiap pagi membuatkan dia cergas sepanjang hari, manakala aktiviti lebih ‘berat’ pada waktu petang mengembalikan semula tenaga yang hilang.

Inilah penangan tindak balas pelbagai jenis hormon apabila kita bersenam seperti endorfin, hormon pertumbuhan, prolaktin, kortisol dan testosteron yang menjadikan kita berasa sihat, bertenaga, cergas dan gembira.

Bagaimanapun, tahap tindak balas dan paras hormon berbeza mengikut jenis aktiviti yang dilakukan. Ini sebabnya kita disaran melakukan semua jenis senaman (aerobik, regangan dan ketahanan) secara berselang seli untuk mendapat manfaat terbaik.

Selain menjaga makan, bersenam antara rahsia utama untuk awet muda. Kajian menunjukkan paras hormon pertumbuhan yang dilabel sebagai ‘hormon anti penuaan’ meningkat selepas 40 minit bersenam. Hormon ini memberi kesan positif mengembalikan keremajaan tulang, otot, kulit, otak dan mengurangkan lemak.

Senaman juga membantu mengekalkan penghasilan hormon seks lelaki dan wanita (testosteron dan estrogen) yang secara semula jadi turun mendadak dengan peningkatan umur, terutama selepas menopaus bagi wanita atau 40 hingga 50 tahun bagi lelaki.

Untuk menikmati faedah di atas (ia hanya sebahagian kecil daripada manfaat bersenam), senaman perlu dijadikan rutin harian dan kalau boleh, mulakan hari ini juga. Bagi yang tidak aktif, senaman permulaan terbaik ialah berjalan cepat.

Berjalan dikenal pasti sebagai senaman lembut yang sesuai untuk semua peringkat umur; tidak kira sama ada individu itu menghidap penyakit atau tidak.

Berjalan adalah senaman semula jadi yang selamat, mudah, mempunyai impak rendah kepada kaki dan tidak memerlukan latihan khusus.

Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana saja — di pejabat, dalam ruang sempit atau di bilik tidur dengan berjalan setempat. Untuk mengekalkan kesihatan, kita disaran bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari tiga atau empat kali seminggu. Lebih baik jika dapat dilakukan setiap hari.

Selain meningkatkan penghasilan hormon, berjalan cepat ada manfaat terhadap kesihatan keseluruhan seperti:

# Menyihatkan jantung dan merendahkan risiko mengalami serangan jantung dengan merendahkan paras kolesterol tidak baik (LDL) dan meninggikan paras kolesterol baik (HDL).

# Mengawal tekanan darah. Berjalan cepat sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu selama 30 minit sehari boleh menurunkan tekanan darah dan mengembalikannya ke paras sihat. Ia juga mampu mencegah komplikasi kesihatan yang buruk kerana tekanan darah tinggi seperti serangan jantung atau strok.

# Merendahkan risiko mendapat kencing manis. Kencing manis biasanya datang bersama tekanan darah tinggi dan berlebihan berat badan. Kencing manis jenis 2 berlaku kerana badan tidak dapat menggunakan insulin bagi mengawal paras gula dalam darah. Berjalan dapat meningkatkan keupayaan badan untuk memproses gula dengan lebih baik.

# Mengawal kencing manis. Berjalan memperbaiki kebolehan badan untuk memproses gula dan mengawal paras gula dalam darah. Ia membantu melancarkan aliran darah, terutama ke kaki iaitu anggota yang sering mengalami masalah kerosakan saraf dan salur darah halus yang secara tidak langsung mengurangkan risiko penyakit jantung.

# Mengawal berat badan. Berjalan boleh mengurangkan masalah berat badan dalam jangka masa panjang, selain mampu membuatkan seseorang memiliki bentuk tubuh lebih menarik.

# Memperbaiki emosi. Berjalan dan bersenam merangsang badan menghasilkan hormon endorfin yang membuatkan kita berasa gembira.

# Mengekalkan keanjalan dan kekuatan otot serta sendi.

# Menguatkan tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis.

# Mengekalkan kestabilan dan mengurangkan risiko jatuh, terutama kepada warga tua.

Namun, tidak dapat dinafikan bersenam sendiri kadangkala menyebabkan kita berasa bosan.

Terbabit dalam aktiviti sosial seperti senaman beramai-ramai bukan saja baik untuk kesihatan, malah memberi kesan positif kepada emosi.

Kajian juga turut menunjukkan aktiviti sosial mampu meningkatkan keyakinan dii seseorang, rasa diri dihargai dan paling penting ia mampu membantu mengekalkan ingatan.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom