Home » » Pigmentasi akibat pendedahan cahaya matahari

Pigmentasi akibat pendedahan cahaya matahari

"KULIT saya sering terdedah kepada cahaya matahari berlebihan kerana saya banyak membuat kerja-kerja di luar dan sering kali tidak mendapat rehat yang cukup. Warna kulit saya agak cerah dan ramai berpendapat bahawa kulit saya akan mudah mendapat pigmentasi yang mendorong kepada penuaan kulit. Apakah panduan dan pemakanan terbaik untuk jenis kulit saya ini?"

JAWAPAN

Pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari menyebabkan pigmentasi dan kulit menjadi gelap. Masalah kulit juga akan timbul akibat kekurangan tidur, ketidakseimbangan hormon, pemakanan tidak sihat dan juga stres.

Gabungan nutrien antioksida seperti vitamin didapati sangat bermanfaat untuk kesihatan dan kecantikan kulit. Vitamin yang dimaksudkan adalah vitamin A, C, E serta mineral zink dan selenium.

Vitamin A penting untuk kesihatan luaran dan dalaman kulit. Vitamin C membantu pembentukan kolagen (fiber penyokong kulit). Vitamin E pula merangsang pemulihan dan pembaikan tisu di samping mencegah kerosakan sel dengan menghalang pengoksidaan lemak dan pembentukan radikal bebas. Kekurangan zink boleh melambatkan proses penyembuhan luka ataupun jerawat. Zink bersama vitamin E menggalakkan pemulihan tisu untuk kulit yang muda remaja.

Antioksida lazimnya didapati dalam sayur-sayuran dan buah-buahan yang berwarna terang seperti labu, tomato, bayam, sengkuang merah, lobak merah, brokoli, betik dan jambu. Sekiranya anda tidak pasti dengan diet anda, suplemen boleh dijadikan pilihan untuk memenuhi keperluan vitamin badan. Pengambilan suplemen yang menggabungkan kesemua nutrien berkenaan seharusnya menjadi pilihan kerana ia memberi kesan yang lebih baik. Gabungan beta-karotena (pro-vitamin A), vitamin C, E, zink dan selenium membantu meneutralkan kesan kerosakan akibat radikal bebas dan mengekalkan kecantikan kulit.

Tip lain yang boleh diamalkan untuk menjaga kesihatan termasuk:

1. Menghidratkan badan dengan 1.5 hingga dua liter air sehari supaya kulit kekal cantik dan segar.

2. Senaman berterusan pula membantu menyahtoksik toksin berlebihan dan meredakan stres. Pengumpulan toksin juga menjejaskan kesihatan kulit dengan merangsang pertumbuhan jerawat dan menyebabkan kulit kelihatan tidak bermaya.

3. Rehat dan tidur secukupnya membolehkan kita tampil segar.

4. Jangan lupa untuk menyapu krim pelindungan matahari setiap kali keluar rumah.



0 Komen:

Catat Komen

 
Chatroom