Oleh DR. ZAINAL ABIDIN MAHMOOD
MASALAH kegemukan keterlaluan (obes) pada kanak-kanak walaupun tidak ramai tetapi perlu diberi perhatian. Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choo iaitu berdasarkan Kajian Faktor Risiko Penyakit Kronik didapati seramai 5.8 juta penduduk berumur antara 25-64 tahun berada dalam kategori berat badan berlebihan.
Didapati juga 19 peratus wanita adalah gemuk berbanding lelaki 14 peratus.
Kajian juga mendapati risiko mendapat penyakit tertentu dikaitkan dengan obesiti.
Lazimnya berat badan diklasifikasikan kepada kurus/kurang berat, normal, berat lebih daripada normal dan obes berdasarkan Body Mass Index (BMI).
Dengan memasukkan ukuran berat badan dan ketinggian dalam carta BMI yang terdapat di laman web, kita dengan mudah mendapatkan bacaan BMI untuk diri sendiri.
Berat badan normal ialah BMI 18.5 hingga 25. Jika ketinggian individu itu misalnya 165 sentimeter (sm) maka julat normal baginya ialah 50kg hingga 69kg. Berat badan dianggap berlebihan dan tidak ideal jika BMI melebihi 25 sedangkan individu obes berada pada lingkungan BMI 30 dan ke atas.
Persoalannya berapa ramai yang memahami dan menganggap ia penting? Sebagai perbandingan, berat normal penduduk dewasa Eropah hanya sekitar 70kg sedangkan di kalangan kita ada yang beratnya melebihi 70kg.
Seperkara lagi, kenapa anak-anak sekarang cenderung mendapat obesiti sedangkan perkara sama hampir tidak wujud beberapa dekad lalu?
Jawapannya mungkin terletak atas dua perkara. Pertama, pemakanan dan kedua, aktiviti harian.
Makan merupakan keperluan asasi badan. Sepatutnya kuantiti yang dimakan berdasarkan sukatan tetapi hakikatnya ia tidak praktikal. Oleh itu kita makan mengikut naluri dan perasaan.
Kanak-kanak dulu banyak makan bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran kampung dan minum air telaga. Kanak-kanak sekarang meminati makanan ringan dan minuman bergas.
Amalan berhenti makan sebelum perut terasa kenyang adalah baik sementara berhenti makan setelah kekenyangan tidaklah teruk sangat. Tetapi apa tindakan rasional kita kalau anak terus mengunyah walaupun telah terlampau kenyang?
Ibarat melentur buluh, perkara berkaitan adab, peraturan dan disiplin semasa makan perlu diterapkan dari usia awal. Ibu bapa kena tegas dan konsisten dalam perkara ini kalau tidak mahu ia dipersendakan.
Pengaruh persekitaran perlu diberi perhatian. Persekitaran dalam rumah dan sekolah boleh dikawal tetapi tidak yang lain.
Jika mahukan anak menghayati budaya makan sihat, landasan dan persekitaran kondusif perlu diadakan. Nasihatkan dan jauhkan mereka daripada makanan tidak seimbang.
Tak mengapalah kalau kita dituduh remeh-temeh dan cerewet dalam bab memilih makanan asalkan kita tahu apa yang terbaik. Kita tahu mana yang patut dilebihkan dan mana yang patut dikurangkan.
Contohnya bawang putih patut dilebihkan tetapi kita tidak memakannya dan menjadikannya sekadar hiasan dalam masakan. Nenek-moyang kita kuat makan bawang putih kerana mereka tahu khasiatnya walaupun sedar baunya tidak menyenangkan.
Kini saintis Barat pula yang mengesahkan khasiat bawang putih sebagai bagus untuk perjalanan darah dan jantung. Malah mereka pula mendapat nama kerana hasil penyelidikan mereka dipaparkan dalam jurnal saintifik ternama.
Ketika bersekolah kita diberitahu daging merupakan sumber protein dan perlu untuk pertumbuhan itu, ini dan sebagainya. Kita banyak makan daging baik sebagai lauk, hidangan musim perayaan dan menu utama restoran makanan segera.
Terbaru, kajian klinikal melibatkan lebih 50,000 individu sampel di Amerika Syarikat mendapati daging mengandungi bahan penyebab kanser. Kesimpulannya, kita patut kurangkan makan daging.
Menghindarkan
Makan dalam jumlah yang banyak walaupun bunyinya sekadar makanan ‘ringan’ apa lagi pek ‘jumbo’ bagi mengisi perut yang kosong atau kononnya perlukan tenaga bagi menghindarkan kelesuan ketika menonton rancangan kegemaran, hanyalah percubaan mengelirukan badan sendiri.
Makan melebihi permintaan fisiologi badan atau tenaga sedia ada tidak digunakan secara optimum akan menyumbang kepada lebihan kalori dan lemak dalam badan. Dalam sains dinyatakan bahawa tenaga tidak musnah sebaliknya boleh berpindah dan berubah bentuk maka tanpa sedar berlaku kenaikan berat badan.
Setiap pergerakan otot memerlukan tenaga dan jumlahnya berbeza mengikut aktiviti. Beberapa aktiviti harian sering diamalkan kanak-kanak sekarang seperti menonton televisyen, tidur, berbual kosong, menggunakan jari untuk mengetik komputer tidak menggunakan tenaga sebanyak mana yang kita bayangkan.
Kegiatan harian kanak-kanak dulu lebih seimbang dan berkesan dari segi penggunaan tenaga. Mereka gemar berlari, memanjat dan menceburi aktiviti lasak tetapi masih ringan tulang membantu kerja sawah, ladang getah atau nelayan.
‘Model’ atau ‘montel’ adalah pilihan hati masing-masing asalkan kita mempunyai cukup maklumat dan pengetahuan berkenaan buruk dan baik; untung dan rugi pilihan kita itu. Namun, cita rasa bukan tetap tetapi boleh diubah.
Dari sudut kesihatan, obesiti adalah penyebab kolesterol tinggi, darah tinggi dan gula dalam darah tinggi. Itu pun belum mengambil kira deretan senarai komplikasi seperti serangan jantung, angin ahmar, aterosklerosis, kegagalan buah pinggang dan sebagainya.
Maklumat tentang BMI berisiko tinggi dapat mendorong kita menetapkan sasaran berat badan sejajar dengan kehendak perubatan. Namun penggunaan BMI bagi menganggarkan risiko penyakit adalah tidak lengkap tanpa mengambil kira ukuran lilit pinggang dan faktor- faktor risiko kesihatan lain seperti sejarah keluarga, merokok dan sebagainya.
Contohnya, individu dengan BMI melebihi 25 tidak semestinya berisiko mendapat penyakit seandainya memiliki pinggang yang ramping (ukuran lilit pinggang kurang dari 40sm). Tetapi, individu dengan ukur lilit pinggang melebihi 40sm tetap berisiko penyakit walaupun BMInya berada bawah 25.
Setiap penyakit ada penawar. Kenyataan ini betul tetapi rawatan penyakit jarang boleh diperoleh percuma. Kenaikan kos rawatan dari semasa ke semasa di luar kawalan dan kemampuan segolongan besar masyarakat marhaen.
Rawatan pesakit (baik moden mahupun komplementari) sama ada untuk jangka masa pendek atau susulan bagi mendapatkan pakej rawatan holistik dan komprehensif serta ditambah pula dengan keperluan mendapatkan khidmat nasihat pakar pastinya memerlukan pembiayaan besar.
Mungkin elok difikirkan dan nilaikan sikap dan amalan pemakanan kita dahulu. Makan ikut permintaan fisiologi dan jangan ikut telunjuk ‘psikologi’.
* DR. ZAINAL ABIDIN MAHMOOD ialah doktor perubatan.
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan