Home » » Zat seimbang langkah awal proses diet

Zat seimbang langkah awal proses diet

Bersama Dr Nordin Darus
dnd@worldwellness.com.my

CARA pemakanan saya untuk melangsingkan badan secara lebih mudah. Sebelum itu, elok juga anda di bawa belajar asas konsep pemakanan yang perlu anda tahu untuk memahami topik seterusnya.

Makan untuk Hidup

Manusia boleh dibahagikan kepada dua jenis - mereka yang hidup untuk makan dan mereka yang makan untuk hidup. Kumpulan pertama amat menikmati makanan, kerap kali mereka menjadi pakar makanan dan sanggup merantau jauh semata-mata mencari hidangan terbaik. Kumpulan kedua, berpuas hati jika sajian mereka seimbang. Saya pasti golongan pertama akan berasa lega mendengar pemakanan sihat tidak akan memaksa mereka mengorbankan kenikmatan daripada makanan.

Pemakanan sihat hanya membabitkan penyelenggaraan sajian yang seimbang dan pengawalan atau penghapusan tabiat makan yang menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan bagi jangka panjang. Sajian sihat membekalkan tenaga diperlukan dalam kadar dan zat yang betul.

Kita sepatutnya mengambil pelbagai jenis makanan dan minuman berlainan untuk memastikan mendapat vitamin dan galian diperlukan. Tiga kelas makanan utama adalah karbohidrat, lemak dan protein yang harus dimasukkan ke dalam menu harian dan dimakan dalam kuantiti secukupnya.

Karbohidrat

Membekalkan sekurang-kurangnya 60 peratus sumber tenaga harian, di samping membekalkan badan dengan tenaga diperlukan. Karbohidrat juga perlu untuk membolehkan otak berfungsi sewajarnya, bagi membantu badan mengawal pemecahan protein dan melindungi badan daripada toksin. Karbohidrat adalah gula dan kanji yang didapati dalam keluaran biji-bijian, seperti bijirin, roti, nasi dan pasta, dalam buah-buahan dan dalam sayur-sayuran.

Karbohidrat kompleks (yang juga dikenali sebagai gula tidak bertapis) adalah zat terbaik untuk membantu ahli sukan mencapai prestasi terbaiknya. Karbohidrat kompleks mudah didapati, mudah dimetabolismekan, murah, sedap rasanya, memuaskan dan satu-satunya kumpulan makanan yang dapat membakar secara anaerobik. Disebabkan karbohidrat kompleks mengambil masa lebih lama untuk dihadamkan berbanding karbohidrat ringkas, mereka lebih berkesan menjauhkan rasa lapar.

Karbohidrat kompleks tinggi sudah lama menjadi bahagian penting dalam sajian orang Asia dalam bentuk nasi, mi, ubi, tanaman berakar, kentang, roti, buah-buahan segar dan jus, serta sayur-sayuran. Hari ini, sajian jenis itu kian lazim diamalkan di seluruh dunia dengan adanya pengiktirafan manfaatnya.

Lemak

Sebahagian penting diet yang baik. Namun terlalu banyak lemak atau terlalu banyak jenis lemak yang tidak baik akan memudaratkan kesihatan. Lemak sepatutnya membekalkan tidak lebih daripada 25 peratus daripada sumber tenaga. Badan memerlukannya untuk tumbesaran dan pembaikan. Lemak juga disimpan dalam tisu badan untuk menebat dan membantu mengawal suhu badan, dan melindungi organ penting. Lemak membekalkan sumber pati makanan bertenaga dan mengandungi vitamin mudah larut A,D,E dan K.

Ada dua jenis lemak, lemak tepu dan lemak tidak tepu. Lemak tidak tepu tidak menghasilkan sebanyak kolesterol darah seperti lemak tepu. Tahap kolesterol yang tinggi kerap dikaitkan dengan penyakit jantung. Berikutan itu, pakar mengesyorkan supaya mengurangkan kuantiti lemak tepu yang boleh diperoleh dalam daging merah, keseluruhan telur dan susu serta keluaran tenusu manakala lemak tidak tepu dalam kekacang dan kebanyakan minyak sayur-sayuran.

Protein

Protein adalah blok pembina badan yang diperlukan untuk tumbesaran dan membaik sel yang rosak. Protein juga diperlukan untuk penghadaman dan untuk membantu menghasilkan antibodi untuk melawan jangkitan. Protein sepatutnya menjadi kira-kira 10 hingga 15 peratus daripada pengambilan makanan harian anda.

Sumber utama protein adalah daging, keluaran tenusu, ikan, telur dan kekacang.

Vitamin

Bahan kimia yang diperlukan badan untuk memproses zat yang lain. Vitamin membantu mengawal sistem saraf dan membantu dalam pembentukan bahan genetik, protein, sel darah merah dan hormon. Oleh kerana badan tidak dapat menghasilkan atau membekalkan bekalan vitamin secukupnya secara semula jadi, anda mesti mendapatkan bekalan harian daripada sajian makanan dan vitamin tambahan. Bagi nilai vitamin terbaik, makanlah makanan segar kerana menyimpan dan memasak akan memusnahkan sebahagian daripada vitamin itu.

Adakah vitamin tambahan benar-benar diperlukan? Jika anda memakan sajian yang seimbang dan pelbagai, sepatutnya anda tidak memerlukan vitamin tambahan. Dalam apa jua hal, vitamin tambahan bukanlah pengganti sajian yang menghasilkan tenaga atau serabut diet. Bagaimanapun, jika anda tidak mendapat sajian seimbang atau jika anda sakit, vitamin tambahan mungkin diperlukan. Tetapi anda sepatutnya mendapatkan nasihat doktor mengenai dos yang betul seperti juga bagi apa-apa ubat lain. Secara amnya, anda sepatutnya tidak mengambil lebih daripada Peruntukan Harian Yang Disyorkan (RDA) yang dinyatakan kerana dos berlebihan zat tertentu boleh memberi kesan sampingan yang memudaratkan.

Sentiasa ingat untuk memeriksa sajian anda sebelum mengambil vitamin tambahan. Jika anda tidak memakan bilangan sajian minimum yang disyorkan daripada setiap kumpulan makanan, kemungkinannya bukan saja anda kekurangan vitamin tertentu tetapi juga terlalu tinggi dalam lemak, gula atau kalori.

Saya berhenti di sini dulu supaya anda dapat lebih memahami konsep pemakanan lebih berkesan untuk mengurangkan berat badan.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Ibu Pejabat WorldWellness Network 03-77887791 atau e-mail ke dnd@worldwellness.com.my



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom