Home » » Pil langsing: Kerajaan tiada kuasa

Pil langsing: Kerajaan tiada kuasa

Oleh: ROKIAH ABDULLAH

PULAU PINANG 6 April – Kementerian Kesihatan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat atau menghentikan penjualan pil pelangsing badan berikutan permintaan yang tinggi terhadap produk itu terutama di kalangan wanita.

Walaupun begitu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pihaknya tidak pernah ‘lepas tangan’ dalam memastikan masyarakat benar-benar memahami dan mempunyai maklumat yang secukupnya tentang produk pelangsing tersebut.

‘‘Saya memang sudah pedih mulut, beritahu semua orang bahawa tak ada jalan mudah kalau mahu kurus. Tak ada ubat pun yang boleh buat kita jadi kurus, selain bersenam dan jaga pemakanan. Mereka masih tak sedar.

‘‘Oleh itu, strategi pihak kementerian ialah mempergiatkan lagi kempen-kempen yang sedia ada supaya masyarakat kita di luar sana tidak membeli ubat-ubat yang tidak mendapat tauliah dan bahayakan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan persidangan penyakit berjangkit di Hotel Bayview Beach Resort, Batu Feringghi di sini hari ini.

Persidangan tiga hari yang bermula hari ini anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) cawangan Pulau Pinang dan Kementerian Kesihatan itu dihadiri kira-kira 70 peserta yang terdiri daripada doktor-doktor dan pegawai kesihatan dari negeri ini.

Jelas Ismail, dalam memastikan keberkesanan usaha tersebut, pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan Kementerian Penerangan dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi untuk membendung penyebaran iklan-iklan daripada produk pelangsing yang tidak berdaftar dan bertauliah.

‘‘Kita telah bekerjasama dengan dua kementerian ini supaya iklan-iklan yang tidak mendapat kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat tidak dibenarkan untuk disiarkan di dalam media sama ada media cetak atau media elektronik.

‘‘Ia amat penting untuk mengelakkan para pengguna tertipu dan terus membeli produk-produk yang hanya akan memudaratkan lagi masalah kegemukan kerana terdapat produk-produk yang dikesan telah memutarbelitkan fakta perubatan hanya untuk meraih keuntungan,” katanya.

Menurut Ismail, kegiatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja akan merugikan pengguna malah boleh membahayakan nyawa mereka.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk melatih lebih banyak pakar-pakar dalam bidang penyakit berjangkit bagi memastikan negara benar-benar bersedia jika menghadapi masalah tersebut.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya hanya mempunyai kira-kira 20 pakar dalam bidang itu yang jauh daripada bilangan sebenar yang diperlukan bagi menampung keperluan kementeriannya.

‘‘Kita kena bersedia, jangan hanya kerana masih tidak ada kes, kita buat tak tahu saja. Nanti bila sudah berlaku baru mahu bertindak, ia sudah terlambat.

‘‘Pakar-pakar ini amat kita perlukan untuk membuat kajian dan penyelidikan supaya langkah yang wajar dapat diambil untuk membendung penyakit tersebut daripada terus menular,” katanya.

Menurut Ismail, pihaknya juga menyeru kerjasama dan bantuan daripada sektor swasta untuk sama-sama melibatkan diri dalam melatih mereka yang layak bagi memenuhi kekosongan tersebut.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom