Home » » Pemakanan sihat untuk remaja

Pemakanan sihat untuk remaja

APABILA anda membeli-belah di pasar raya, anda dapat melihat pelbagai jenis produk makanan yang mengandungi khasiat semula jadi, diperkaya atau lain-lain makanan alternatif yang menyihatkan.

Pengeluar makanan telah membuat pelaburan yang tinggi untuk mengukuhkan nilai pemakanan produk mereka. Malah, restoran mamak juga turut menawarkan versi ‘kurang manis’ untuk minuman kegemaran kita!

Industri makanan sudah memulakan trend baru bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap keperluan pengguna yang prihatin terhadap kesihatan mereka.

Walaupun ini adalah satu perubahan yang baik, keperluan terhadap pasaran remaja perlu juga diambil perhatian. Dengan kuasa membeli dan kebebasan yang dimiliki, para remaja kini membuat pilihan mereka sendiri apa yang perlu dibeli atau dimakan.

Malangnya, pilihan yang dilakukan kebiasaannya terdiri daripada diet tinggi kalori, lemak tepu dan trans, gula dan garam halus. Pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin dan kalsium pula lebih kurang.

Masalah remaja

Kesan pemilihan makanan yang tidak sihat dan tabiat makan yang buruk dapat dilihat di seluruh dunia. Di mana-mana sahaja, terdapat sebilangan remaja yang mengalami masalah malnutrisi/kekurangan zat makanan yang teruk.

Sama ada terlebih atau kurang khasiat pemakanan. Perkara ini boleh menyebabkan penyakit yang mampu menjejaskan kualiti kehidupan mereka dan, dalam kes-kes yang lebih teruk, mengancam nyawa.

Menurut Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Dr. Tee E Siong, keadaan di Malaysia juga agak runcing.

“Remaja-remaja Malaysia mengalami masalah berat badan yang berlebihan dan obesiti kesan daripada diet yang buruk serta kurang menjalani aktiviti fizikal. Ini boleh menyebabkan risiko penyakit seperti diabetes jenis 2, penyakit jantung dan strok,” jelas beliau.

Sementara itu, Dr. Poh Bee Koon, Profesor Madya di Jabatan Pemakanan & Dietetik Universiti Kebangsaan Malaysia merangkap ahli majlis Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), turut bersetuju dengan kenyataan ini.

"21.4 peratus remaja di kawasan bandar dan 16 peratus di kawasan luar bandar menghadapi masalah berat badan berlebihan. Hakikatnya, sebanyak 6 peratus remaja telah dimasukkan ke hospital disebabkan oleh diabetes dan angka ini semakin meningkat,” kata beliau.

Dan ia bukan sahaja masalah khasiat pemakanan yang berlebihan.

“Zaman remaja adalah satu tempoh pertumbuhan yang pesat di mana keperluan pemakanan adalah amat penting. Kegagalan untuk memenuhi keperluan ini akan menyebabkan kekurangan zat pemakanan, dan kebanyakannya adalah kalsium dan zat besi.

“Kajian tempatan yang telah dijalankan menunjukkan lebih dari 70 peratus di kalangan remaja mungkin tidak mengambil makanan yang kaya dengan kalsium secukupnya. Tambahan pula, 22 peratus remaja luar bandar telah dilaporkan mengalami anemik,” jelas Teng Yu Yuet, Ketua Pakar Diet di Pusat Perubatan Sunway yang juga Penolong Setiausaha (Kehormat), Persatuan Dietetik Malaysia.

Walaupun industri makanan telah membuat pilihan yang tepat, namun persoalannya ialah, adakah usaha kita mencukupi? Atau lebih tepat lagi, apakah yang perlu kita lakukan lagi?

Apa yang boleh dilakukan oleh pengeluar makanan?

Inovasi produk-produk lebih menyihatkan

Mulakan penyelidikan dan aktiviti pembangunan bagi mewujudkan produk-produk baru atau membangunkan semula produk asal dengan meningkatkan nilai pemakanan produk tersebut. Cari jalan untuk menjadikan produk anda yang sihat lebih lazat, mudah untuk dimakan dan menarik di mata pengguna remaja.

Kaji semula amalan pasaran semasa

Apakah mesej yang disampaikan oleh anda untuk pengguna remaja? Sebagai contoh, adakah usaha pemasaran anda menampilkan imej tubuh yang tidak sihat seperti tubuh yang kurus adalah lebih cantik?

Remaja mudah terpengaruh, oleh itu olah mesej komunikasi anda dengan berhati-hati untuk memastikan mereka sentiasa mempromosikan kesihatan yang baik dan kesejahteraan yang menyeluruh.

Tiada produk atau khasiat pemakanan yang boleh meningkatkan keadaan atau menyembuhkan penyakit, oleh itu elakkan dari menyebarkan maklumat palsu atau mengelirukan. Hanya gunakan kenyataan yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sokongan yang berkesan

Sokongan terhadap produk terutama oleh individu yang terkenal, sentiasa berkesan di kalangan pengguna remaja. Kita lihat ramai selebriti menyampaikan mesej kepada para remaja supaya menjauhi dadah. Mengapa tidak menggunakan kaedah yang sama untuk mempromosikan pemakanan sihat?

Seorang selebriti yang merupakan ikon kepada gaya hidup yang sihat akan memberi kesan yang lebih mendalam kepada pengguna remaja, malah mungkin mengubah tanggapan mereka terhadap pemakanan sihat.

Menggalakkan prinsip pemakanan sihat

Kesihatan dan kesejahteraan yang baik memerlukan pendekatan yang sepenuhnya. Ini yang dicerminkan dalam Garis Panduan Pemakanan Malaysia yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Penyelarasan Makanan dan Pemakanan Negara, KKM dalam tahun 1999.

Jawatankuasa ini berusaha menyemai satu persefahaman yang tidak berat sebelah terhadap pemakanan sebagai satu tabiat pemakanan yang menyeluruh dan sihat melalui aktiviti-aktiviti promosi seperti perniagaan, media dan masyarakat.

Bantu pengguna remaja untuk memahami bagaimana produk anda sesuai dari segi pemakanan selain daripada membantu memenuhi keperluan khasiat pemakanan mereka.

Mendidik pengguna remaja membuat pilihan yang lebih sihat

Anda boleh memainkan peranan yang positif dalam meningkatkan diet pemakanan dan tabiat makan pengguna remaja dengan mengukuhkan usaha anda dalam mendidik mereka mengenai pemakanan dan kesihatan.

Sebagai pengeluar, anda sentiasa berhubung dengan trend sasaran pasaran anda. Mengapa anda tidak menggunakan prinsip yang sama untuk mengiklankan produk anda dengan menyampaikan mesej berpendidikan mengenai kesihatan dan pemakanan berkaitan remaja dengan lebih menarik?

Dengan membantu mereka untuk memahami jumlah keperluan khasiat pemakanan, nilai khasiat untuk makanan yang berbeza dan memahami label pemakanan pada produk, anda membantu mereka dalam memilih makanan yang lebih sihat.

Menyokong program pendidikan awam

Pertimbangkan untuk menyokong program pendidikan awam yang dianjurkan oleh badan kerajaan atau bukan kerajaan (NGO) sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial anda.

Anda juga boleh memulakan program pendidikan untuk remaja. Jika anda memutuskan untuk melakukan aktiviti sedemikian, adalah penting untuk anda mendapatkan pendapat dan panduan pakar-pakar yang berkelayakan dalam bidang tersebut.

Apa yang boleh dilakukan oleh pengusaha kedai makanan?

Menjaga persekitaran yang bersih dan sihat

Kedai makanan yang bersih dan selesa bukan sahaja lebih bermanfaat untuk pengguna remaja malah akan menarik mereka untuk datang kembali. Pastikan meja dibersihkan selepas pelanggan meninggalkan premis dan sebaik-baiknya, cuba elakkan pelanggan daripada merokok dalam lingkungan premis anda. Jadikanlah kebersihan satu amalan.

Menyediakan makanan secara sihat

Sediakan alternatif lebih sihat iaitu rendah kalori, lemak dan gula, serta berkhasiat tinggi. Pastikan anda menyediakan hidangan yang kurang berminyak, garam dan gula. Tingkatkan tekstur dan rasa serta pastikan hidangan yang disediakan lebih menyelerakan dengan menambah lebih sayur-sayuran, herba serta rempah semula jadi.

Saiz hidangan

Kedai-kedai makanan bersaing dengan agresif untuk memenangi hati pengguna dengan memberi lebih banyak untuk harga yang rendah. Dengan membayar lebih sedikit daripada harga asal, anda dapat menggandakan bahagian anda! Manipulasi terhadap sifat tamak manusia mungkin dapat menarik lebih ramai pelanggan ke kedai anda, namun ia bukanlah sesuatu yang bertanggungjawab.

Sediakan pilihan untuk saiz hidangan. Sebagai contoh, sediakan pilihan hidangan bersaiz kecil, sedang dan besar. Dengan cara ini, para pengguna remaja tidak akan terdorong untuk makan secara berlebihan atau membayar untuk saiz hidangan yang tidak mampu mereka habiskan.

Pendidikan

Kedai-kedai tertentu seperti restoran mamak, kedai kopi dan kedai makanan segera sangat popular di kalangan pengguna remaja. Kedai-kedai tersebut merupakan saluran yang berkesan untuk mendekati remaja dan mendidik mereka tentang pemakanan sihat.

Anda boleh mulakan dengan mempamerkan alternatif makanan yang sihat, kandungan kalori dan maklumat khasiat utama dalam menu makanan anda dan mempamerkan poster-poster yang mengandungi mesej pemakanan sihat di tempat-tempat yang mudah dilihat di sekitar premis anda.

Selain bertanggungjawab dalam menyediakan makanan yang selamat untuk pengguna remaja, anda juga bertanggungjawab untuk menyediakan makanan yang berkhasiat untuk kesihatan dan kesejahteraan secara menyeluruh. Inilah merupakan nilai sebenar sesuatu produk dan perkhidmatan yang disediakan.

- Untuk maklumat lanjut berkenaan pemakanan dan amalan yang sihat, sila lawat www.nutriweb.org.my



2 Komen:

Go Minam... berkata...

Mmmmmm x best langsung blog nie...

Go Minam... berkata...

Tambah la benda yg best..........

Catat Ulasan

 
Chatroom