Home » » Sakit kaki pada hari raya

Sakit kaki pada hari raya

Menziarahi sanak saudara memang menjadi amalan biasa menjelang Syawal ini. Amalan ini dapat merapatkan tali silaturrahim di antara kita. Berapa jauh dan lamanya kita berdiri dan berjalan boleh juga memberikan kesan terhadap kesihatan kaki kita terutama jika kita telah mempunyai sejarah kesakitan kaki sebelum ini seperti pernah terseliuh atau patah.

Anda boleh mengalami kesakitan kaki di bahagian tapak kaki belakang atau dikenali plantar fasciitis, di bahagian depan kaki (metatarsalgia) atau sakit kaki yang menjalar hingga ke bahagian betis atau kaki hadapan anda atau dikenali shin splint. Banyak faktor-faktor yang boleh menyebabkan anda mengalami sakit kaki seperti:

- Bentuk kaki yang leper dan rendah lengkungan bahagian dalam kaki atau dikenali Pes Planus

- Bentuk kaki yang mempunyai lengkungan dalam yang tinggi yang dikenali sebagai Pes Cavus

- Pemilihan kasut yang tidak betul seperti tiada penyokong lengkungan tapak kaki atau bertumit tinggi

- Selepas kecederaan seperti patah atau terseliuh

- Berat badan yang berlebihan seperti mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 30 kilogram meter persegi (kg/m2)

- Melakukan aktiviti di tempat yang keras tanpa kasut yang sesuai seperti melakukan joging di jalan berturap tar dengan memakai kasut sukan taekwando.

Bagi mengatasi sakit kaki semasa amalan ziarah ini anda perlu mengetahui faktor-faktor penyebab sakit kaki terlebih dahulu dan cara bagaimana anda dapat mengatasinya dengan:

- Kekalkan berat badan dengan pemantauan BMI normal sekitar 18.5 hingga 25 kg/m2

- Tidak memakai kasut bertumit tinggi atau sekurang-kurangnya tumit kasut tidak melebihi 1 inci

- Memilih kasut yang sesuai mengikut aktiviti fizikal anda seperti lembut dan fleksibel pada tapak kasut serta mempunyai penyokong di bahagian lengkungan dalam dan lengkungan lintang di hadapan kaki

- Anda perlu memiliki sepasang tapak kasut atau insole yang mempunyai ciri-ciri sokongan tapak kaki yang boleh digunapakai pada semua kasut anda jika sekiranya anda telah mempunyai banyak kasut dan tidak ingin membazir dengan membeli kasut lain.

- Lakukan senaman kaki mengikut panduan ahli fisioterapi anda dengan senaman regangan plantar fascia dan senaman kekuatan otot kaki

Justeru, anda mampu mengenalpasti dan mengelakkan daripada mengalami sakit kaki menjelang Syawal ini walaupun anda mempunyai bentuk kaki yang tidak normal. Amalan ziarah juga bukanlah menjadi faktor utama penyebab sakit kaki jika sekiranya anda bijak memilih kasut yang sesuai selari dengan aktiviti yang anda lakukan.



0 Komen:

Catat Komen

 
Chatroom