Home » » Berbuat Baik Sesama Insan

Berbuat Baik Sesama Insan

Setiap amalan baik yang dilakukan Muslim di dunia ini akan mendapat balasan yang setimpal di akhirat kelak. Dengan berpandukan Al-Quran segala amalan dan kewajipan dijelaskan kepada manusia supaya beriman dan beramal kepada Allah SWT.

Sesungguhnya, segala kemewahan, kenikmatan, kemegahan yang ada di dunia ini tidak boleh membantu kita untuk ke jalan Allah, melainkan amal ibadah saja yang dapat membantu kita untuk memperoleh segala nikmat pada alam akhirat nanti.

Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud; "Hai orang yang beriman, bertakwa kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya." (Ali Imran: 102).

Amalan itu adalah solat lima waktu, solat sunat, mengeluarkan zakat, berpuasa bulan Ramadan dan berpuasa sunat, menunaikan haji dan umrah serta amalan yang lain seperti bersedekah dan melakukan amal jariah.

Allah berfirman yang bermaksud; "Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Beramallah kamu maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah), Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." ( At-Taubah:105).

Ayat ini jelas membuktikan bahawa amalan yang baik yang dilakukan dengan penuh keimanan akan mendapat balasan pahala di akhirat nanti. Beriman kepada Allah SWT, tauhid dan menghambakan diri dengan tidak menyekutukan-Nya akan mengukuhkan keimanan dalam jiwa setiap Muslim.

Berkaitan dengan syurga, Jabir berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Kunci syurga adalah solat dan kunci solat itu adalah wuduk." (Riwayat Tirmidzi dan Ahmad).

Sesungguhnya, solat itu amalan yang utama kepada umat Islam selain daripada amalan yang lain. Tiada siapa yang boleh menentukan seseorang itu masuk syurga atau neraka.

Sementara itu dalam satu hadis yang lain, dari Abdullah bin ' Amar r.a., beliau bertanya Rasulullah SAW, " Wahai Rasulullah! Apakah keuntungan majlis zikir itu? Baginda menjawab: Keuntungan majlis zikir itu adalah syurga, syurga." (Riwayat Ahmad).

Dalam hadis lain, yang diriwayatkan Tasuban r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; " Barang siapa yang mati dalam keadaan bebas dari tiga perkara, yakni kesombongan, dendam dan hutang, nescaya dia akan masuk ke syurga." (Riwayat Tirmidzi dan Syaibani).

Amalan yang baik yang dilakukan secara berterusan sangat digalakkan dalam Islam. Oleh itu lakukan segala amalan yang baik dalam kehidupan ini bagi mendapat keredaan Allah SWT.

Kesimpulannya, sifat yang baik dan amalan yang mulia yang dilakukan oleh seseorang Islam itu yang diterima Allah akan membawa ke syurga. Jadikan keimanan dan ketakwaan dalam setiap amalan kepada Allah untuk menuju ke syurga-Nya.

Oleh Dr Aminudin Mansor



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom