Home » » Berhati-hati dalam mencari rezeki

Berhati-hati dalam mencari rezeki

Makana suatu keperluan asas bagi setiap manusia tanpa mengira pangkat dan darjat. Kerana makanan manusia sanggup bergaduh sesama sendiri.

Kerana makanan juga manusia sanggup berbuat apa sahaja untuk memperolehnya. Oleh kerana makanan adalah suatu yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia, Islam telah menggariskan peraturan-peraturan tertentu agar makanan serta rezeki yang diperoleh adalah berdasarkan kepada sumber yang halal. Di dalam al-Quran Allah berfirman bermaksud:

''Wahai manusia, makanlah apa yang ada di muka bumi ini daripada sumber-sumber yang halal lagi baik.'' - (Al-Baqarah: 168).

Sesungguhnya perkara yang halal adalah suatu yang amat jelas, manakala yang haram serta terlarang juga jelas lagi nyata. Ini dinyatakan dengan tegas oleh Rasulullah di dalam sebuah hadis yang bermaksud:

''Sesungguhnya yang halal itu adalah jelas dan yang haram itu juga jelas. Dan di antara keduanya (iaitu halal dan haram) itu adalah perkara-perkara yang samar yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Barang siapa yang menjauhi perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah melakukan sesuatu yang boleh memelihara agamanya serta maruahnya. Dan barang siapa yang melakukan perkara syubhat maka dia telah melakukan perkara yang haram umpama penggembala yang menggembala binatang ternakannya berhampiran dengan tempat larangan yang mana terlalu hampir binatang ternakannya itu memakan dari tempat larangan tersebut.''.

Hadis ini menegaskan kepada seluruh umat Islam agar berhati-hati di dalam mencari rezeki mereka. Mereka diperintahkan supaya menjauhi segala rezeki yang berpunca daripada perkara-perkara yang haram. Hari ini ramai di kalangan umat Islam yang tidak begitu peka dengan apa yang memasuki perut mereka. Bak kata pepatah 'membujur lalu melintang patah'. Apa saja sumber asalkan boleh membawa kemewahan dan kesenangan habis disapu. Jadi tidak hairanlah bila anak-anak yang dilahirkan bermasalah. Akhlak dan budi pekerti tiada di dalam kamus kehidupan mereka.

Gejala dadah dan sosial seolah-olah sebati dengan kehidupan mereka. Anak-anak menjadi degil dan keras kepala serta tidak mendengar nasihat daripada ibu bapa dan juga guru-guru. Semua ini sama ada disedari atau tidak adalah hasil daripada makanan-makanan haram yang memenuhi perut anak-anak yang tidak berdosa. Hari ini kita dapati umat Islam melakukan rasuah, penipuan, pecah amanah dan sebagainya.

Pusat-pusat nombor ekor dipenuhi oleh muka-muka sawo matang yang jelasnya bergelar Muslim. Namun tiada perasaan malu lagi mereka miliki. Meskipun jelas terpapar bahawa berjudi adalah suatu yang diharamkan di dalam Islam, dan ia salah di sisi undang-undang, namun ia terus dilakukan secara terang-terangan. Ternyata sekali tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berwajib agar gejala pergantungan kepada sumber judi dan lain-lain sumber haram tidak menjadi budaya di dalam masyarakat kita.

Jika kita berjaya menjauhi diri kita daripada mencari rezeki dengan cara yang haram, ia masih belum mencukupi sehinggalah kita menggunakan segala rezeki tersebut dengan cara yang berhemat dan tidak membazir atau keterlaluan. Perbuatan membazir adalah suatu yang dilarang di dalam Islam bahkan mereka yang melakukan pembaziran disamakan oleh al-Quran sebagai saudara-saudara atau kaum kerabat syaitan. Firman Allah bermaksud:

''Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan''. - Al-Quran: Al-Isra':27).

Jika tempelakan seumpama ini datangnya dari makhluk yang bergelar manusia sekalipun, kita tentunya terasa bahawa ia suatu yang amat serius. Apatah lagi sekira ia datang daripada Allah, Tuhan yang mencipta seluruh makhluk. Tentulah ia lebih serius dan perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.

Seperkara yang kurang benar diberi perhatian oleh kita umat Islam apabila mereka makan ialah tentang khasiat sesuatu makanan. Di dalam al-Quran disebutkan bahawa kita disuruh supaya memakan makanan yang baik selain daripada ia dari sumber yang halal. Namun tidak ramai yang peka tentang khasiat serta kandungan vitamin di dalam makanan yang mereka makan. Contohnya jika di kampung, ramai yang sanggup menjual ayam ternakan mereka yang kaya dengan protein serta sayur-sayuran dan membeli ikan kering dan makanan-makanan lain yang kurang berkhasiat. Natijahnya kita dapati bahawa mereka mempunyai tahap kesihatan yang tidak begitu memuaskan.

Lantaran itu, kesedaran tentang pengambilan makanan yang sihat serta berkhasiat adalah perlu bagi menjamin tubuh badan serta minda yang kuat dan cergas. Ini amat penting kerana minda yang kuat hanya datangnya dari tubuh yang sihat dan kuat manakala tubuh yang sihat pula hanya datang dari makanan yang sihat serta berzat.


Oleh: Dr. NIK RAHIM NIK WAJIS



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom