Home » » Utamakan ibadah korban drp aqiqah

Utamakan ibadah korban drp aqiqah

Imam al-Ghazali pernah memberi komen kepada masyarakat yang hidup semasa dengannya hanya menumpukan kepada urusan agama dan fiqah saja kerana umat Islam ketandusan doktor perubatan sehingga urusan perubatan dimonopoli Yahudi serta Kristian.

Ini menunjukkan keperluan semasa masyarakat lebih diberi keutamaan untuk keseimbangan kehidupan sejagat. Begitu juga dalam urusan ibadah, umat Islam hendaklah mengetahui tuntutan atau kewajipan perlu dilaksanakan segera dan yang harus dilewatkan kerana faktor masa atau peluang.

Hulur bantuan diutamakan

Contohnya, menghulurkan bantuan kepada Muslimin ditimpa bencana adalah lebih diutamakan daripada ibadah haji yang mempunyai ruang masa yang panjang. Kita masih ingat tulisan Dr Fahmi Huwaidy mengenai keutamaan bantuan kepada Bosnia daripada menunaikan haji.

Begitu juga krisis di Syria sehingga ada ulama berpendapat menghulurkan bantuan kepada mereka lebih utama daripada menunaikan haji.

Dalam konteks ibadah korban pada hari raya ini, kita perlu memberi keutamaan kepada sembelihan korban daripada aqiqah kerana aqiqah mempunyai ruang luas sedangkan korban datang sekali setahun.

Ini satu perkara yang perlu diberi perhatian kerana ada dalam kalangan kita memilih melaksanakan ibadat aqiqah pada musim hari raya korban dan meninggalkan ibadah korban sedangkan dua ibadah ini berbeza.

Alangkah baiknya jika dilakukan kedua-duanya sekali jika berkemampuan dan memberi keutamaan kepada ibadah korban jika kemampuan mereka terbatas. Ibadah korban sangat dituntut dan menjadi sunat muakkad mengikut pendapat kebanyakan ulama.

Imam Hanafi mewajibkan mereka yang berkemampuan berdasarkan sabda Baginda SAW: "Sesiapa yang mempunyai kemampuan dan tidak berkorban, maka jangan dia menghampiri masjid kami." Riwayat lain menyebut: "Kemungkinan dia mati sebagai Yahudi atau Kristian".



Ini menunjukkan Baginda SAW amat memberi perhatian kepada ibadah korban dan menjadikan ia adalah lebih utama daripada ibadah yang lain. Sabda Baginda SAW: "Tiada amalan yang lebih baik dilakukan pada hari raya korban melainkan menumpahkan darah (sembelih korban)."

Apabila diturunkan ayat surah al-Kauthar, Baginda SAW sedang tidur tiba-tiba bangun dan tersenyum. Lalu sahabat bertanya: "Kenapa wahai Rasulullah?" Jawab Baginda SAW: "Sesungguhnya sudah turun ayat surah al-Kauthar."

Firman Allah SWT: "Sesungguhnya kami mengurniakan padamu (Muhammad) sebuah telaga di syurga. Maka laksanakanlah solat dan menyembelih korban." (Surah al-Kauthar, ayat 1-2)

Maksud ibadah korban yang tersirat sebagai mensyukuri nikmat yang terlalu banyak sehingga dapat menampung kehidupan kita sekeluarga sehingga setahun. Oleh itu, Allah SWT menuntut kesyukuran diterjemahkan dalam bahagian korban yang dipersembahkan sekali setahun dan akan memperoleh ganjaran lumayan di akhirat kelak.

Amat sedikit jika dibandingkan satu bahagian korban dengan pendapatan kita selama setahun. Allah SWT ingin melihat sejauh manakah pelaksanaan hambanya terhadap perintah Allah SWT.

Serah korban kepada wakil
Hari ini kita melihat ramai menyerahkan korban kepada wakil dan tidak pernah mengambil tahu atau hanya menunggu dagingnya dihantar ke rumah masing-masing. Ini satu keadaan yang kurang wajar dilakukan melainkan dalam keadaan tidak dapat dielakkan.

Kualiti ibadah korban bukan terletak kepada banyaknya bilangan ternakan yang ditumbangkan pada hari itu seolah-olah satu perlawanan antara masjid. Apa yang dikira ialah hati yang tulus ikhlas menjadi ukuran di sisi Allah SWT.

Firman Allah SWT: "Apa yang dikorbankan tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah SWT. Apa yang sampai adalah ketakwaan kepada Allah SWT." (Surah al-Haj, ayat 32).

Oleh Zamanuddin Jusoh
Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)



 
Chatroom