Home » » Sinopsis Menara Cinta (Cerekarama TV3) lakonan Fasha Sandha

Sinopsis Menara Cinta (Cerekarama TV3) lakonan Fasha Sandha

Sinopsis drama Menara Cinta

Menara Cinta mengisahkan kehidupan pasangan suami isteri yang tiada lagi persefahaman dalam melayari bahtera rumah tangga lalu mengambil keputusan untuk bercerai.

Selepas berpisah, Sofea (Fasha Sandha) meninggalkan rumah Rizwan (Fahrin Ahmad) dengan ditemani oleh kekasih barunya, Danial iaitu seorang hartawan. Sofea akhirnya mengikuti Danial pulang ke England dan bernikah dengannya di sana kerana Danial dan keluarganya menetap di Manchester, England.

Ibu bapa Rizwan adalah salah satu punca penceraiannya, memujuk Rizwan segera berumah tangga dan mendapatkan zuriat apabila mengetahui Sofea sudah mempunyai pengganti Rizwan. Hubungan rapat semasa menjalani proses penceraian di mahkamah bersama Nur, peguam syarie Rizwan membuahkan bibit kemesraan antara mereka. Lantas mereka akhirnya bertunang.

Ketika hampir tarikh majlis perkahwinan mereka, Rizwan dihantar oleh syarikatnya untuk bertugas sebulan di Paris. Ketika di Paris, takdir Allah SWT mempertemukan Rizwan dan Sofea di sebuah pulau cinta di tengah-tengah sungai indah di kota Paris. Hakikatnya, hati Rizwan tidak pernah melupakan Sofea. Sofea adalah cinta pertamanya dan mereka bercerai tanpa pergaduhan besar. Tambahan pula, Paris adalah kenangan berbulan madu buat mereka berdua.

Setelah Rizwan mendapat tahu Sofea telah diceraikan Danial, lantas dia merahsiakan statusnya sebagai tunangan orang kerana berasakan dia boleh mengubah masa lampau. Namun, laluan cinta mereka di Paris terganggu dek kehadiran Danial yang gila talak. Danial tidak dapat melupakan Sofea dan sering mengekorinya, malah mengganggu dan mengugut Rizwan.

Rizwan bimbang akan kehilangan cinta Sofea, lantas tanpa berfikir panjang, Rizwan mengambil keputusan bernikah dengan Sofea di Paris. Sekembalinya ke Malaysia, Rizwan memohon maaf kepada Nur kerana terpaksa memutuskan pertunangan mereka. Rizwan mengaku dia tidak pernah mencintai Nur sedalam cintanya terhadap Sofea. Nur termakan dengan hasutan bakal mentua. Dia menyaman Rizwan di mahkamah syariah dan menuntut ganti rugi RM1 juta kerana memungkiri janji untuk berkahwin.

Sofea semakin tertekan dan bersedia untuk mengundur diri. Malah, Sofea menerima tekanan maha hebat apabila Danial kerap mengganggunya dengan pelbagai ugutan termasuk berjanji akan memalukan Sofea dengan menyebarkan foto peribadi ketika mereka berbulan madu dulu.

Akhirnya tekanan melampau itu membuatkan Sofea tiba-tiba rebah dan sukar bernafas. Dia dimasukkan ke ICU. Doktor mengesahkan Sofea diserang pneumonia (radang paru-paru). Puncanya, dia adalah pembawa virus HIV. Mampukah Sofea mengharungi dugaan yang sudah tertulis untuknya? Adakah Rizwan masih setia menerima Sofea seadanya setelah mendapati insan disayangi menderita virus HIV?

Dapatkah Sofea dan Rizwan mengecapi kebahagian untuk bersama? Ingin mengetahui kesudahannya, saksikan Menara Cinta di slot Cerekarama pada Sabtu, 21 April 2012, jam 10 malam.

Promo Menara Cinta


Info cerekarama Menara Cinta
Menara Cinta sentuhan sutradara berbakat besar yang juga pelakon, Zulhuzaimy dan merupakan drama terbitan Temenggung Pictures. Menara Cinta membariskan pelakon handalan seperti Fasha Sandha, Fahrin Ahmad, Zulhuzaimy, Nabila Huda dan Rosnah Johari. Penggambaran Menara Cinta dilakukan di kota Paris.



 
Chatroom