Home » » Punca Liang Pori Wajah Besar

Punca Liang Pori Wajah Besar

Percaya atau tidak, terdapat 20,000 pori iaitu liang kecil pada permukaan wajah yang mengeluarkan minyak dan peluh. Setiap orang memiliki saiz pori yang berbeza iaitu ada terlalu kecil dan sesetengahnya kelihatan besar serta jelas dilihat dengan mata kasar.

Mereka yang memiliki kulit berminyak majoritinya mempunyai saiz pori besar kerana lebihan peluh yang keluar daripada folikel yang dikenali sebagai pilosebaceaous tidak dapat dikeluarkan, lalu menjadikan saiz pori lebih besar daripada biasa.

Sel kulit mati yang terkumpul pada permukaan wajah, peluh dan kotoran yang melekat di sekeliling pori menyebabkan pori membengkak serta membesar dengan bentuk bujur. Terdapat juga pelbagai faktor lain yang menyebabkan pori menjadi besar seperti gaya hidup kurang sihat seperti merokok yang menyebabkan kulit berpeluh lebih banyak dan pencemaran alam.

Sesetengahnya berlaku akibat genetik yang diwarisi daripada ibu bapa. Faktor penuaan juga memainkan peranan mengapa pori menjadi lebih besar kerana apabila usia meningkat, kulit mengalami kehilangan kolagen dan kehilangan keanjalannya, sekali gus menyebabkan pori menjadi besar.

Selain itu, perubahan hormon di kalangan wanita hamil turut menyebabkan pori membesar.

Pendedahan kepada sinar matahari berlebihan juga boleh memburukkan lagi keadaan. Cuaca panas menyebabkan perpeluhan yang turut mendorong kepada pembesaran saiz pori pada wajah.

Punca liang membesar

Kehadiran liang besar akan menjadikan kulit wajah tampak kurang berseri sehingga ada kalanya menyebabkan seseorang itu terpaksa menggunakan bedak asas lebih tebal bagi menutupi masalah dihadapi.

Terdapat dua punca pembesaran saiz pori iaitu akibat pengumpulan peluh berlebihan atau sel mati dan pori yang kendur.

Pengumpulan peluh berlebihan atau sel mati sering berlaku di kalangan remaja dan dari Asia yang tinggal di dalam cuaca panas. Kebanyakannya memiliki kombinasi kulit berminyak pada zon T. Pori kendur pula berlaku apabila usia meningkat. Pori memerlukan struktur kolagen sihat bagi menyokong dindingnya dan membentuk pori yang kecil. Dinding pori disokong oleh dermis dan epidermis.

Apabila dermis kehilangan keanjalan, ia kehilangan sokongan fizikal yang menyebabkan kulit menjadi kendur dan diameter pori juga menjadi besar. Keadaan ini juga boleh berlaku pada cuaca panas serta pendedahan kepada matahari yang berterusan.

Punca pori wajah tampak jelas dan besar:

# Kulit wajah berminyak

# Terdedah kepada matahari secara berlebihan

# Merokok

# Makanan berminyak dan lemak

# Genetik

# Proses penuaan

# Perubahan hormon akibat menopause dan semasa hamil



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom