Home » » Tip Panduan Menuntut Ilmu Agama

Tip Panduan Menuntut Ilmu Agama

Menuntut Ilmu Agama
Dalam menuntut ilmu kita perlu mencari guru yang mengajar berlandaskan As Sunnah. Maksud As Sunnah seperti disebutkan Imam Barbahari ialah Islam. Tetapi adakah kita menuntut ilmu perlu fokus dengan satu guru sahaja atau pun boleh menuntut ilmu dengan guru yang pelbagai dan juga di pelbagai tempat?

Pertama sekali, kita perlu mengenali ilmuwan yang ingin kita ambil ilmu daripada mereka. Perkara ini dididik oleh ahli-ahli ilmu zaman berzaman. Sejak zaman Nabi lagi Baginda SAW telah mengkhabarkan dalam hadis maksudnya: “Ulama adalah pewaris para Nabi.

Menuntut Ilmu Agama

Sesungguhnya para Nabi SAW tidak mewariskan dinar ataupun dirham (kekayaan), sebaliknya mereka mewariskan ilmu. Maka barang siapa mengambilnya (ilmu) maka dia telah mengambil keuntungan yang banyak.” (Riwayat Imam Abu Dawud).

Dari sini Nabi memberikan kepada kita takrifan dan ciri-ciri ulama. Jadi untuk kita mengiktiraf seseorang itu ulama, ilmu yang dibawanya mestilah sama seperti dibawa oleh Nabi SAW, sekurang-kurangnya dia menyeru manusia mengikut Nabi.

Kita perlu berhati-hati dengan orang yang menyeru manusia supaya mengikuti diri atau kelompoknya. Kita tidak mahu wujud lagi individu atau kelompok yang mengajak orang ramai mengikuti mereka dan membelakangi al-Quran dan hadis, mereka inilah ulama-ulama perosak.

Kita perlu perhatikan betul-betul apa disampaikan dan perkataan yang keluar daripada lisannya. Adakah berasaskan al-Quran dan sunnah? Adakah dia menyatakan ulasan dan penjelasan para sahabat Nabi? Atau adakah dia mengulasnya mengikut pendapat sendiri?

Bukan saja kita mahu mengikuti al-Quran dan hadis, tetapi mengambil kefahaman tentang al-Quran itu daripada generasi sahabat Nabi, tabiin, dan tabi’ut tabiin kerana mereka adalah generasi yang ALLAH SWT dan Rasul SAW muliakan di dalam wahyu. Telah disebutkan kedudukan mereka.

Ertinya: “Sebaik-baik manusia adalah generasiku, kemudian yang menyusul setelah mereka kemudian yang menyusul setelah mereka.” (Riwayat Imam Al Bukhari dan Imam Muslim).

Kedua, apabila ustaz-ustaz dan ilmuwan-ilmuwan ini banyak dan pelbagai, perlu untuk kita ketahui prioriti dan bidang ilmu yang ingin kita pelajari. Tidak ada seorang pun individu Muslim atas muka bumi ini melainkan tanggungjawab dan ilmu pertama yang perlu dia tuntut adalah ilmu akidah.

Bagaimana hendak mentauhidkan ALLAH SWT, bagaimana caranya untuk mengesakan ALLAH SWT pada setiap perbuatan-perbuatan-Nya, bagaimana mengesakan ALLAH SWT dalam setiap peribadatan kita kepada-Nya, bagaimana hubung kait antara ibadat dengan mengesakan ALLAH SWT. Bagaimana meraih ihsan jika kita tidak merasai hubungan dengan ALLAH SWT? Ihsan yang Nabi SAW nyatakan di dalam hadis, ertinya: “Engkau menyembah ALLAH seakan-akan engkau melihat-Nya, dan sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihatmu.” (Riwayat Imam Al-Bukhari no 50 dan Imam Muslim no 8).

Perasaan ini tidak akan datang kecuali dengan penghayatan tauhid dan tidak akan ada tauhid jika kita tidak ada kesungguhan mempelajarinya. Inilah akidah yang merupakan tujuan para Nabi dan Rasul diutuskan, maka kita perlu menuntut ilmu ini dan jadikan ia prioriti dalam menuntut ilmu.

Pada masa sama, di sana ada juga ilmu-ilmu berkaitan hukum hakam atau dalam bahasa lainnya dipanggil fardu ain. Kita perlu mempelajari solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya.

Setelah kita mengenal pasti keutamaan dan guru-guru yang benar manhajnya, kita fokus kepadanya dan janganlah tergopoh-gapah. Pesan Imam Asy-Syafi’i rahimahullah, masa menuntut ilmu itu panjang. Berkata juga Imam Ahmad rahimahullah yang sentiasa membawa pen dan dakwat ke mana-mana sehingga sahabatnya bertanya sampai bilakah dia akan berkeadaan seperti itu, jawabnya “bersama-sama dakwat ini aku akan bawa sampai ke kubur (mati).”

Inilah sikap yang sebetulnya, pilih guru dan pilih juga bahan bacaan yang benar. Carilah satu buku akidah yang ringkas dan elok susunannya contohnya seperti karangan Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas terbitan Pustaka Imam Asy-Syafi’i Indonesia bertajuk Syarah Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Pastikan di setiap surau ada sekurang-kurangnya satu kitab tersebut. Kitab itu memuatkan poin-poin ringkas, turut memperkenalkan kepada kita tentang Imam Mahdi seperti isu yang timbul baru-baru ini, juga pembahasan-pembahasan akidah yang lain.

~ FATHUL BARI



 
Chatroom