KAWAL: Pengambilan makanan tidak menyihatkan boleh memudaratkan kesihatan.
Fungsi sebagai pengurus rumah tangga bolehkan mereka kawal pengambilan makanan manis elak diabetes
DIABETES atau penyakit kencing manis bukanlah isu baru dalam kesihatan, sebaliknya sudah acap kali dibincangkan malah pelbagai program dan kempen sudah pun dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran, sekali gus untuk mengurangkan bilangan penghidap penyakit itu.
Bagaimanapun, penyakit yang begitu sinonim dengan pengambilan gula atau makanan manis berlebihan itu dikatakan terus menjadi antara penyakit yang meningkat setiap tahun bukan saja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Penghidap penyakit berkenaan bukan saja wanita atau lelaki dewasa, tetapi juga seawal usia kanak-kanak.
Ketua Pakar Pemakanan Prince Court Medical Centre Sdn Bhd (PCMC), Datin Farah Diba Khan, berkata walaupun masyarakat semakin menyedari mengenai bahaya atau risiko penyakit diabetes masih ada yang terus mengamalkan gaya hidup kurang sihat, khususnya dalam amalan pemakanan dan aktiviti harian.
Beliau berkata, senario itu sudah tentu tidak elok untuk kesihatan diri kerana penyakit berkenaan boleh menyebabkan masalah lain seperti penglihatan menjadi kabur dan beberapa komplikasi lain termasuk kerosakan pada saraf dan saluran darah kecil serta akan menyebabkan kerosakan organ tertentu seperti buah pinggang, hati dan jantung.
“Kencing manis berlaku apabila keadaan gula di dalam darah kita melebihi paras normal dan kandungan gula yang melebihi ini boleh menyebabkan punca beberapa penyakit lain. Untuk itulah kita mesti mengamalkan corak pemakanan yang sihat dan gaya hidup yang baik sejak kecil atau ketika masih muda lagi. Kita tidak perlu tunggu untuk berbuat demikian apabila usia sudah pun meningkat,” katanya ketika ditemui di PCMC di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Farah berkata, berdasarkan pengalaman kebanyakan pesakit diabetes ditemui adalah mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit itu. Bagaimanapun, ada juga pesakit yang tidak mempunyai ahli keluarga menghidap diabetes turut mendapatnya. Antara punca masalah itu yang dikenal pasti ialah amalan pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.
Beliau berkata, wanita hamil juga berisiko mendapat diabetes. Ini berikutan, ketika mengandung wanita berkenaan yang mengidam sesuatu makanan khususnya berlemak dan berkarbohidrat tinggi mungkin mengambilnya mengikut selera, tanpa ada kawalan.
“Wanita hamil yang menghidap diabetes memberikan risiko kepada kandungan kerana saiz bayi mungkin besar dan ini menyebabkan kesukaran ketika bersalin. Tetapi, lazimnya dalam kebanyakan kes masalah diabetes itu akan dapat diatasi selepas dua hingga tiga minggu bersalin.
“Bagaimanapun, tidak mustahil masalah diabetes itu boleh berterusan jika wanita terbabit tidak mengawal atau mengamalkan pemakanan yang sihat selepas bersalin,” katanya.
Justeru, beliau berkata, adalah penting seseorang itu mengawal makanan kerana pada asasnya tiada menu makanan khusus untuk penghidap diabetes. Langkah terbaik, seseorang itu perlu mengawal makanan diambil terutama yang mengandungi tahap kandungan gula tinggi, berlemak atau pun cara paling mudah, mengambil makanan seimbang bagi membantu mengawal tahap kandungan darah dalam badan dan berat badan.
“Apabila memperkatakan amalan makanan sihat ia tidak bermakna langsung tidak boleh makan makanan yang bergula, berlemak atau yang bergoreng. Ini kerana dalam budaya makan di kalangan masyarakat Malaysia, makanan sebegini sudah pun menjadi amalan sejak dulu. Misalnya, nasi adalah makanan utama masyarakat Malaysia, jadi kita tentulah hendaklah mengambilnya setiap hari.
“Dalam erti kata lain makanan sebegitu adalah amalan sebenar masyarakat Malaysia. Jadi, apa yang lebih penting kita hendaklah mengurangkan tahap pengambilan sesuatu makanan itu dan ramuannya seperti kandungan gula, garam dan sebagainya. Pada masa yang sama, memastikan nikmat dan rasanya tetap tidak berbeza. Begitu juga nasi, kita mesti kurangkan pengambilannya setiap hari kerana ia mengandungi karbohidrat yang tinggi,” katanya.
Farah berkata, ibu bapa boleh mengawal atau menerapkan amalan pengambilan makanan sihat pada anak terutama melalui masakan atau ketika menyajikan hidangan di rumah. Malah, jika ada ahli keluarga menghidap diabetes tidak perlulah menyediakan dua menu yang berbeza sebaliknya adalah lebih baik seisi keluarga menjaga kesihatan dan turut mengamalkan cara pemakanan sihat seperti mana penghidap penyakit itu.
Katanya, dengan menunjukkan contoh terbaik, anak pasti dapat mengamal dan membiasakan diri dengan gaya pemakanan yang sihat. Selain itu, ibu juga boleh menggunakan bahan ramuan alternatif yang kini banyak terdapat di pasaran bagi mengurangkan kandungan lemak atau gula dalam sesuatu menu masakan.
“Masalahnya, walaupun menggunakan bahan ramuan alternatif, ada yang mengambilnya lebih daripada kadar disarankan kerana inginkan kepuasan cita rasanya. Kaedah itu tentu tidak memberi makna dalam mengawal pengambilan makanan sihat,” katanya.
Beliau berkata, mengamalkan gaya hidup sosial yang aktif termasuk melakukan senaman juga berperanan besar dalam menghindarkan diri daripada diabetes. Untuk itu ibu bapa perlu menggalakkan anak mereka agar lebih banyak melakukan aktiviti di luar rumah bagi meningkatkan kecergasan diri berbanding menghabiskan masa di rumah dengan menonton televisyen dan menghadap komputer.
Begitu juga melakukan pemeriksaan rutin adalah wajar bagi memastikan kesihatan sihat dan segala-galanya terkawal, selain mungkin dapat mengesan sebarang kemungkinan yang tidak diingini lebih awal.
Bagi ibu bapa mempunyai anak yang mengalami masalah diabetes, Farah menyarankan selain mendapatkan khidmat rundingan pakar pemakanan mereka turut digalakkan berjumpa dan mendapatkan nasihat pakar psikologi bagi menangani trauma dan tekanan dihadapi.
“Bukan mudah bagi kanak-kanak melalui kehidupan sebagai pesakit diabetes terutama jika terpaksa mendapatkan rawatan suntikan insulin. Untuk itu, sokongan emosi perlu diberikan selalu. Masalah akan lebih ketara jika kanak-kanak itu tidak mahu makan sedangkan bagi pesakit diabetes walau sakit sekalipun mesti makan sedikit kerana dia perlu mengambil ubat setiap hari. Jika tidak makan, kesihatannya boleh terjejas,” katanya.
INFO: Perkara yang perlu dititikberatkan
Ambil pelbagai jenis makanan sihat termasuklah bijirin, kekacang, buah-buahan, sayur-sayuran, daging merah dan putih tanpa lemak, ikan dan hasil tenusu rendah lemak.
Elak mengambil makanan berlemak. Walaupun sesetengah jenis lemak itu perlu untuk menjamin kesihatan dan mengawal suhu badan, tetapi anda harus berhati-hati. Kebanyakan lemak dalam makanan bukan saja membuat anda gemuk, tetapi membahayakan kesihatan.
Makanan yang kaya dengan lemak tidak tepu seperti adpokat, minyak kelapa sawit dan minyak zaitun adalah baik. Begitu juga dengan makanan yang kaya dengan lemak omega-3 seperti dalam makanan laut.
Kurangkan pengambilan makanan bergula. Makanan bergula biasanya tidak mengandungi khasiat pemakanan yang diperlukan badan.
Terlalu banyak gula mengundang risiko kencing manis. Sesekali, buat pemeriksaan kadar gula dalam darah. Cara ini anda dapat merancang pemakanan atau diet dengan lebih baik dan sempurna.
Pilih makanan yang mempunyai indeks glisemik (GI) rendah seperti oat, kekacang, nasi, roti mil penuh, susu rendah lemak dan dadih untuk mengawal paras glukosa dalam darah.
Jika anda tidak sempat bersenam, lakukan pergerakan aktif sekurang-kurangnya 30 minit sehari. Ini penting untuk meningkatkan kadar metabolisme tubuh. Senaman juga baik bagi yang menjaga berat badan, mengawal selera makan dan paras glukos dalam darah.
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan