Home » » Gaya hidup sihat

Gaya hidup sihat

Berapa ramai antara kita yang senang hati mengeluarkan wang untuk membayar kos rawatan sebagaimana kita membelanjakan wang ketika membeli-belah?

Jika ada, anda termasuk dalam kumpulan yang sangat bertuah kerana wang bukan masalah kepada anda.

Memandangkan kos rawatan semakin mahal, lebih baik jika langkah beringat diambil dari awal seperti mendapatkan perlindungan insurans. Pada masa sama ada kaedah lebih mudah, murah dan praktikal untuk dijadikan amalan — yang terbukti dapat meningkatkan tahap kesihatan serta kualiti hidup.

Antara tabiat baru yang kita perlu jadikan amalan ialah:

* Makan sarapan. Lebih awal kita bersarapan, lebih baik. Kajian menunjukkan orang yang bersarapan kurang berkemungkinan mengalami masalah kegemukan. Orang meninggalkan sarapan akan terdorong untuk makan lebih banyak kerana biasanya apabila sampai waktu makan mereka sangat lapar. Perkara ini perlu diberi perhatian individu yang mahu menurunkan berat badan.

Ibu bapa perlu memastikan anak bersarapan sebelum ke sekolah kerana ia meningkatkan kepekaan, daya tumpuan dan prestasi di bilik darjah. Sarapan seringkas sandwic, susu atau bijirin memadai untuk memberi tenaga, memperbaiki emosi dan membantu kepekaan minda.

* Tidur secukupnya. Setiap orang memerlukan enam hingga lapan jam tidur sehari. Kekurangan tidur bukan saja membuat anda mengantuk pada siang hari, tetapi boleh menjejaskan prestasi kerja dan paling penting membahayakan nyawa sendiri dan orang lain jika terlelap ketika memandu.

Tidur yang cukup penting untuk kesejahteraan emosi dan mental. Tidak cukup tidur mengurangkan daya tumpuan dan membuat anda berasa lebih mudah tertekan. Malah, ada kajian mengaitkan tidak cukup tidur dengan masalah psikiatri.

Dalam laporan sebelum ini, Presiden Persatuan Permasalahan Tidur Malaysia, Profesor Dr Syed Hassan Syed Ahmad, berkata tanda awal seseorang itu akan mengalami gangguan mental ialah apabila tidak dapat tidur dengan mudah seperti sebelumnya. Mereka resah gelisah dan tidak dapat rehat secukupnya.

Empat fungsi tidur ialah memberi peluang kepada tubuh kita untuk berehat, meningkatkan daya sistem imun, menjana daya kognitif dan pemikiran rasional serta mengawal suhu badan. Kekurangan tidur meningkatkan risiko diserang pelbagai penyakit dan boleh menjejaskan kesuburan.

* Perbaiki hubungan sosial. Sertai persatuan penduduk, rekreasi atau badan bukan kerajaan yang menjalankan kerja amal. Berdasarkan kajian yang disiarkan dalam Jurnal Kesihatan Perlakuan Amerika, aktiviti sosial dikatakan memberi kesan positif pada kesihatan mental dan fizikal. Berkongsi masalah dengan rakan (walaupun dia hanya mendengar) boleh meringankan beban emosi.

* Bersenam. Jika tidak bersungguh-sungguh, perkara ini sukar dijadikan sebahagian daripada rutin hidup, walaupun semua orang tahu kebaikan bersenam. Untuk manfaat jangka panjang, bersenam boleh mengawal berat badan, mengekalkan kesihatan tulang, otot dan sendi; mengurangkan risiko sakit jantung, kencing manis, strok dan tekanan darah tinggi; melancarkan aliran darah serta meningkatkan daya ketahanan badan.

Manfaat jangka pendek senaman ialah membantu meningkatkan daya tumpuan dan kepekaan, badan rasa lebih selesa, menjadikan kita cergas dan bertenaga, memperbaiki emosi serta paling penting ia membantu mengurangkan tekanan tanpa disedari.

Usah lagi mencari alasan tiada masa atau terlalu penat kerana di tempat kerja pun kita boleh bersenam. Bagi individu yang mengalami masalah cepat berasa penat, senaman antara ubat terbaik dan murah untuk anda. Senaman semudah berjalan setempat selama 20 hingga 30 minit di bilik tidur atau di depan televisyen mampu memberi kesan ketara pada anda.

* Flos gigi setiap hari. Memberus saja tidak cukup untuk memastikan kesihatan gigi kerana ia tidak dapat membersihkan sisa makanan yang terlekat di celah gigi. Ada penyelidik mengatakan, membersihkan gigi dengan flos boleh memanjangkan hayat selama enam tahun.

Menurut Pensyarah Jabatan Periodontologi, Fakulti Pergigian Universiti Carolina Utara, Profesor Ray William, banyak kajian klinikal membuktikan banyak kes masalah serangan jantung berlaku pada individu yang kurang memberi penjagaan pada kebersihan mulut.

Ini kerana bakteria dalam mulut boleh merebak ke organ lain melalui salur darah. Kehadiran bakteria merangsang sistem imun badan untuk bertindak balas bagi menghapuskannya. Kesan tindak balas ini boleh menyebabkan keradangan, terutama pada sistem kardiovaskular (jantung) dengan menebalkan dinding salur darah.

Keadaan ini lama kelamaan menyebabkan salur darah menjadi sempit dan serangan jantung boleh berlaku. Dalam kajian lain, penyelidik mendapati kaitan antara bakteria dalam mulut dengan strok, kencing manis, kelahiran tidak cukup bulan dan bayi lahir tidak cukup berat.

* Ambil susu dan minum banyak air. Badan memerlukan air untuk membolehkan semua organ (contohnya hati, buah pinggang, jantung dan otak) berfungsi dengan baik. Air juga diperlukan untuk melancarkan pergerakan sendi.

Kekurangan air mencetuskan isyarat ‘kecemasan’ dalam badan. Pusat Sumber Air Universiti Minnesota melaporkan, apabila keadaan ini berlaku, badan menyimpan semua molekul air yang menjadikan badan kita lebih berat. ‘Lebihan berat’ ini hanya hilang apabila badan mendapat cukup air.

Individu yang berusaha mengurangkan berat badan disaran minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari kerana ia menjadi ‘ejen’ yang memudahkan pemecahan dan penyingkiran lemak dalam badan. Selain itu, kekurangan air menjadikan kita mudah letih dan mengantuk walaupun cukup rehat.

Susu bukan sekadar membekal kalsium untuk kesihatan tulang, malah ia dikatakan mampu membantu melindungi kita daripada penyakit jantung, tekanan darah tinggi, batu karang dan kanser usus.

* Makan lebih banyak sumber serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, bijirin dan kekacang. Pakar perubatan berpendapat, pengambilan serat yang mencukupi dapat melindungi kita daripada kanser usus.

* Banyakkan berjalan. Ia boleh dilakukan di tempat kerja dengan mengurangkan penggunaan lif, sebaliknya menaiki tangga dan letakkan kenderaan anda jauh sedikit dari pintu masuk. Antara cara lain untuk menggalakkan anda berjalan ialah bersiar-siar di pusat beli-belah, mengunjungi taman dan pusat rekreasi. Ingat, bagi setiap 20 langkah, kita membakar satu kalori.

Menurut Badan Senaman Amerika, kajian lapan tahun ke atas 13,000 orang mendapati, golongan yang berjalan 30 minit sehari menunjukkan pengurangan ketara risiko mengalami kematian awal berbanding orang yang jarang bersenam. Antara punca kematian awal ini ialah serangan jantung dan strok.

Berjalan antara cara paling mudah menyayangi diri sendiri kerana kurang bersenam dan bergerak hanya mendekatkan kita dengan pelbagai penyakit gaya hidup.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

assalam, untuk info mengenai nutrisi sihat yg sgt membantu dalam memperbaiki sel badan yg rosak (akibatkan penyakit dan berat badan yg tidak ideal), boleh check out dan join http://ummishamnutrisihat.blogspot.com
( tak kenal, maka tak cinta )

Catat Ulasan

 
Chatroom