Home » » Pinggang ramping hidup lebih bahagia?

Pinggang ramping hidup lebih bahagia?

Hampir setiap individu pasti pernah mengalami peningkatan berat badan, apatah lagi apabila usia meningkat.

Namun, apa yang dibimbangkan adalah apabila berat badan meningkat tanpa kawalan hingga akhirnya seseorang itu dibelenggu masalah obesiti.

Dahulu, keburukan gemuk atau obesiti lebih dipandang dari sudut fizikal semata-mata kerana ia mencacatkan penampilan seseorang. Tetapi kini ia dianggap satu penyakit berbahaya kerana mampu mengundang pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetis, angin ahmar dan kanser.

Berdasarkan satu kajian, kira-kira 30 peratus masyarakat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan dan 16 peratus daripada mereka dikategorikan sebagai obesiti.

Dalam mengukur kegemukan diri, ramai maklum bahawa ia berlandaskan berat badan mereka dan Indeks Berat Badan (BMI) seseorang.

Bagaimanapun, tiada siapa tahu semakin ramping pinggang seseorang itu tandanya mereka semakin meninggalkan masalah kegemukan atau obesiti daripada hidup mereka, malah bakal menjalani kehidupan lebih bahagia.

Ukuran pinggang sebenarnya adalah satu cara paling ringkas dalam mengukur kandungan lemak badan yang terkumpul di pinggang.

Mungkin ramai tidak sedar lemak yang terkumpul di bahagian itu akan menimbulkan risiko kesihatan lebih tinggi berbanding lemak pada bahagian lain seperti pinggul atau paha.

Kehadiran lemak di kawasan itu akan meningkatkan risiko menghidapi tekanan darah tinggi, kencing manis dan paras kolesterol yang tinggi dalam darah dan semua itu merupakan faktor risiko utama yang membawa kepada penyakit koronari jantung dan angin ahmar.

‘‘Sebab itu kajian mendapati individu yang mempunyai pinggang ramping lebih cenderung memiliki kehidupan lebih bahagia kerana dengan berat badan yang ideal, kita mampu mendapatkan kepuasan dalam hidup ditambah memiliki badan yang sihat,” kata Pensyarah Kanan Psikologi Klinikal, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Alvin Ng Lai Onn.

Menurut beliau, penemuan menarik hasil kajian kempen Happy Weight With 10 yang dianjur oleh Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO) dan Abbott Laboratories itu turut mendapati bahawa mereka yang berpinggang besar memiliki keyakinan diri dan tahap kepuasan hidup yang lebih rendah.

Perlu juga diketahui, lelaki secara fizikalnya lebih tinggi dan mempunyai berat badan serta ukuran pinggang yang lebih besar berbanding wanita.

Malah, wanita yang berusia antara 36 dan 40 tahun juga mempunyai ukuran pinggang lebih besar berbanding wanita muda (usia 21 dan 30 tahun).

Jelasnya, wanita sepatutnya memiliki ukuran pinggang 81.2 sentimeter (32 inci) ke bawah manakala lelaki 94 sentimeter (37 inci) ke bawah dan jika melebihi, seseorang itu bukan sahaja lebih berisiko untuk menambah lagi berat badan, tetapi turut mendekatkan diri kepada penyakit berbahaya.

Penyakit mental

Malah, hasil kajian itu juga mendapati semakin tinggi berat badan seseorang itu, semakin rendah keyakinan dalam diri mereka.

Lebih teruk lagi, kegemukan turut meninggalkan kesan mendalam terhadap diri seseorang apabila mereka sering berpandangan negatif terhadap diri sendiri sehingga akhirnya mendedahkan diri kepada penyakit mental.

‘‘Jika kegemukan dialami sejak kecil, diskriminasi terhadap mereka telah bermula dari zaman kanak-kanak dengan diejek rakan dan ia berlarutan sehingga dewasa menyebabkan keyakinan diri luntur seterusnya dilanda tekanan perasaan.

‘‘Andainya masalah kegemukan tidak diatasi, golongan itu berisiko tinggi untuk mengalami penyakit mental,” katanya ketika membentangkan kertas kerja mengenai hubung kait antara keyakinan dan kepuasan diri dengan berat badan, baru-baru ini.

Lebih mengejutkan, kajian yang dijalankan ke atas penduduk sekitar Kuala Lumpur itu menunjukkan rata-rata mereka mempunyai BMI yang melepasi garis berat badan unggul dan lebih tepat dikatakan, memiliki berat badan berlebihan.

Sebabnya, wujud corak pemakanan yang tidak sihat di kalangan mereka dengan mengamalkan makan malam berlebihan serta kurang melakukan senaman ekoran kesibukan diri.

‘‘Pada waktu malam kita tidak seharusnya makan banyak kerana pada waktu malam kadar metabolisma badan berada pada tahap yang begitu rendah dan akan menukarkan tenaga yang lebih kepada lemak,” tegasnya.

Turun 10 peratus kurang risiko kesihatan

Dipandang daripada sudut kesihatan, mereka yang gemuk lebih berisiko untuk mati pada usia muda dan melalui kehidupan yang menyakitkan apabila lebih terdedah diserang penyakit kronik.

Namun, apa yang menggembirakan, jika seseorang yang mengalami berat badan berlebihan mahupun obesiti berjaya mengurangkan 10 peratus daripada berat badan mereka, bermakna mereka sedang melangkah untuk menyaksikan peningkatan tahap kesihatan seperti menurunkan risiko menghadapi tekanan darah, jantung dan kencing manis serta tahap kolestrol lebih rendah.

Bagaimanapun, menurut Pakar Perunding Endokrinologi, Pusat Perubatan Gleneagles, Dr. Faridah Ismail, tiada jalan mudah untuk mengurangkan berat badan dan ada yang mengambil masa sehingga 10 tahun untuk mendapatkan berat badan ideal mereka.

Justeru katanya, mereka yang berhasrat untuk mengurangkan berat badan perlu melakukan ia melalui kaedah yang sihat, selamat dan bukannya mengikut trend berdiet yang akhirnya merosakkan diri sendiri.

Seeloknya, diet yang baik adalah dengan menukar cara pemakanan yang selama ini diamalkan, termasuk meningkatkan aktiviti fizikal, mengubah cara kehidupan dan jika semua itu tidak memberikan kesan, mereka perlu berbincang dengan doktor.

Jelasnya, jika seseorang itu obesiti dan berjaya mengurangkan lima hingga 20 peratus berat badan tersebut secara dasarnya mereka sebenarnya telah berjaya menurunkan lebih 20 peratus risiko kematian akibat penyakit kronik.

‘‘Jangan terlalu berharap dapat mengurangkan 10 peratus berat badan dalam tempoh sebulan kerana ia bukan satu perkara mudah.

‘‘Tetapi, sebenarnya peratus penurunan berat badan juga mampu mengubah tahap kesihatan diri terutama lebih mudah bernafas dan tidak mengalami sakit sendi,’’ katanya.

Sebelum seseorang itu ingin mengurangkan berat badan, pertama, mereka perlu menilai diri sendiri terutama kesediaan diri, komitmen dan sokongan orang sekeliling khususnya keluarga.

Oleh ROSMAWATI MION



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom