Home » » Khasiat Setanduk (Chinese Honeysuckle)

Khasiat Setanduk (Chinese Honeysuckle)

Setanduk (Chinese Honeysuckle)Sekali pandang bunganya menyerupai bunga semarak api, namun chinese honeysuckle dikategorikan sebagai pokok saiz sederhana yang biasanya memanjat dan menjadi hiasan untuk pergola, wakaf dan tepi tembok.

Bukan saja cantik, chinese honeysuckle juga berbau wangi dan turut dikenali dengan pelbagai nama berbeza mengikut negara itu. Di Indonesia, ia dikenali sebagai wudani.

Sesetengah orang turut menggelar chinese honeysuckle ini sebagai dani, udani, aradani, akar pontianak, setanduk dan rangoon creeper.

Nama saintifiknya quisqualis indica L., daripada keluarga Combretaceae yang juga dikenali sebagai Burma Creeper dijumpai banyak di Malaysia, Indonesia, Filipina dan kawasan tropika di Afrika Selatan. Namun, tidak disebut ia dijumpai di Myanmar walaupun namanya Rangoon dan Burma Creeper.

Putik bunganya seakan-akan bunga betik. Wudani juga boleh ditemui dengan pelbagai warna daripada putih, merah, merah jambu, ungu lembut, kuning hinggalah ke jingga.

Pokok ini sukakan cahaya matahari tetapi masih memerlukan air sederhana dikategorikan sebagai pokok mudah ditanam dengan penjagaan sederhana.

Cara menanam pokok ini melalui biji benih dan pokoknya sukakan tanah yang lembap dan memerlukan pengaliran yang sempurna.

Kebiasaannya, pokok ini boleh mencecah ketinggian dari 2.5 meter ke lapan meter.

Menariknya, pokok ini sering menjadi tumbuhan pilihan bagi menghiasi tepian pergola kerana bunganya yang cantik dan struktur pokoknya yang memanjat dan sangat memang menarik untuk kawasan berkenaan.

Bunganya juga berbau wangi dan sering digunakan bagi mengharumkan rambut, kediaman dan pengganti wangi untuk bedak sejuk selain bunga melur dan tanjung.

Selain cantik dan berbau wangi, pokok ini juga banyak digunakan dalam perubatan tradisional bagi merawat sakit perut terutama yang berkaitan dengan masalah cacing atau kecacingan.

Bahagian yang digunakan ialah biji buahnya (kernels) dan rasanya seperti kekacang badam dan bijinya yang sudah dipanggang boleh digunakan mengubati cirit birit dan demam.

Ada juga yang menggunakan minyak bijinya merawat penyakit kulit seperti kurap dan panau dengan cara menyapu minyak di bahagian yang bermasalah, manakala ekstrak daunnya boleh digunakan merawat sakit perut dengan menyapu di bahagian berkenaan.

Air rebusan buahnya digunakan sebagai ubat kumur. Ada juga yang menyatakan buahnya baik bagi mencegah masalah penyakit buah pinggang, manakala daunnya merawat kesakitan akibat demam dan akarnya mengubat masalah sakit sendi.

INFO:

Nama Tempatan: chinese honeysuckle
Nama Saintifik: quisqualis indica L.
Nama Lain: dani,udani,aradani,akar pontianak,setanduk, rangoon creeper, burma creeper, quiscual (Spanish), niyog-niyogan (Filipina), Madhu Malti or Madhumalti (Hindi), Radha Manoharam (Telugu)
Spesies keluarga: Combretaceae



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom