Home » » Pil Pelangsing kuruskan badan?

Pil Pelangsing kuruskan badan?

Pil Pelangsing utk kuruskan badan
Ada banyak faktor mengapa mereka yang mempunyai berat badan berlebihan merasakan mereka perlu mengurangkan berat badan.

Mungkin mereka ingin lebih sihat, penampilan yang lebih baik, kelihatan lebih bertenaga, lebih berkeyakinan atau berketerampilan dan sebagainya.

Bagi sebahagian yang lain, mereka beranggapan tubuh yang langsing melambangkan kecantikan dan kejayaan seseorang individu.

Walau apa juga alasannya, kejayaan dalam menurunkan berat badan banyak bergantung kepada kaedah, matlamat dan perancangan yang ingin dicapai.

Pakar Perunding Perubatan (Endokrinologi), Jabatan Perubatan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Nor Azmi Kamaruddin berkata, hakikatnya usaha menurunkan berat badan bukanlah sesuatu usaha yang mudah.

Malah, katanya tidak kurang yang mengalami kekecewaan kerana gagal mencapai matlamat seperti diharapkan.


"Justeru tidak hairanlah mengapa ramai yang mudah percaya dan terpedaya dengan produk-produk pelangsing yang terdapat di pasaran hari ini.

"Ini kerana ramai daripada mereka gagal untuk mencapai berat badan idaman melalui kaedah konvensional," katanya.

Kaedah konvensional menurunkan berat badan merangkumi diet, senaman dan pengubahsuaian sikap serta tingkah laku (behaviour therapy).

Diet yang betul perlu mendapat nasihat daripada pakar dietetik, manakala senaman boleh dilakukan setiap hari selama 15 hingga 20 minit.

Senaman seperti berbasikal, berjalan dengan laju, aktiviti bersukan seperti badminton, berenang, ping pong, aerobik dan sebagainya antara contoh aktiviti yang menyihatkan.

Pengubahsuaian tingkah laku pula perlu dilakukan mengikut strategi yang ditetapkan.

Bagaimanapun, dalam usaha menurunkan berat badan golongan ini terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran yang tidak kurang hebatnya.

Kegagalan menangani berat badan melalui kaedah konvensional menyebabkan ramai yang mengambil jalan singkat dan mudah seperti mengamalkan pil pelangsing tanpa nasihat doktor.

Sebaliknya, kata Dr. Nor Azmi pil pelangsing bukanlah jalan penyelesaian utama untuk mengurangkan berat badan tanpa disertai dengan diet yang betul serta senaman berterusan.

"Amalan pil pelangsing sahaja tanpa disertai program diet yang betul dan senaman tidak memberi kesan sama ada untuk mengurang atau mengekalkan berat badan dalam jangka masa panjang," ujarnya.

Tambah Dr. Nor Azmi, kajian mendapati diet yang betul disertai dengan ubat-ubatan dapat menurunkan berat badan antara 6 hingga 12 peratus.

Menurut Dr. Nor Azmi, di negara ini terdapat mereka yang ingin menurunkan berat badan lebih mengutamakan imej berbanding faktor kesihatan.

"Di Barat, kesedaran timbul di kalangan masyarakat yang ingin menurunkan berat badan kerana ingin mengurangkan risiko penyakit seperti penyakit hipertensi, diabetes, jantung, kanser dan sebagainya," katanya.

Lemak badan terbahagi kepada dua iaitu lemak putih dan lemak coklat.

Lemak putih lebih berbahaya berbanding lemak coklat. Lemak putih biasanya terletak pada perut yang dikonotasikan dengan perut buncit.

Lemak yang berlebihan pada perut boleh menyebabkan sel-sel dalam badan kurang sensitif pada hormon dalam tubuh.

Contohnya, hormon insulin yang bertindak mengurangkan kandungan gula dalam darah.

Menurut Dr. Nor Azmi, di HUKM, sebahagian besar individu yang datang mendapatkan rawatan menurunkan berat badan lebih ramai terdiri daripada wanita berbanding lelaki.

"Golongan ini dirujuk kepada kami kerana masalah berat badan yang telah menyebabkan mereka menghidap penyakit-penyakit tertentu," ujarnya.

Bagaimanapun, bukan semua individu yang ingin menurunkan berat badan perlu mendapat nasihat doktor selagi mereka mengikut kaedah yang betul.

Sebaliknya, hanya mereka yang menghidap penyakit-penyakit berbahaya saja perlu menjalani terapi dan mendapatkan nasihat daripada doktor.

Jenis ubat-ubatan

Ubat-ubatan hanya digunakan sebagai kaedah untuk membantu menurunkan berat badan, sekiranya ketiga-tiga kaedah konvensional tersebut gagal membantu.

Pil-pil pelangsing dapat memberi motivasi dan semangat kepada individu yang mengalami kekurangan berat badan setelah mengamalkannya dalam jangka masa antara enam bulan hingga dua tahun.

Sebelum seseorang individu mengamalkan ubat-ubatan, doktor akan menentukan Julat Indeks Tubuh (Body Mass Index - BMI) yang sesuai saja dibenarkan mengamalkan ubat-ubatan.



Biasanya, mereka yang mempunyai BMI yang melebihi 30 ke atas diberi peluang mengamalkan ubat-ubatan ini.

Bagaimanapun, terdapat sesetengah kes yang dikecualikan, meskipun BMI mereka lebih rendah daripada yang sepatutnya.

Ini termasuklah sekiranya individu terbabit menghidap penyakit-penyakit tertentu seperti diabetes, hipertensi, tahap kolesterol yang tinggi, penyakit jantung, masalah pernafasan dan sebagainya.

Secara umum, ubat-ubatan dipreskripsi ini adalah selamat sekiranya ia dipantau dan diawasi oleh doktor.

Antara jenis ubat-ubatan yang digunakan ialah:

- Phentermine (pengekang selera makan atau appetite suppresant)

Ubat ini dapat membantu mengekang nafsu makan. Phentermine akan bertindak meninggikan tahap hormon-hormon seperti adrenalin yang menyebabkan individu terbabit berasa kenyang walaupun kurang makan.
Seseorang yang mempunyai tekanan darah tinggi (hipertensi) haruslah berhati-hati menggunakan ubat ini kerana ia boleh menaikkan tekanan darah seseorang itu.

Bergantung kepada individu, mereka yang mengamalkan pil ini mungkin mengalami kesan sampingan yang berbeza-beza dalam tempoh sementara seperti:

a. Panas badan

b. Sukar tidur

c. Berdebar-debar

d. Gelisah

e. Berpeluh

f. Pening kepala

Pengambilan ubat ini tidak boleh melebihi enam bulan bagi mengelakkan kesan sampingan yang berpanjangan.

- Orlistat

Pil ini bertindak dengan menghalang enzim lipase daripada memproses lemak yang masuk ke dalam tubuh badan.

Ia hanya mampu menghalang 1/3 lemak daripada dihadamkan dan ini akan keluar bersama najis.

Penggunaan pil ini berjaya mengurangkan berat badan antara enam hingga sembilan peratus. Pil ini kurang berkesan jika kandungan diet seseorang itu kurang mengandungi lemak.

Pil ini mempunyai kesan sampingan seperti:

a. Kerap membuang angin

b. Najis mengandungi lemak dan berbau

c. Angin dalam perut

d. Sukar mengawal pembuangan air besar

- Metformin

Pil ini dapat mengawal selera makan.

Biasanya ia diamalkan oleh pesakit diabetes dan boleh diamalkan untuk jangka masa yang panjang.

Keberkesanannya untuk menurunkan berat badan ialah lima peratus. Kajian mendapati, 70 peratus individu yang mengambil pil ini dapat mengekalkan berat badan mereka.

Kesan sampingan pil ini ialah:

a. Sakit perut

b. Loya

c. Muntah

d. Cirit-birit

- Sibutramine

Pil ini bertindak hampir sama dengan Phentermine.

Ia menyebabkan tahap serotonin di dalam badan berkekalan kerana sibutamine menghalangnya daripada diproses.

Seperti juga dengan phentermine seseorang yang mengalami tekanan darah tinggi haruslah berhati-hati apabila menggunakan ubat ini.

Ia dapat mengurangkan berat badan antara enam hingga 10 peratus.

Kesan sampingannya adalah hampir serupa dengan Phentermine.

- Pil antikemurungan

Pil antikemurungan dikatakan dapat membantu menurunkan berat badan. Bagaimanapun ia agak kurang berkesan jika dibandingkan dengan pil-pil lain.

Dianggarkan hanya 50 peratus sahaja dapat menurunkan berat badan mereka dengan menggunakan pil ini.

Terapi tingkah laku

- Memantau diri sendiri dengan mencatatkan rekod makanan yang dimakan

- Mengawal rangsangan dengan makan ikut jadual dan pada tempat yang tertentu dan tetap seperti di rumah atau restoran yang sama

- Menukar tabiat pemakanan

- Perjanjian pada diri dan perubahan tingkah laku

- Senaman secara tetap

- Mengamalkan diet berkalori rendah

Implikasi berat badan yang turun secara drastik

Penurunan berat badan secara drastik tanpa mengikut kaedah yang betul boleh menimbulkan implikasi seperti:

- Kekurangan zat-zat tubuh

- Kekurangan vitamin

- Kerosakan otot-otot badan

- Kesan pada elektrolit tubuh. Ketidakseimbangan tahap elektrolit dan garam dalam darah boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang atau gangguan jantung

Tip untuk mengurangkan berat badan

- Makan makanan yang mengandungi banyak serat

- Menggantikan gula dengan bahan pemanis

- Jika ingin makan di restoran, buatlah tempahan makanan yang berkalori rendah

- Jangan sesekali berlapar dengan meninggalkan jadual makan yang sepatutnya. Makanlah antara tiga hingga empat kali sehari dengan jumlah yang kecil bagi mengelakkan anda lapar

- Makan dan kunyahlah dengan perlahan

- Belajarlah berhenti makan sebelum anda benar-benar berasa kenyang

- Timbang berat badan anda dengan jadual yang tetap

- Mengubah tabiat makanan

- Perjanjian pada diri dan tingkah laku

- Senaman berjadual

- Diet berkalori rendah

Beberapa salah faham mengenai penurunan berat badan

- Berat badan dapat diturunkan dalam jangka masa yang singkat, cepat dan mudah

- Apabila berat badan berjaya diturunkan, ia akan kekal selamanya

- Makanan berkalori amat rendah boleh diamalkan tanpa mendapat nasihat pakar

- Kebanyakan produk menguruskan badan yang dipaparkan dalam iklan-iklan adalah cara yang betul untuk menurunkan berat badan

- Apabila berat badan telah kurang, ia akan dapat dikekalkan secara berterusan tanpa sebarang usaha perlu dilakukan

- Masalah kegemukan adalah sesuatu yang tidak berbahaya

- Pil yang diamalkan adalah jalan penyelesaian dalam menangani masalah berat badan tanpa perlu mengamalkan diet yang betul

- Pil-pil pelangsing yang didapati di kaunter-kaunter dapat membantu menyelesaikan masalah berat badan

- Masalah kegemukan adalah masalah orang bandar sahaja

- Wanita lebih gemuk berbanding lelaki

- Kanak-kanak yang gemuk adalah kanak-kanak yang sihat. Lazimnya kanak-kanak yang gemuk akan menjadi orang dewasa yang gemuk.

                    (Source : Utusan Malaysia)



 
Chatroom