Home » » Victoria Beckham terlampau kurus

Victoria Beckham terlampau kurus

Victoria Beckham menyelar pengkritiknya yang terlalu taksub terhadap berat badannya dengan menggelar mereka 'tidak bertanggungjawab.'

Ibu tiga anak itu kelihatan begitu kurus di Minggu Fesyen London baru-baru ini, menyebabkan pelbagai pihak mengulas mengenai kesihatannya.

Bagaimanapun, Victoria, 35, bertindak balas dengan memberitahu wartawan: "Saya dalam keadaan baik - riang dan sihat. Mereka yang terlalu mendakwa saya sengaja berlapar untuk kurus adalah orang yang tidak bertanggungjawab.

"Saya gembira dan menghargai gadis muda dan wanita yang melihat saya sebagai contoh dan adalah tidak benar untuk berkata saya tidak makan dan tidak sihat. Dakwaan saya sengaja berlapar untuk kurus akan memberi kesan negatif kepada peminat saya," katanya kepada akhbar Daily Mirror baru-baru ini.

"Saya mengamalkan diet dan gaya hidup yang sihat serta menghabiskan banyak tenaga untuk menguruskan tiga anak saya yang lasak serta menjelajah seluruh dunia untuk menguruskan perniagaan fesyen saya. Itu yang menyebabkan saya sentiasa sihat."

Dalam temuramah dengan rancangan The View terbitan sebuah stesen televisyen Amerika Syarikat, Victoria mengaku dia dididik untuk berpakaian kemas setiap kali keluar berjalan.

Bekas anggota kumpulan Spice Girls itu beralih daripada karier nyanyiannya kepada bisnes fesyen dan setakat ini mencapai kejayaan menggalakkan sebagai pereka fesyen.

"Kehidupan saya ketika ini amat membanggakan. Saya menganggap diri saya beuntung," katanya kepada Daily Mirror.

Sementara itu, Victoria begitu terdesak untuk terus menetap di Los Angeles walaupun suaminya, David Beckham, bintang bola sepak England mungkin mengambil keputusan berpindah semula ke Eropah .

Menurut laporan, Beckham merancang bermain dengan sebuah kelab Eropah apabila musim bola sepak di Amerika Syarikat berakhir dengan tujuan meningkatkan peluangnya untuk menyarung jersi England bagi pusingan akhir Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan.

Bagaimanapun, Victoria enggan mengikut langkah Beckham.

Menurut sumber, dia berusaha sedaya upaya untuk mengukuhkan kedudukannya di Hollywood.

"Simon Cowell (pengadil tetap American Idol) memberitahunya, walaupun jika kemunculannya sebagai pengadil jemputan dalam siri American Idol tidak berjaya, Victoria akan diberikan tugas lain," kata sumber berkenaan.

Victoria lebih banyak menghabiskan masa di Los Angeles berbanding Beckham dan dia inginkan lebih banyak masa untuk mengukuhkan kedudukannya dalam status senarai-A di Hollywood.

"Victoria memahami betapa perlunya suaminya bermain di Eropah demi karier bola sepaknya tetapi dia tidak sanggup mengorbankan impiannya menjadi selebriti di Hollywood," kata sumber itu lagi.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom