Home » » Sifat benar punca kemuliaan

Sifat benar punca kemuliaan

SIFAT benar adalah asas kemuliaan, lambang ketinggian, tanda kesempurnaan dan gambaran daripada tingkah laku bersih lagi suci.

Sifat inilah juga menjamin dapat mengembalikan hak kepada yang berhak, memperkukuhkan ikatan antara anggota masyarakat, tidak terkecuali sama ada dia seorang ahli ilmu atau politik, hakim atau ahli perniagaan, selama mereka hidup dalam masyarakat yang saling memerlukan satu sama lain.

Pada hakikatnya, ia satu sifat Allah, sebagaimana difahami melalui ayat suci bermaksud: “Dan siapakah (pula) yang lebih benar perkataannya daripada Allah.” (an-Nisa’:87)

Ia juga adalah sifat keistimewaan yang paling jelas dan wajib ke atas nabi dan rasul.

“Ceritakanlah (hai Muhammad) kisah Ibrahim (yang tersebut) dalam al-Quran. Sesungguhnya ia seorang yang sangat membenarkan lagi seorang nabi.” (Maryam: 41)

Allah menyuruh Mukmin supaya bertakwa kepada-Nya dan bersama orang yang benar dalam jihadnya, keikhlasannya dan pengorbanannya kerana menegakkan kalimah Allah.

Menggabungkan diri bersama orang benar akan menambahkan tenaga keimanan, keyakinan dan hidayah.

“Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar.” (at-Taubah:119)

Sifat benar akan memberikan ketenangan kepada jiwa yang mulia, manakala dusta menjadikan ia resah dan gelisah.

Daripada al-Hasan bin Ali, katanya: Saya hafal sebuah hadis daripada Rasulullah s.a.w (maksudnya): “Tinggalkan apa-apa yang meragukan kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kesan benar itu adalah kedamaian dan dusta itu keraguan.”

Sifat benar adalah punca kepada setiap sifat kemuliaan, manakala dusta adalah punca kepada segala kejahatan dan kerosakan.

Justeru, jauhilah sifat dusta kerana dusta akan membawa kepada kejahatan dan kejahatan akan ke neraka.

Rasulullah s.a.w ada bersabda, maksudnya: “Empat sifat jika semuanya itu ada pada diri engkau, maka tidak perlu berasa kesal atau putus asas atas ketiadaan nikmat dunia, iaitu memelihara amanah, berakhlak mulia, berkata benar dan terpelihara atau bersih makanannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dari Ibnu Umar)

Sifat seorang Mukmin itu ialah benar. Tidak dapat bersatu antara iman dan dusta. Mungkin seorang Mukmin itu ada bersifat pengecut atau bakhil tetapi tidak mungkin ia bersifat dusta kerana Rasulullah s.a.w ditanya:

“Adakah mungkin seorang Mukmin itu penakut?”

Jawab Rasulullah: Mungkin.

“Adakah mungkin ia bakhil?”

Jawabnya: Mungkin.

“Adakah mungkin ia dusta?”

Jawabnya: Tidak.

Sebenarnya tidak ada suatu sifat yang paling dibenci Rasulullah s.a.w lebih daripada sifat dusta.

Sifat benar mempunyai beberapa jenis, antaranya benar pada lidah, benar pada niat dan iradah, benar pada azam serta benar pada janji dan amal.

Imam al-Ghazali ada memberikan penjelasan mengenai perkara ini, seperti berikut:

1. Benar pada lisan atau benar pada kata-kata, iaitu menyampaikan suatu kenyataan atau berita menepati seperti apa yang sebenarnya, contohnya dalam jual beli.

“Kedua-dua orang yang berjual beli bebas untuk memilih selama mereka tidak berpisah. Jika kedua-duanya benar dan menyatakan (yang benar) maka jual belinya diberkati untuk kedua-duanya. Tetapi jika menyembunyikan dan dusta maka dimusnahkan keberkatan jual belinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

2. Benar pada niat dan iradah, ialah bahawa daya penggerak atau pendorong untuk melakukan sesuatu amal kebajikan itu hanyalah Allah. Benar dengan pengertian ini termasuk dalam pengertian ikhlas. Oleh kerana itu, orang tidak ikhlas dalam amal usahanya adalah dusta seperti ditegaskan hadis dan al-Quran.

3. Benar pada azam dan cita-cita, iaitu azam dan cita-cita untuk mengamalkan sesuatu amal kebaikan. Jiwanya sentiasa penuh dengan azam untuk melakukan kebaikan.

4. Benar dalam melaksanakan keazaman. Menurut Imam al-Ghazali, sifat benar ini lebih hebat berbanding tiga perkara di atas.

5. Benar pada amalan, iaitu berusaha bersungguh-sungguh supaya amalan lahir seseorang itu benar-benar menepati dengan yang tersembunyi di dalam dirinya atau matanya.

Seorang yang solat kerana Allah pada lahirnya hendaklah juga kerana Allah pada batinnya.

Ini kerana amalan yang menepati lahir dengan batin adalah amalan suci yang melambangkan ketulusan beribadat kepada Allah.

6. Sifat benar yang paling tinggi dan paling mulia ialah benar pada maqam dalam agama, seperti sifat benar pada takutkan Allah, benar pada pengharapan kepada Allah, pada zuhud, reda dan tawakal.

Usaha untuk mencapai matlamat tadi adalah amat susah tetapi mulia. Tidak ada batas matlamat kepada maqam terbabit sehingga boleh dicapai ke batas kemuncaknya.

Setiap hamba mempunyai bahagiannya mengikut halnya masing-masing, cuma berbeza dari segi lemah atau kuatnya, manakal sampai ke darjat yang kuat dinamakan benar (sidq).

Darjat benar (sidq) tidak ada batas penghujungnya, bahkan mungkin seseorang itu benar pada sesetengah perkara atau maqam, tetapi tidak pada yang lain. Jika seseorang itu benar pada keseluruhan perkara barulah ia berhak menerima gelaran benar (sidq).

~ Metro



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom