Home » » Awas saiz benjolan di payudara

Awas saiz benjolan di payudara

Sebilangan besar wanita sanggup berhabis untuk mengekalkan kecantikan wajah tetapi sering terlupa anggota badan yang perlu diberi perhatian.

Penjagaan payudara antara aset utama sering diabaikan wanita walaupun fakta menunjukkan ia kanser nombor satu di kalangan golongan Hawa.

Disahkan menghidap kanser payudara menjadi kejutan bagi kebanyakan wanita. Mereka tidak tahu kepada siapa mahu mengadu dan merujuk masalah itu.

Sehubungan itu, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) memberi bimbingan kepada pesakit kanser payudara ketika dan selepas menjalani rawatan.

Di Malaysia, daripada setiap 28 wanita Melayu, seorang berisiko mendapat penyakit yang boleh membawa maut itu, manakala di kalangan wanita India, daripada 17 orang, seorang mungkin berisiko manakala wanita Cina, seorang daripada 16 orang.

Jururawat Masyarakat Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia, Datin Zainab Abdullah berkata, kanser payudara boleh menyerang sesiapa saja tanpa mengira kaum atau kedudukan, malah satu hingga lima peratus lelaki terdedah risiko mendapat penyakit itu.

"Pengesanan awal penyakit itu boleh dilakukan dengan cara mudah. Bagi wanita berusia 40 tahun ke atas, pemeriksaan mamogram boleh dilakukan.

"Wanita berusia 25 tahun ke atas dinasihat membuat pemeriksaan payudara sendiri bagi mengesan jika ada keganjilan pada payudara, misalnya benjolan dalam payudara. Pemeriksaan boleh dilakukan secara berdiri, membongkok atau ketika berbaring," katanya.

Beliau berkata demikian ketika kempen mengurangkan risiko dan pemeriksaan kanser payudara oleh BCWA di Kota Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sebanyak 10 peratus daripada setiap jualan barangan Antabax dari 28 Julai hingga 31 Ogos lalu di lebih 100 cawangan Giant di seluruh negara akan disumbangkan kepada Tabung Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia untuk membantu penghidap penyakit berkenaan.

BCWA pertubuhan sukarela ditubuhkan pada 1986 dan melalui persatuan itu, bekas penghidap kanser payudara menggunakan pengalaman mereka untuk memberi sokongan psikososial (emosi dan sosial) bagi membantu pesakit baru.

Zainab berkata, pemeriksaan sendiri hendaklah dilakukan setiap bulan. Jika ada benjolan disahkan kanser, saiznya boleh menentukan sejauh mana kanser itu merebak.

Menurut Zainab, jika benjolan sebesar kacang hijau, kanser yang membesar ialah 10 peratus. Benjolan sebesar limau kasturi menandakan kanser itu merebak 50 peratus manakala benjolan sebesar manggis boleh merebak ke seluruh badan.

"Payudara anggota terpenting dalam tubuh wanita dan kedudukannya dekat dengan jantung. Kanser ini berpunca daripada ketumbuhan sel yang tidak terkawal dan jika tidak dirawat, boleh merebak ke sistem limfa dan membawa maut," katanya.

Waktu sesuai untuk menjalankan pemeriksaan sendiri ialah pada hari ketujuh hingga ke-10 selepas seseorang itu datang haid. Pada setiap bulan, pemeriksaan hendaklah dilakukan pada hari sama.

Bahagian yang perlu diperiksa ialah dari tulang selangka ke dada dan ketiak. Caranya ialah menggunakan tiga jari bagi mengesan kemungkinan wujud perbezaan atau sesuatu yang lain daripada biasa, misalnya saiz, permukaan tak normal, lekukan, perubahan warna (misalnya berwarna oren) atau ada lelehan pada puting.

Faktor risiko:

* Keturunan (genetik): jika ada ahli keluarga mengalaminya, ahli keluarga atau keturunannya turut berdepan risiko sama

* Datang haid awal iaitu ketika berusia 11 tahun

* Lewat menopaus

* Lewat mendapat cahaya mata (berusia 30 tahun ke atas)

* Mengamalkan cara hidup tidak sihat (banyak makan makanan berlemak dan tidak bersenam)

* Obes

* Pengambilan alkohol berlebihan

* Merokok

Oleh Norainon Othman



 
Chatroom