Home » » » Air bersih badan sihat

Air bersih badan sihat

Setiap hari kita disarankan mengambil antara lapan hingga 10 gelas air. Jumlah ini amat penting memandangkan 70 peratus daripada keseluruhan tubuh manusia terdiri daripada air. Air secukupnya diperlukan bagi menyahtoksik dalam badan, melincirkan sendi dalam sistem kerangka, menyokong sistem dan organ pencernaan, mengawal suhu badan dan menghantar nutrien serta oksigen ke sel-sel badan.

Namun, adakah kita benar-benar mematuhi saranan ini dan yakinkah kita bahawa air yang diminum setiap hari mampu menjalankan tanggungjawab yang disebut?

Pakar Air Bertauliah dari Persatuan Kualiti Air (WQA) dan perunding Elken Bio Pure, Michael Robert Long berkata, setiap lima hingga 13 hari, air di dalam keseluruhan badan kita akan diperbaharui

"Jika air yang meliputi 70 peratus badan kita adalah bersih, maka sel badan akan mempunyai persekitaran sihat dan segar," katanya.

Menurutnya, air yang bersih dapat meningkatkan sistem imunisasi badan, menggalakkan metabolisme sel, mengurangkan risiko pertumbuhan sel-sel abnormal, menghalang penyebaran toksin dan mengurangkan risiko mendapat penyakit.

"Selain air yang kita minum, pelbagai lagi bendasing termasuk yang tidak baik terkandung di dalamnya. Saya tidak mahu benda lain, saya hanya mahukan air," ujar Long.

Beliau menjelaskan, air yang kita minum hari ini semakin tidak selamat kerana beberapa faktor. Antaranya pencemaran sumber air dan juga proses pengklorinan bagi menghasilkan air bersih yang disalurkan ke paip setiap rumah. Bahan kimia yang terbentuk ketika pengklorinan, menurut satu kajian yang pernah dijalankan, sangat berkait rapat dengan kecacatan bayi ketika lahir.

Kata Long lagi, pengklorinan dan penapisan mekanikal tidak menghilangkan arsenik daripada air. Malah, merebus air boleh meningkatkan kandungannya lagi. Arsenik dalam minuman boleh mengundang risiko kanser dan penyakit paru-paru.

"Kerana itu kita perlu memastikan air yang diminum dirawat dengan sepatutnya seperti menggunakan kaedah osmosis songsang yang terdapat pada penapis air tertentu," katanya lagi.

Ketahui banyak lagi fakta menarik mengenai air dengan mengunjungi Ekspo Pendidikan Air Elken H20: Tahukah Anda… Misi Penerokaan!

Dianjurkan oleh Elken Bio Pure, ekspo air pertama seumpamanya di Malaysia ini dibuka kepada orang ramai secara percuma sejak 23 Mei lalu hingga 16 Ogos ini. Ia diadakan di Pusat Konvensyen Elken di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Penganjuran ekspo itu bukan hanya bertujuan mewujudkan kesedaran tentang kepentingan air. Pada masa yang sama, ia mendidik pelawat mengenai kandungan mikro organisma dalam air yang tidak dirawat dan pelbagai cara merawat air.

"Satu ketika dahulu, kita semua tidak menghargai bekalan air yang terdapat dalam kuantiti yang banyak di muka bumi ini. Tetapi hari ini, air dikhuatiri semakin menjadi satu komoditi penting dan mungkin akan diletakkan pada harga yang tinggi atau lebih tinggi daripada petroleum," ujar Long.

Menurutnya, air adalah salah satu sumber yang paling bernilai di dunia tetapi sayangnya kita terus mengeksploitasikannya.

"Banyak yang telah diperkatakan dan ditulis tentang air. Namun kebanyakan daripada kita kurang menghargainya," katanya.

Menurutnya, tidak ramai yang sedar bahawa banyak lagi fakta tentang air yang tidak diketahui orang.

Justeru, katanya, ekspo itu bukan sahaja bersifat mendidik tetapi juga inovatif dan menyeronokkan kerana pihak penganjur akan membawa pengunjung melalui suatu perjalanan sejarah, geografi dan sains tentang air.

"Ia juga akan memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang air, kepentingannya pada kesihatan dan bagaimana kita boleh memainkan peranan yang penting dalam memelihara komoditi berharga ini," kata Long.

Katanya lagi, sama ada orang dewasa ataupun kanak-kanak pasti terpesona menyaksikan "ensiklopedia air sebenar" yang menawarkan pengalaman deria dan perjalanan yang menyeronokkan kepada pengunjung.

Beliau menjelaskan, perjalanan itu bermula dengan pandangan dari udara ke atas sistem solar dan keunikan planet biru kita.

Daripada ketakjuban sistem planet, Long berkata, perjalanan ilmu itu diteruskan ke padang pasir atau kawasan gurun yang hampir-hampir tiada air, kemudian beralih pula ke suatu tempat ekstrem di mana air terkunci di dalam bongkah-bongkah ais dan glasier.

Pengunjung kemudian akan memasuki alam lautan dan meneroka fakta luar biasa tentang hidupan laut sambil mencari-cari makhluk aneh yang tersembunyi dari mata kasar.

Penerokaan seterusnya akan membawa pengunjung ke sumber air bumi dan memahami mengapa air begitu banyak, tetapi air yang boleh digunakan pula terlalu sedikit.

"Jangan lupa mencuba replika skru Archimedes iaitu peralatan orang zaman purba mengepam air," katanya.

Selain itu, melalui ekspo ini anda juga akan mempelajari bagaimana untuk menjimatkan sumber berharga ini. Dan, jangan lupa menandatangani perjanjian untuk menjimatkan penggunaan air setiap hari bersama ribuan pengunjung lain di dinding yang disediakan.

Pengunjung juga dapat menyaksikan pameran oleh Yayasan Hidupan Liar Dunia (WWF) dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan yang turut serta sebagai penganjur bersama ekspo air pada kali ini.

Ekspo ini dibuka pada pukul 2 petang hingga 8 malam dari Isnin hingga Jumaat manakala pukul 10 pagi hingga 8 malam pada Sabtu dan Ahad. Masuk adalah percuma. Untuk keterangan lanjut, sila layari www.whatsH2O.com.

Fakta menarik mengenai air

l Seekor gajah dapat mengesan air sejauh tiga batu. Gajah dapat menyedut sebanyak dua gelen (7.5 liter) air ke dalam belalai setiap kali minum.

l Beruang koala tidak minum air, kerana daun eucalyptus yang dimakannya membekalkan air secukupnya.

l Tikus kanggaru mahir hidup di kawasan gurun. Tikus ini minum sedikit air atau tidak minum langsung tetapi bergantung pada air yang dimetaboliskan daripada bijian yang dimakannya.

l Seekor zirafah boleh berjalan lebih lama tanpa air berbanding seekor unta. Ini kerana ia menyimpan tenaga sehingga tidak mudah berasa dahaga.

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN



1 Komen:

airkita.my berkata...

Clorin is safe, selamat jika kandungannya tidak melebihi had yang dibenarkan.

Catat Ulasan

 
Chatroom