Home » » Kolesterol boleh diwarisi

Kolesterol boleh diwarisi

Faktor pemakanan yang tidak dikawal dan malas bersenam sememangnya diketahui antara menyumbang peningkatan kolesterol dalam darah. Bagaimanapun ada satu lagi penyebab, yang tidak boleh diubah tetapi masih boleh dicegah iaitu Familial Hypertriglyceridemia.

Masalah ini merujuk tahap kolesterol dalam darah yang tinggi dan penghasilan kolesterol di hati yang lebih aktif berbanding orang lain.

Puncanya? Pasti ramai yang terkejut apabila mengetahui masalah kesihatan ini diwarisi secara genetik. Familial Hypertriglyceridemia berlaku disebabkan kekacauan genetik dan secara mudah bermaksud anda memperoleh ‘salinan’ yang tidak baik daripada gen keturunan iaitu sama ada ibu atau bapa anda.

Lebih membimbangkan, keadaan ini secara umumnya tidak disedari sehinggalah seseorang itu sudah akil baligh atau awal kedewasaan.

Pakar Perubatan Kardiologi, Pusat Perubatan Heart Care Kuala Lumpur (KLHC), Dr Mohd Rafik Ahmad Marican, berkata secara perbandingan mereka yang bebas Familial Hypertriglyceridemia tetapi berdepan dengan masalah kolesterol tinggi mungkin meninggal dunia pada usia 50 tahun kerana serangan jantung.

Sebaliknya, mereka yang berdepan masalah Familial Hypertriglyceridemia berkemungkinan meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia yang lebih muda, iaitu mungkin sekitar 20 ke 30 tahun.

“Pemendapan kolesterol dalam salur darah sebenarnya bermula seawal usia dua tahun. Jika mereka yang mengalami Familial Hypertriglyceridemia, jumlah pemendapan yang terkumpul lebih banyak dan cepat berbanding orang lain,” katanya.

Bagaimanapun Familial Hypertriglyceridemia bukanlah faktor dominan dalam keseluruhan kes pemendapan kolesterol yang tinggi. Jumlah mereka yang berhadapan dengan keadaan ini lebih rendah berbanding mereka yang obes, tidak bersenam dan tidak menjaga pemakanan.

Dr Mohd Rafik berkata, masalah utama kolesterol yang tinggi ia tidak menunjukkan sebarang simptom. Komplikasi kolesterol tetap muncul dan lazimnya kemunculan itu sudah pun menggambarkan tahap yang teruk. Komplikasi paling biasa adalah serangan jantung.

Justeru, ini sekali gus turut menjelaskan mengapa 50 peratus pesakit jantung meninggal dunia sebelum sempat mendapat rawatan di hospital.

Kata Dr Mohd Rafik, kolesterol hanya boleh dikesan melalui pemeriksaan darah. Secara umumnya, jika seseorang itu berlatar belakang keluarga yang berisiko, ujian darah perlu dibuat pada usia 20 tahun. Jika seseorang itu sihat dan keluarga juga bebas sebarang masalah kesihatan berkaitan, ujian darah perlu dibuat pada usia 25 tahun. Seterusnya, ujian darah perlu dibuat sekali dalam dua tahun atau sekali dalam tiga tahun.

“Sedikit sebanyak kita perlu mengakui, kesan urbanisasi itu atau gaya hidup moden memberi impak pada kesihatan. Tidak bersenam, makan makanan yang tinggi kandungan garam, lemak dan berminyak menyebabkan peningkatan pemendapan kolesterol. Bukan saja mereka yang obes, malah mereka yang bertubuh kurus juga tinggi kolesterolnya,” katanya.

Risiko itu menjadi berlipat ganda jika seseorang itu merokok yang hanya mempercepatkan kadar pemendapan kolesterol dalam pembuluh darah.

Dr Mohd Rafik berkata, di sebalik keburukannya, kolesterol ada juga gunanya iaitu menolong menghasilkan sel baru dan sesetengah jenis hormon. Namun jumlah yang berlebihan boleh mengundang masalah dan seterusnya padah.

“Secara umum, jumlah keseluruhan kolesterol seseorang yang dianggap sihat adalah 5.0 mmol/L iaitu kolesterol tidak baik (Low-density lipoprotein - LDL) mesti kurang daripada 2.58 mmol/L,” katanya.

Namun jika seseorang memiliki kadar LDL hingga 3.0 mmol/L tetapi bebas daripada faktor risiko lain seperti tiada tekanan darah tinggi, masalah diabetes atau ginjal, angka itu dianggap normal.

Untuk kolesterol baik (High-density lipoprotein - HDL) pula, ia mesti melebihi 1.03 mmol/L manakala kolesterol jenis triglyceride pula mesti kurang 1.68 mmol/L.

Kata Dr Mohd Rafik, jumlah LDL yang tinggi boleh menyekat arteri, meningkatkan risiko serangan jantung dan angin ahmar. HDL pula melekat dengan LDL dan membawanya ke hati. Ia berfungsi mengurangkan jumlah LDL dalam sistem tubuh. Manakala, Triglycerides bukan sejenis kolesterol, tetapi lemak yang terapung dalam darah. Bagaimanapun, jika jumlahnya tinggi ia juga berupaya meningkatkan risiko kardiovaskular.

Malah, jika tahap kolesterol dalam darah dan triglyceride tinggi, risiko berlaku masalah jantung koronari adalah lebih ketara.

Kompliksi kolesterol tinggi

# Atherosclerosis - Masalah penyempitan arteri

# Risiko penyakit jantung koronari - Abnormaliti atau kerosakan pada arteri yang membekalkan darah dan oksigen ke jantung.

# Serangan jantung - Ia berlaku apabila bekalan darah dan oksigen di otot jantung tersekat selalunya oleh darah beku dalam koronari arteri. Ia menyebabkan otot jantung mati.

# Angina - Sakit dada atau rasa tidak selesa yang disebabkan otot jantung tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi.

# Masalah kardiovaskular seperti sakit jantung dan salur darah.

# Angin ahmar - Ia berlaku terjadi apabila darah beku menyekat arteri atau vena mengganggu aliran darah ke otak. Ia juga mungkin terjadi apabila salur darah pecah dan sel otak mula mati

Punca kolesterol tinggi


Risiko yang tidak boleh diubah

# Genetik - lebih berisiko jika mereka yang pernah berdepan dengan masalah koronari jantung atau tahap kolesterol dalam darah yang tinggi adalah ibu bapa atau adik beradik atau ibu saudara.

# Lelaki lebih terdedah dengan pembentukan atherosclerosis

# Usia yang meningkat

# Putus haid - perempuan putus haid (50 tahun ke atas) lebih banyak berhadapan dengan serangan jantung berbanding lelaki yang sebaya

Risiko boleh ubah

# Nutrisi - Ada sesetengah makanan mengandungi kolesterol tinggi seperti telur, organ dalaman haiwan, sesetengah jenis makanan laut dan makanan yang dijeruk. Daging merah, sosej, pai, sesetengah jenis keju, pastri, kek dan krim.

# Gaya hidup - tidak bersenam dan merokok (mempercepatkan serangan jantung)

# Berat badan - obesiti

# Pengambilan alkohol

Oleh Hafizah Iszahanid



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom