Home » » Bercakap benar biarpun pahit

Bercakap benar biarpun pahit

Bercakap benar biarpun pahit

Apakah yang menjadi punca kepada hati seseorang yang sentiasa tidak jujur? Anas meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak lurus iman seseorang hamba itu sehingga lurus (lebih dahulu) hatinya. Dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus lidahnya. Yang menjadi punca kepada hati seseorang yang tidak lurus adalah daripada lidahnya."

Umat Islam perlu bermuhasabah diri dengan sentiasa bersikap jujur. Setiap orang sama ada sedar atau tidak, mungkin ada masanya tidak bercakap benar. Jadi bagaimanakah untuk kita meluruskan lidah untuk sentiasa bercakap benar?

Rasulullah SAW menjelaskan perkara itu dalam sabda Baginda: "Apabila anak Adam memasuki waktu pagi, maka sesungguhnya setiap anggota tubuhnya tunduk kepada lidah, seraya berkata: Bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya kami bergantung kepadamu. Jika kamu lurus maka kami pun lurus. Jika kamu bengkok maka kami pun bengkok." (Riwayat at-Tirmizi)

Lidah tutup perbuatan buruk

Norhafizah mengambil contoh tingkah laku dan perbuatan buruk yang kita lakukan selama ini sentiasa ditutup oleh lidah. Kita melakukan kesalahan dengan mengambil hak orang lain dan apabila ditanya, kita berbohong mengatakan tidak.

Ini bermaksud tangan yang melakukan kesalahan dan lidah telah menutup kesalahan itu. Selama mana tangan kita tidak lurus, menjadikannya sukar bagi lidah untuk lurus.

Tidak dinafikan, setiap manusia ingin berubah ke arah kebaikan, namun kenapa begitu sukar untuk seseorang itu berubah? Ini kerana diri sudah terbiasa diselamatkan oleh lidah atas perbuatan yang tidak lurus.

Ia telah menjadi sebati dan sentiasa berasa selamat dengan berselindung di sebalik lidah yang tidak lurus tetapi lidah tidak lurus tidak akan selamat di akhirat kelak. Setiap kali melakukan kesalahan dan setiap kali itu kita berselindung dengan lidah yang tidak lurus, maka kita lebih menjauhkan diri daripada kebaikan.

Bagaimana untuk kita berubah jika lidah sentiasa tidak lurus. Bercakap benar mungkin akan membuatkan kita ditegur atau dimarahi tetapi itu adalah sebagai satu desakan untuk seseorang berubah ke arah kebaikan dan kejujuran.

Apabila kita dimarahi dengan memberitahu perkara yang benar, maka kita tidak akan mengulangi perkara sama dan akhirnya berubah sedikit demi sedikit. Adakalanya lidah yang lurus mengakui kesilapan menjadi pemangkin untuk seseorang itu berubah ke arah kebaikan.

Cara kuatkan semangat, iman


Bagi menguatkan semangat dan iman kita untuk berubah, kita perlu meletakkan diri sebagai orang yang ditipu. Adakah kita akan berasa gembira atau sedih apabila mengetahui diri telah ditipu? Sudah pasti kita tidak akan gembira dan begitu jugalah orang lain, sudah pasti tidak mahu ditipu.

Maka kita akan lebih mencuba untuk tidak bercakap bohong dan sentiasa meluruskan lidah dalam apa juga keadaan sekalipun.

Seseorang yang bercakap bohong diibaratkan seperti seorang yang bercakap mengeluarkan bau sangat busuk sehinggakan tidak ada seorangpun sanggup berada di hadapannya untuk mendengar kata-katanya itu. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang hamba berdusta dengan satu pendustaan, maka malaikat akan melarikan diri daripadanya sejauh sebatu lantaran bau busuk pendustaannya itu."

~ Berita Harian



 
Chatroom