Home » » Hari Arafah dan Keistimewaan hari Arafah

Hari Arafah dan Keistimewaan hari Arafah

Hari Arafah adalah hari perhimpunan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia yang menunaikan ibadah haji. Mereka akan bergerak dan berkumpul di Padang Arafah untuk menunaikan wukuf yang dianggap sebagai kemuncak malah rukun utama bagi ibadah haji.

Sabda Nabi SAW yang direkodkan Imam al-Nasai: "Haji itu adalah hari Arafah, sesiapa yang sempat berwukuf pada malam Arafah sehinggalah terbitnya fajar maka dia telah menunaikan ibadah haji."

Mengenai hadis wukuf di Arafah Imam al-Tirmidhi berkata: "Sesiapa yang tidak sempat berwukuf di Arafah maka perlulah dia mengulangi hajinya pada tahun berikutnya dan haji itu (tanpa berwukuf di Arafah) hanya dinilai sebagai umrah."

Begitulah pentingnya wukuf di Arafah bagi mereka yang menunaikan haji dan tidak dianggap sah haji seseorang itu jika mereka tidak sempat berwukuf di Arafah.

Peluang rebut kelebihan Zulhijjah

Bagi umat Islam yang tidak menunaikan ibadah haji, kita masih berpeluang mendapat kelebihan pada sepuluh hari awal Zulhijjah. Selain ibadah korban yang dilaksanakan pada 10 Zulhijjah dan harihari Tasyrik, kita disunatkan berpuasa pada 9 Zulhijjah.

Barangkali segelintir kita tidak mengetahui pada 9 Zulhijjah umat Islam yang tidak menunaikan ibadah haji disunatkan berpuasa iaitu puasa sunat hari Arafah.

Direkodkan oleh Imam Muslim, Nabi SAW bersabda: "Ketika puasa pada hari Arafah, aku berharap Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa setahun yang lepas dan dosa-dosa setahun yang akan datang." Inilah peluang yang dihadiahkan oleh Allah SWT kepada hambaNya yang beriman dengan disediakan peluang bernilai iaitu pengampunan dosa-dosa lepas dan akan datang bagi mereka yang berpuasa penuh keikhlasan dan mengikut sunnah Nabi SAW pada 9 Zulhijjah.

Selain ibadah puasa hari Arafah kita juga disunatkan memperbanyakkan zikir dan doa. Jemaah haji yang berada di Arafah pada 9 Zulhijjah disunatkan memperbanyakkan zikir, tahlil, tasbih, takbir dan berdoa kepada Allah SWT memohon kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Direkodkan oleh Imam al-Tirmidhi, Nabi SAW bersabda: "Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah, dan sebaik-baik ucapan yang diucapkan olehku dan nabi-nabi sebelumku adalah: Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa dan tiada sebarang syirik (sekutu) bagiNya, bagiNya segala penguasaan dan bagiNya segala pujian, dan Dialah yang berkuasa bagi setiap sesuatu."

Dapatlah dirumuskan sekurang-kurangnya tiga pengajaran iaitu doa pada hari Arafah adalah bersifat umum iaitu disunatkan kepada jemaah haji yang berwukuf di Arafah mahupun mereka yang tidak menunaikan ibadah haji.

Doa yang sangat mustajab

Doa pada hari Arafah adalah antara waktu yang amat mustajab kerana ia sebaikbaik waktu untuk memohon permintaan dan pengampunan daripada Allah SWT. Kita disunatkan meminta doa pada hari Arafah kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan dan pengharapan seperti ditunjukkan Nabi SAW.

Ketika tibanya hari Arafah, Nabi SAW bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah SWT. Sunan alNasai, Usamah bin Zaid meriwayatkan, ketika beliau menunggang bersama Nabi SAW pada hari Arafah beliau melihat Nabi SAW mengangkat keduadua belah tangannya memohon doa kepada Allah SWT, sehinggakan apabila unta Baginda duduk dan terjatuh tali unta Nabi terus mencapainya dengan sebelah tangan, manakala tangan sebelah lagi masih tetap diangkat (untuk berdoa)."

Apabila tergelincir matahari di Arafah, Nabi SAW akan memendekkan khutbah dan kemudian menunaikan solat Zuhur dan Asar secara jamak qasar.

Memendekkan khutbah

Antara hikmah Nabi SAW memendekkan khutbah serta menunaikan solat secara jamak dan qasar adalah untuk memperuntukkan waktu seluas-luasnya berdoa kepada Allah SWT. Diriwayatkan juga, Nabi SAW tidak akan meninggalkan Padang Arafah sehinggalah terbenamnya matahari.

Daripada tatacara wukuf Nabi SAW dapatlah kita ketahui Baginda berdoa kepada Allah SWT bermula selepas solat Zuhur sehinggalah terbenamnya matahari 9 Zulhijjah. Maka gunakanlah peluang hari Arafah ini untuk memperbanyakkan doa memohon permintaan dan pengampunan.

Mereka yang berpuasa sunat hari Arafah, Allah SWT menghadiahkan peluang bagi hambaNya memohon sebarang permintaan daripadaNya. Hari Arafah adalah hari dimakbulkan doa dan dengan kita berpuasa sunat, Allah SWT akan menerima doa kita.



Marilah kita ambil peluang diberikan Allah SWT untuk memperbanyakkan zikir kepada Allah kerana sesungguhnya 10 hari awal ini adalah harihari ibadah terutama pada hari Arafah, Hari Raya Aidiladha sehinggalah hari-hari Tasyrik.

Pohonlah doa kepada Allah SWT dengan hati yang ikhlas dan penuh rasa pengharapan kepadaNya. Firman Allah SWT: "Dan Tuhan kamu berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaku maka Aku akan memakbulkan bagi kamu dan sesungguhnya sesiapa yang sombong untuk menyembah-Ku maka mereka akan masuk ke dalam neraka Jahanam dan kekal di dalamnya." (Surah Ghafir, ayat 60)



Oleh Muhammad Asyraf



Affiliates

 
Chatroom