Home » » » Rizman Ruzaini amal diet sihat untuk kurus

Rizman Ruzaini amal diet sihat untuk kurus

Pereka fesyen duo, Rizman dan Ruzaini terkenal di bawah jenama fesyen mereka Rizman Ruzaini.

Namun baru-baru ini ketika ditemui pada majlis Anugerah Blokbuster kelihatan satu pembaharuan ketara pada Rizman yang nampaknya telah susut berat badannya daripada 104 kilogram kepada 84 kilogram.

Setelah diselidik, rupa-rupanya Rizman telah mengamalkan diet secara sihat yang telah diamalkannya sejak beberapa bulan lalu.

Malah individu yang banyak memberi kekuatan untuk pereka fesyen berkenaan terus kelihatan lebih langsing, pastinya rakan seangkatannya Wan Ruzaini atau Ruzaini yang terlebih dahulu mengamalkan diet sihat.

"Daripada apa yang Rizman beri tahu kepada saya, dia mahu kelihatan langsing. Mungkin ini adalah fasa baru dalam hidupnya untuk tampil lebih baik.

"Syukurlah selepas mengamalkan diet secara sihat dan bersenam di gimnasium tiga kali dalam seminggu, saya sudah nampak perubahan ketara dalam dirinya. Semuanya berkat kesungguhan dan disiplin diri," katanya.

Jelas Ruzaini, meskipun Rizman mempunyai pelatih peribadinya sendiri ketika di gimnasium, tetapi dia akan tetap mendapatkan beberapa khidmat nasihat dari segi senaman atau petua kesihatan daripadanya.


Bukan sekadar Rizman sahaja, malah seisi rumah yang mereka didiami sekarang, sering mendapatkan khidmat nasihat daripada Ruzaini untuk memiliki tubuh badan yang sihat dengan gaya pemakanan seimbang.

"Ada beberapa senaman yang saya ajar kepada teman-teman saya di rumah seperti melakukan sit up yang betul dan senaman twisting iaitu senaman menggunakan kayu. Alhamdulillah dua senaman ini nampaknya meninggalkan kesan ketara kepada mereka.

"Bukan itu saja, saya juga menasihatkan mereka supaya mengamalkan diet yang betul seperti tidak mengambil nisbah nasi yang banyak, atau elak daripada makan makanan yang mengandungi karbohidrat, kalori dan gula yang tinggi.

"Pucuk pangkal semuanya bergantung kepada disiplin diri. Tanpa disiplin saya percaya bentuk tubuh yang diidamkan pasti tidak akan dicapai dalam masa yang ditetapkan.

"Malah saya sangat gembira sekarang kerana ada salah seorang teman serumah saya yang sekarang ini dapat menikmati kegembiraan membeli-belah pakaian kerana dia tidak merasai perasaan itu sebelum ini," katanya sekadar berkongsi petua dan pengalaman. ~ Murai



 
Chatroom