Home » » Minyak masak cara semburan kawal kalori

Minyak masak cara semburan kawal kalori

Minyak dan gula, bahan asas masakan yang payah diketepikan meskipun masing-masing memiliki kandungan kalori yang tinggi.

Pengurangan minyak membolehkan pengurangan kalori dalam masakan. Satu sudu teh minyak mengandungi lima gram lemak yang bersamaan dengan 45 kalori. Satu sudu besar pula mengandungi kira-kira 120 kalori.

Minyak yang baik untuk kesihatan seperti minyak jagung dan bunga matahari tetap memiliki kalori yang tinggi. Meskipun ia dikelaskan minyak yang baik, apa yang penting adalah penggunaannya yang harus dikurangkan.

Justeru, antara cara yang boleh diamalkan adalah mengawal kuantiti minyak. Usah menuangnya dari botol sebaliknya, gunakan sudu atau lebih baik gunakan minyak secara semburan.

Cara semburan didapati mampu mengawal penggunaan minyak yang banyak kerana lazimnya, hanya sedikit minyak digunakan ketika semburan.

Gula pula adalah karbohidrat ringkas malah ramai yang mungkin tidak menyedari sumber gula tersorok di sebalik penggunaan pelbagai nama gula yang lain.

Antara nama lain yang tetap mengandungi gula adalah gula perang, gula tebu, sirap, madu, maltosa, fruktosa, glukosa, sukrosa dan dekstrin.

Pengurangan gula boleh dilakukan secara berperingkat supaya deria rasa dapat menerima perubahan. Misalnya, guna separuh atau tiga perempat daripada kuantiti gula yang biasa digunakan dalam makanan.

Sekiranya biasa menggunakan dua sudu gula dalam minuman, kurangkan pengambilannya dengan menggunakan satu sudu saja. Jika sudah biasa menggunakan sesudu gula, cuba kurangkannya hingga separuh sudu.

Jika minum di kedai, pesan minuman kurang manis. Minuman berkarbonat pula harus dikurangkan kerana satu tin minuman berkenaan (kandungan 250 mililiter) mempunyai antara sembilan hingga 12 sudu teh gula.

Buah-buahan dalam tin yang direndam dalam sirap gula dan buah-buahan jeruk yang disaluti gula juga harus dikurangkan pengambilannya.

Ketika memesan jus buah-buahan segar pula, seeloknya ia tidak ditambah gula dan sebaiknya, lebihkan pengambilan minuman air kosong.



0 Komen:

Catat Komen

 
Chatroom