Tuala wanita bersifat sebagai bahan penyerap oleh wanita apabila didatangi haid, darah nifas, selepas keguguran atau menjalani pembedahan anggota peranakan dan mengelakkan darah mengalir keluar lebih banyak daripada faraj.
Dalam tempoh terkini, kebanyakan tuala wanita yang biasa diguna pakai adalah tuala pakai-buang dan diperbuat daripada kapas serta rayon. Bahan yang ada di tengah-tengah tuala jenis ini mempunyai daya serapan yang kuat dan akan bertindak menjadi gel apabila ia menyerap cecair.
Namun, di sebalik kecanggihan teknologi daya serapan tuala pakai-buang, ramai tidak menyedari bahan berwarna putih jernih ini terlebih dulu diproses menggunakan campuran kimia seperti bahan pemutih (bleaching agent), nyahkuman menggunakan bahan disinfektan dan ada antaranya di tambah pewangi bertujuan menutupi bau tidak dikehendaki.
Semasa pembuatan rayon daripada pulpa kayu pula, ada juga bahan kimia dioxin dilepaskan menyebabkan ada sesetengah wanita terpaksa menghadapi masalah alahan dan keradangan pada bahagian vulva serta faraj.
Berikut disenaraikan beberapa kesan sampingan yang mungkin terjadi akibat pemakaian tuala wanita;
1. Alahan kepada bahan kimia yang ada pada tuala wanita boleh terjadi, tanpa mengira tempoh pemakaian sama ada jangka masa pendek atau lama. Ia digelar `irritant contact dermatitis' atau keradangan pada kulit. Simptom utama adalah gatal, rasa panas terbakar dan bengkak pada alat kelamin. Tanda seperti ruam yang kadangkala berair, kulit merah dan melecet dan lelehan faraj berlebihan juga kesan alahan.
2. Radang pada alat kelamin iaitu sekitar vulva akibat sensitiviti terhadap bahan terkandung pada tuala wanita dipanggil `vulvitis'.
Tandanya adalah rasa tidak selesa, panas pada kulit luar dan mungkin kegatalan.
Radang boleh terjadi jika pemakai memakai tuala wanita dalam jangka masa lama.
3. Melecet pada kulit luar alat kelamin akibat geseran antara tuala dan kulit semasa berjalan atau bergerak.
Situasi ini mudah berlaku sekiranya anda tergolong dalam kategori kulit kering. Tanda yang timbul ialah rasa sakit atau tidak selesa dan pedih apabila terkena air.
4. Jangkitan kuman di vulva dan vagina adalah komplikasi teruk daripada masalah di atas.
Memakai tuala wanita terlalu lama menyebabkan bakteria membiak dengan cepat dan banyak di atas tuala wanita seterusnya mengakibatkan jangkitan pada vulva dan vagina. Sekiranya berpanjangan, jangkitan kulat mungkin terjadi. Tanda jangkitan kuman adalah sakit, bengkak, kulit melecet, berair atau bernanah dan lelehan faraj berlebihan.
Kesimpulannya, remaja digalak menitikberatkan kesihatan dan kebersihan sistem repoduktif masing-masing. Perbuatan menukar tuala wanita secara kerap terutama jika dipenuhi darah haid amat penting supaya kesejahteraan reproduktif terjamin. Ingat! Tukar tuala wanita sekurang-kurangnya setiap tiga hingga empat jam sekali.
Tindakan pencegahan masalah
* Hentikan segera penggunaan tuala yang disyaki punca alahan. Bertukar kebiasaan penggunaan tuala wanita jika perlu guna. Elak memakai tuala daripada kain kapas yang dilipat dan pemakaian seluar dalam jenis kain kapas yang tidak terlalu ketat.
* Jika puncanya akibat pemakaian tuala wanita terlalu lama, berhati- hatilah dengan menukarnya lebih kerap atau dalam tempoh kurang dari tiga jam untuk setiap kali.
* Membasuh alat kelamin dengan air saja tanpa menggunakan sebarang sabun atau pencuci bagi mengelakkan kulit bertambah kering.
* Berjumpa doktor jika tindakan di atas tidak berkesan atau terjadi jangkitan kuman. Doktor akan memberikan krim sapu mengandungi steroid atau antibiotik atau kedua-duanya dan pil anti-alahan.
* Menggunakan tampon sebagai alternatif jika sesuai. Tampon seakan tuala wanita yang digulung kemas, berbentuk rod kecil dan mempunyai tali di hujungnya. Ia mempunyai ciri penyerapan yang kuat dan cara menggunakannya ialah menolak masuk tampon ke dalam faraj menggunakan jari atau aplikator. Tali di luar faraj berfungsi menarik dan mengeluarkan tampon apabila perlu.
Bagaimanapun, tampon hendaklah ditukar setiap empat ke lapan jam, kerana berpotensi menyebabkan jangkitan kuman serius di dalam faraj dan mengakibatkan komplikasi `Toxic Shock Syndrome' (TTS) yang membawa maut.