Home » » Sinopsis Runtun Qalbu lakonan Fasha Sandha

Sinopsis Runtun Qalbu lakonan Fasha Sandha

Sinopsis drama Runtun Qalbu

RUNTUN QALBU berkisar tentang Qalbu yang dianggap sebagai seorang lelaki baik, punya ilmu agama, rajin bekerja namun sangat misteri orangnya. Qalbu yang tinggal seorang diri di pangsapurinya sentiasa menjadi pilihan jirannya, Idayu (Fasha Sandha) yang menyimpan perasaan terhadapnya. Tanpa memikirkan soal kerja Qalbu yang bertugas sebagai penjaga bilik mayat dan personalitinya yang pelik dan lebih suka menyendiri, Idayu yang juga anak kepada pemandu teksi itu tetap menyukai jejaka pendiam itu.  


Runtun Qalbu

Qalbu sentiasa meluangkan masanya di sebuah masjid yang akhirnya menemukannya dengan seorang gadis yang bertugas mengajar kanak-kanak mengaji, Ustazah Fatihah (Fida Ibrahim). Qalbu mula menyukai Ustazah Fatihah namun mereka tidak pernah bercakap antara satu sama lain sehinggalah takdir menemukan Qalbu kepada Kelabu (Shah Iskandar) yang terbabit dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan beliau hilang ingatan. Simpati dengan nasib malang Kelabu, Qalbu mengambil keputusan untuk menjaga Kelabu seperti keluarganya sendiri. 

Kronologi perkenalan Qalbu dan Ustazah Fatihah bermula di situ apabila Kelabu sering menjadi orang perantara yang ingin membantu Qalbu sebagai balasan di atas kebaikannya selama ini. Sayangnya, Fatihah tidak menaruh cinta terhadap Qalbu tetapi mula menyukai Kelabu dan ini membuatkan keadaan sangat janggal di antara mereka bertiga. 

Walaubagaimanapun hubungan Qalbu dan Kelabu semakin akrab. Namun begitu Qalbu tidak pernah bercerita tentang kisah hidupnya kepada Kelabu dan itu menambahkan kemusykilan terhadap dirinya tambahan pula Qalbu sering meracau semasa tidur dan menangis di dalam bilik. 

Semasa Qalbu dan Kelabu keluar ke pekan, mereka bertemu dengan salah seorang sahabat Qalbu yang bernama Meng. Namun apabila Meng ternampak kelibat Kelabu, dia menjadi cemas dan terus melarikan diri. Perbuatan Meng itu menimbulkan tanda tanya buat Kelabu dan Qalbu.

Tanpa disedari Kelabu telah ditarik oleh sekumpulan gangster. Akan tetapi Kelabu berjaya melepaskan diri dan tiba di rumah Qalbu. Kelabu menjadi semakin bingung dan tertanya sendiri siapakah dirinya sebelum dia hilang ingatan. Sejak kejadian itu, Kelabu sentiasa diserang sakit kepala dan muntah-muntah.

Qalbulah yang membantu dan menjaga Kelabu siang dan malam. Apabila Kelabu sedar dari tidur, ingatannya sudah kembali pulih. Dia mula mengingati kisah silamnya lantas meninggalkan Qalbu dan kembali ke kancah lamanya sebagai seorang gangster. 

Apabila Kelabu diarah oleh ketuanya untuk mencari pembunuh kepala gangster, Kelabu terkejut apabila mendapati pembunuh yang bakal dicarinya itu ialah Qalbu. Adakah benar orang yang harus dicari oleh Kelabu adalah Qalbu? Jika benar, siapakah sebenarnya Qalbu? Dan persoalannya sekarang ini, apakah yang diselindungi oleh Qalbu selama ini? 

Jangan lupa saksikan RUNTUN QALBU di slot Zehra bermula pada 21 September 2012, setiap hari Jumaat jam 9.00 malam di TV3! Penonton yang terlepas menyaksikan ‘Runtun Qalbu’ boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari Facebook & Twitter tv3malaysia untuk mendapatkan berita terkini.



 
Chatroom