Home » » Kisah cinta Dr. Tengku Asmadi

Kisah cinta Dr. Tengku Asmadi

Sifat kepimpinan yang ada pada Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad, 47, membuka pintu hati Tun Nurul Huda Abdul Rahim, 28, untuk menerima pakar motivasi itu sebagai suaminya.

Walaupun ketika itu perbezaan usia mereka amat ketara, terbukti ia bukan menjadi halangan untuk kedua-duanya sepakat dengan keputusan mendirikan rumah tangga.

Tun Nurul Huda, mendirikan rumah tangga pada usia yang begitu muda, iaitu 20 tahun setelah tiga tahun mengenali hati budi masing-masing.

Diperkenalkan oleh kawan-kawan, wanita ini mengakui begitu tertarik dengan karisma dan sikap Dr. Tengku Asmadi yang banyak membimbingnya.

Pada awal perkahwinan agak sukar juga bagi Tun Nurul Huda mengikut rentak suami yang jauh lebih matang dan berpengalaman, namun memasuki usia tiga tahun perkahwinan, beliau semakin memahami kehendak suami.

''Pada mulanya saya takut juga berkahwin dalam usia muda apatah lagi tidak yakin mampu menjadi seorang ibu. Namun dengan bimbingan suami segalanya dapat diatasi,'' kata Tun Nurul Huda yang berkunjung ke pejabat Utusan Malaysia baru-baru ini ditemani suami dan anak-anak.

Tambahnya, beliau bukanlah jenis wanita yang mudah jatuh cinta dan tidak suka keluar tanpa ada urusan yang munasabah.

Tetapi itulah yang dikatakan jodoh apabila pertemuan dengan Dr. Tengku Asmadi mengubah hati dan perasaannya untuk mencintai lelaki yang dirasakan serasi dengannya.

Dalam pada itu Dr. Tengku Asmadi pula mengakui ketika memikirkan untuk berkeluarga, beliau mahukan seorang wanita yang mempunyai kekuatan dan kekuatan itu ada pada Tun Nurul Huda.

''Tun Nurul Huda memiliki ketabahan dan paling penting beliau mengikut cakap, mudah dibentuk dan tidak membangkang. Jika sebaliknya, sukar juga kerana usianya yang masih muda.

''Selain itu, saya tidak mahu calon isteri saya mempunyai ramai teman lelaki dan beliau pula bersekolah di sekolah perempuan,'' ujar Dr. Tengku Asmadi, yang berasal dari Seberang Takir, Terengganu.

Beliau menjelaskan, Tun Nurul Huda yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik merupakan seorang anak yang manja dengan ibunya dan dikatakan sebagai anak emak.

Namun demikian beliau berjaya mengeluarkan Tun Nurul Huda daripada dunia manjanya dan kini mampu berdikari serta tegas.

Jika dahulu sebelum berkahwin, Tun Nurul Huda merupakan seorang yang pemalu, kini tidak lagi.

Gambar keluarga Dr. Tengku Asmadi
Tun Nurul Huda yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), juga adalah pengacara rancangan bual bicara Assalamualaikum yang disiarkan di TV Al-Hijrah pada setiap hari Jumaat dan Sabtu.

''Suami merupakan pendorong utama saya untuk menjadi pengacara dan beliau yang menghantar saya pergi uji bakat. Alhamdulillah daripada 600 orang yang datang, saya terpilih,'' ujar Tun Nurul Huda yang turut meminati bidang perniagaan dan kini mengeluarkan produk sendiri, iaitu jamu Ratu Warisan dan Kopi Pegaga.

Sementara itu menurut Dr. Tengku Asmadi, beliau menyokong sepenuhnya apa yang dilakukan oleh isterinya asalkan tidak melampaui batas sebagai seorang isteri.

''Saya melihat di luar sana ramai isteri yang terlalu dikongkong oleh suami. Apabila kehilangan suami, si isteri terumbang-ambing dan tidak tahu hala tuju,'' katanya.

Walaupun sering berjauhan kerana kesibukan Dr. Tengku Asmadi dengan kursus-kursus motivasi yang dikendalikannya, pasangan ini bijak menggunakan masa yang terhad untuk bersama dengan keluar berduaan menonton wayang, bermain boling, makan-makan atau bersiar-siar.

Ada ketikanya jika Dr. Tengku Asmadi ke luar daerah, Tun Nurul Huda akan ikut bersama sambil membawa kedua-dua permata hati mereka, Tengku Puteri Qaisara, 7, dan Tengku Imran Danial, 4.



 
Chatroom