MINDA yang sihat datangnya daripada badan yang sihat, badan yang sihat datangnya daripada minda yang sihat." Ungkapan ini tidak asing lagi dan didengar di mana-mana saja. Oleh itu, berapa ramaikah di kalangan kita yang mengamalkannya. Kita semua tahu tubuh badan yang cergas dari segi fizikal dapat meningkatkan setiap aspek kehidupan kita. Bagaimanapun berasaskan kajian yang saya buat keseimbangan antara minda, fizikal dan rohani adalah kunci utama untuk kesihatan yang optimum.
Daripada hakikat inilah saya melahirkan 'Terapi Mifiro' - yang datangnya daripada gabungan perkataan minda, fizikal dan rohani. Menerusi artikel ini, insya-Allah saya akan memperkenalkan satu persatu kaedah yang digunakan dalam terapi mifiro ini, mudah-mudahan anda akan mendapat manfaat dan sentiasa sihat sepanjang hayat. Bab yang pertama yang akan saya bincangkan ialah langsing sepanjang hayat.
Bagaimana jika anda boleh makan apa saja yang anda mahu pada bila-bila masa yang anda inginkan tetapi berat badan anda masih lagi terkawal?
Apa yang akan saya kongsi dengan anda adalah satu program diet yang menggunakan terapi mifiro, yang dirumus khas berdasarkan teori saya mengenai pemakanan yang sihat dan senaman yang selamat. Program diet ini sudah saya lancarkan pada 17 September tahun lalu pada seminar aura anggun di Hotel PJ Hilton.
Lazimnya apabila orang bercakap mengenai 'berdiet', apa yang kita bayangkan ialah menahan diri daripada makan atau 'mengira kalori'. Semua ini betul tetapi berapa lamakah ia bertahan? Adakah anda mampu mengikat perut sampai bila-bila sebab kita tahu bahawa jika berhenti daripada berdiet, lambat laun berat badan kita akan naik semula. Laratkah anda mengira kalori sepanjang hayat?
Sebab itu saya memperkenalkan program diet ini dan anda boleh makan saja apa yang diinginkan tetapi pada masa sama dapat mengawal berat badan. Bagaimana caranya? Bolehkah dilakukan?
Perlu anda ketahui bahawa musuh utama dari sudut pelangsingan badan ialah tabiat kita sendiri. Mereka yang semula jadi kurus dari segi genetik jarang berfikir mengenai makanan berbanding dengan mereka yang mahu melangsingkan berat badan dan risau dengan berat badan mereka. Golongan ini sentiasa berfikir mengenai makanan dan secara tidak langsung sama ada mereka akan mengamalkan diet yang keterlaluan atau mereka sudah hilang semangat untuk mencapai matlamat mereka dengan berdiet secara sihat. Ini adalah satu tabiat yang harus diperbaiki dengan cara mengikut lima prinsip di bawah.
Prinsip pertama yang boleh dilakukan supaya anda kekal langsing sepanjang hayat adalah apabila anda lapar, anda perlu makan. Bagaimanapun, kebanyakan daripada kita akan makan walaupun tidak lapar. Mengapa berlaku demikian? Inilah yang dipanggil sebagai tabiat yang akhirnya akan memudaratkan diri kita sendiri. Sesetengah daripada kita mempunyai tabiat untuk makan walaupun tidak berasa lapar tetapi sesetengah daripada kita pula tidak akan makan sampai terasa seperti kebuluran. Sebenarnya kita perlu mempunyai keseimbangan di antara dua sifat ini. Kita perlu tahu, skala kelaparan bagi kita untuk makan adalah ketika kita berasa agak lapar. Bukannya ketika kita berasa kita hendak makan walaupun perut kita tidak lapar. Kita juga hendaklah makan sebelum kita sampai ke tahap kebuluran kerana jika tidak tubuh badan kita akan ditimpa dengan pelbagai penyakit kerana tidak cukup nutrisi yang diperlukan. Ini adalah satu tabiat yang perlu diubah dan jangan anda tergolong di dalam mana-mana dua golongan ini.
Prinsip yang kedua pula adalah makan apa yang anda inginkan dan bukan apa yang anda rasa anda perlu makan. Anda harus kenal apa yang anda ingin makan dan anda boleh mengetahuinya kerana badan anda sendiri akan menyampaikan isyarat apakah makanan yang anda inginkan. Ini kerana apabila kita berfikir mengenai sesuatu, otak kita akan berfungsi dengan menghantar isyarat itu kepada tubuh badan dengan mengatakan kita inginkan sesuatu makanan. Contoh yang boleh diberikan adalah sekiranya anda melihat nasi bersama ayam goreng di depan mata anda, dan ketika itu ia membuatkan anda terliur, maka itu bererti anda menginginkan makanan itu dan oleh itu anda perlu mengambil makanan itu dengan syarat anda sememangnya sudah terasa agak lapar. Sekiranya ketika itu anda masih lagi terasa kenyang tetapi anda inginkan sesuatu makanan itu, ini bermakna anda hanya mengikut perasaan anda saja.
Prinsip yang ketiga adalah makan secara sedar tanpa mengikut nafsu dan perasaan. Lakukan ini sambil menikmati setiap kunyahan anda dengan cara memperlahankan kecepatan pemakanan anda dan kunyah betul-betul setiap suapan. Minimum kunyahan adalah sebanyak 21 kali dan setiap kali di antara suapan itu anda perlu meletakkan sudu garfu anda di atas pinggan. Jangan makan dengan tergesa-gesa dan lahap kerana ia akan membuatkan anda berasa lebih lapar dan makan lebih banyak. Bagi melakukan prinsip ini anda perlulah mempunyai tahap disiplin dan kesabaran yang tinggi.
Prinsip yang keempat pula adalah berhenti makan apabila anda rasa sudah sederhana kenyang. Sekiranya anda tidak berhenti, ia akan membuatkan anda mengambil makanan yang berlebihan dan pada tahap ini juga anda sudah tidak lagi menikmati makanan itu. Ini kerana ketika anda sudah kenyang tetapi anda meneruskan juga dengan alasan tidak mahu membazir, anda sendiri yang akan menanggung kesannya. Perlu diingatkan bahawa ketika anda mengambil atau meletakkan makanan di dalam pinggan, letak dalam keadaan sedar. Dengan itu anda tidak akan meletakkan makanan secara berlebihan. Di sini berbalik kepada tabiat anda sendiri.
Prinsip yang terakhir adalah anda harus faham akan keajaiban air. Sekiranya anda terasa lapar, minum dahulu lebih kurang segelas air dan sekiranya anda tidak lapar selepas itu, ini bermakna ia hanyalah dahaga. Dengan cara ini anda tidak akan mengambil makanan secara berlebihan. Bagaimanapun, sekiranya selepas minum anda masih lagi berasa lapar, ini bermakna tubuh anda memerlukan makanan. Justeru, anda perlu mengambil makanan sebanyak mana yang diperlukan. Kajian sudah menunjukkan bahawa diet yang membabitkan meminum banyak air adalah lebih efektif dalam jangka masa panjang. Apatah lagi jika air yang digunakan adalah air yang sudah dirawat dan mengandungi khasiat-khasiat seperti air zam-zam, air daripada sumber semula jadi atau air bertenaga aura.
Oleh Dr Noordin Darus, doktor perubatan lulusan Universiti Malaya & London University. Bekas Pengarah Sains Sukan MSN. Pengasas Terapi Air Rx-Water dan bekas pesakit kanser darah. Emel: dnd@worldwellness.com.my atau hubungi 03-77887791/ 77813644.
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
1 Komen:
Hanya keazaman bersungguh-sungguh untuk Membakar Lemak Pantas akan membuahkan hasil
Catat Ulasan