Home » » Rawatan Buang Bulu Roma Lebat

Rawatan Buang Bulu Roma Lebat

Bayangkan sekiranya anda memiliki rambut atau bulu roma terlalu lebat di kawasan yang tidak sepatutnya terutama di atas bibir yang menampakkan seperti misai, pada ketiak dan kaki?

Pasti hal ini menimbulkan rasa kurang senang apatah lagi bagi wanita yang gemar berdandan cantik dengan skirt atau gaun tanpa lengan. Sebenarnya memiliki bulu roma yang terlalu lebat atau berlebihan bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Namun, bagi kebanyakan wanita mahupun lelaki, ia bagaikan satu mimpi ngeri dan amat memalukan. Tambah pula apabila ada wanita memiliki kaki yang cantik dan licin tanpa ditumbuhi seurat bulu atau ketiak yang bersih tanpa kesan hitam atau bekas cabutan bulu roma. Mengapa setiap orang mempunyai pertumbuhan rambut dan bulu roma yang tidak sama?

Menurut Pakar Kecantikan Estetik, Pusat Perubatan iHeal, Dr Abrizah Ousman, bulu roma terbentuk dalam satu folikel rambut iaitu satu struktur kantung yang dijumpai di bawah kulit. Setiap orang mengalami pertumbuhan bulu yang berbeza bergantung kepada keturunan, umur, berat badan, metabolisme, aktiviti hormon dan ubat-ubatan tertentu.

Bagi wanita, faktor baligh, kehamilan dan menopaus memainkan peranan penting dalam menentukan pertumbuhan bulu roma.

"Sebab itu sesetengah wanita mengalami pertumbuhan bulu yang bertambah semasa hamil atau menopaus, ada juga yang biasa saja. Namun, wanita yang mengalami pertumbuhan bulu ketara secara tiba-tiba dinasihatkan berjumpa doktor kerana ia mungkin menandakan masalah kesihatan pada seseorang," katanya.

Rambut dan bulu roma melalui empat peringkat pertumbuhan iaitu anagen, catagen, telogen atau awal anagen. Fasa pertumbuhan rambut yang aktif adalah pada peringkat anagen. Pada waktu ini, bulu roma mengandungi melanin yang berlebihan.

Catagen pula adalah fasa pengunduran apabila bahagian bawah rambut berhenti tumbuh, tetapi tidak gugur dan folikel rambut diserap semula. Fasa terakhir adalah telogen iaitu apabila rambut atau bulu roma mulai gugur dan bersiap sedia untuk pertumbuhan rambut baru.

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan pertumbuhan rambut dan berbeza dengan setiap individu. Biasanya rambut lebat atau sebaliknya dikaitkan dengan keturunan.

"Misalnya masyarakat India memiliki bulu roma yang tebal manakala masyarakat Cina mengalami pertumbuhan bulu yang sedikit. Selain itu, etnik juga menjadi faktor perbezaan pertumbuhan bulu seseorang. Orang berkulit putih cenderung ditumbuhi bulu pada muka berlebihan berbanding warga Asia dan Afrika Amerika," katanya.

Selain itu, peningkatan hormon turut memainkan peranan penting. Sesetengah orang mulai mengalami masalah bulu yang tidak diingini sejak akil baligh dan keadaan ini bertambah teruk seiring peningkatan usia.

Seiring dengan perkembangan teknologi dalam bidang kecantikan, terdapat pelbagai rawatan membuang bulu diperkenalkan. Antara kaedah konvensional yang popular ialah mencukur, mencabut, penggunaan lilin (wax), krim membuang bulu serta rawatan denyutan lampu impuls (IPL) yang memberi kesan sementara dan perlu dilakukan semula apabila rambut mulai tumbuh. Biasanya rawatan ini datang bersama ketidakselesaan, kerengsaan kulit dan tidak dapat dipastikan kebersihannya.

"Kebanyakan pakar estetik tidak menggalakkan kaedah mencukur atau menggunakan lilin pada bulu roma. Ini kerana apabila bulu terkena pisau cukur, ia akan tumbuh lebih lebat dan kasar. Jika memakai krim (wax) pula, ia hanya akan mengaktifkan pertumbuhan rambut dan bulu. Kedua-dua kaedah ini bukannya dapat membantu mengurangkan masalah sebaliknya memburukkan lagi keadaan," katanya.

Menurut Dr Abrizah, rawatan IPL yang biasa dilakukan di salun oleh terapi kecantikan juga mempunyai kesan sementara. IPL adalah kaedah pembuangan rambut separa kekal menggunakan penapisan saluran cahaya impuls bagi menggugurkan bulu daripada akar. Namun kaedah ini hanya melambatkan pertumbuhan tetapi kebarangkalian bulu akan tumbuh semula.

"Untuk teknik IPL, setiap tenaga lampu impuls akan diserap ke dalam rambut dan bertukar kepada tenaga haba yang akan merosakkan folikel. Menerusi rawatan berterusan, pertumbuhan semula akan terbendung seterusnya akan menghasilkan keadaan bebas rambut untuk jangka masa dua tahun atau lebih," katanya.

Bagi mereka yang mempunyai masalah pertumbuhan rambut dan bulu yang tebal, terdapat rawatan pembuangan rambut laser yang mampu menyelesaikan masalah ini iaitu menerusi penggunaan cahaya laser GentleYAG FDA yang lebih cepat dan bersifat kekal.

Rawatan yang berasal dari Amerika Syarikat ini menggunakan prinsip fototermolisis laser iaitu pengeluaran pancaran cahaya menerusi epidermis yang mensasarkan folikel rambut dan diserap pigmen gelap melanin.

"Tenaga laser yang dikeluarkan akan berubah menjadi haba seterusnya mematikan folikel rambut sehingga ke bahagian akar dan tisu rambut. GentleYAG mempunyai panjang gelombang 1064 nano meter dan boleh digunakan untuk pelbagai tempat," katanya.

Tambahnya, rawatan ini selamat untuk semua jenis kulit kerana tidak menyakitkan dan dilakukan pakar bertauliah dalam perubatan estetik. Paling penting pancaran laser akan terus mematikan folikel rambut secara kekal tanpa tumbuh semula.

Sebelum melakukannya, sama ada lelaki atau wanita akan menjalani sesi pemeriksaan kulit terlebih dulu bagi memastikan jenis kulit dan kemungkinan masalah yang akan dihadapi. Selepas itu barulah pakar membuat keputusan rawatan yang diperlukan untuk menghapuskan bulu atau rambut di kawasan yang sudah dikenal pasti.

"Rawatan bergantung kepada jenis bulu dan kepanjangannya serta dilakukan dalam masa lima hingga tujuh sesi rawatan. Pertumbuhan semula rambut berlaku dalam masa berlainan bagi kawasan badan dan rawatan akan diulang setiap satu bulan," katanya.

Sehari sebelum melakukan rawatan, pesakit perlu mencukur kawasan sekitar. Sebaiknya jangan melakukan sebarang rawatan seperti penggunaan lilin atau pemutihan kulit enam minggu sebelum rawatan laser. Pesakit perlu mengelak matahari selama empat hingga enam minggu sebelum dan selepas melakukan rawatan bagi memastikan kulit tidak menghadapi sebarang masalah.

"Bagi mengelak rasa panas akibat cahaya laser, sapuan gel dilakukan di kawasan sekitar. Pesakit akan berasa selesa kerana sistem penyejukan menawarkan semburan cryogen yang selamat dan konsisten untuk semua pesakit.

"Walaupun selepas rawatan terdapat kesan seperti merah, namun ia akan hilang dalam masa singkat. Oleh itu, pesakit boleh terus bekerja atau menjalankan aktiviti tanpa perlu berasa bimbang mengenai kulit," katanya.

Rawatan ini juga berkesan untuk lelaki yang memiliki bulu yang banyak di kawasan bibir, tepi wajah juga di sekitar dada, belakang dan leher. Ia menggunakan kaedah yang sama, namun masa rawatan berbeza bergantung kepada kawasan rawatan. Untuk sekitar leher, ia memerlukan kira-kira 10 minit manakala dada memerlukan antara 20 hingga 40 minit.

Cahaya laser juga membantu lelaki yang menghadapi masalah benjolan pisau cukur iaitu berlaku pada kawasan janggut dan kulit kepala apabila bulu tumbuh dalam keadaan melengkung atau kerinting menyebabkan berlakunya radang kulit.

Mereka yang mengalami masalah kulit terbakar, luka atau sedang mengandung tidak digalakkan melakukannya.

Oleh Siti Zarinah Sahib



Affiliates

 
Chatroom